FOKUS KEPADA RAKYAT, BUKAN INDIVIDU

 

Oleh: Dr Mukhtaruddin Musa  

Ketua Penyelidik (Governans & Polisi) Yayasan Strategik Lestari

1- Disebalik isu rakyat yang harus menjadi perhatian, kelihatannya tumpuan BERSATU adalah kepada PAS dan Perikatan Nasional (PN), bukan lagi isu rakyat dan juga kesepaduan pakatan pembangkang.

2- Banyak isu yang membelenggu rakyat seperti kelemahan ekonomi, peluang pekerjaan dan kegagalan pentadbiran PH-BN, BERSATU berterusan “berjuang” tentang Pengerusi PN, logo PN dan individu tertentu.

3- Sudah tentu “perjuangan” BERSATU ini hanya menguntungkan PH-UMDAP. Lebih membimbangkan, naratif yang dibawa kini semakin berkisar soal jawatan dan siapa yang harus memimpin, mengingatkan kita kepada perjuangan parti PKR yang hanya berkisar kepada Anwar Ibrahim.

4- Politik yang terlalu berpusat kepada individu akhirnya akan menjauhkan parti daripada denyut nadi rakyat.

5- PAS telah berulang kali menegaskan bahawa matlamat perjuangannya ialah membela rakyat dan memperkukuh perpaduan ummah.

6- Peliknya, sebelum ini BERSATU bersungguh-sungguh ingin perkukuhkan Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) walaupun masih dalam PN. Sehingga mereka bersungguh merancang untuk menganjurkan program Konvensyen IPR pada hujung bulan Jun. 

7- Jika BERSATU merasakan hala tuju politiknya kini lebih serasi dengan IPR, mempunyai kekuatan jentera parti yang kuat dan tidak bergantung PAS, maka jalan yang paling jelas dan bermaruah ialah memberikan fokus sepenuhnya kepada gabungan IPR. 

8- Biarlah PAS dan PN meneruskan agenda memperkukuh sokongan rakyat tanpa gangguan yang berpanjangan.

9- Tindakan terus menyerang PAS menimbulkan persepsi bahawa BERSATU sendiri masih bergantung kepada kekuatan jentera, akar umbi dan pengaruh PAS untuk kekal relevan dalam politik nasional. 

10- Jika benar yakin dengan kekuatan sendiri, buktikan melalui IPR. Rakyat Malaysia yang dihimpit pelbagai masalah yang menghimpit hidup tidak lagi berminat melihat perebutan pengaruh dan kuasa. 

11- Jika sebuah parti lebih banyak bercakap tentang kedudukan politik daripada masalah rakyat, maka parti itu sebenarnya sedang kehilangan fokus perjuangannya sendiri.

Post a Comment

0 Comments