Oleh: Ustaz Noor Hakimi
Pengerusi
SEKRETARIAT GERAHAM
Gabungan NGO GERAHAM melahirkan rasa kesal dan kebimbangan terhadap tindakan kerajaan Madani yang dilihat semakin membuka ruang luas kepada penerimaan pelajar UEC ke universiti awam negara. Keputusan ini bukan sekadar isu kemasukan ke institusi pengajian tinggi, tetapi melibatkan masa depan identiti nasional, prinsip pendidikan kebangsaan serta arah pembinaan negara bangsa Malaysia.
Tindakan kerajaan ini memperlihatkan seolah-olah kepimpinan negara hari ini semakin tidak tegas mempertahankan asas yang telah dibina sejak sekian lama melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan. Lebih membimbangkan apabila keputusan seperti ini dilihat sebagai langkah kebelakang dalam usaha memperkukuhkan perpaduan nasional melalui satu sistem pendidikan yang berteraskan identiti negara.
Geraham berpandangan bahawa pemimpin negara seharusnya memahami dan menjiwai semangat pembinaan negara bangsa yang diasaskan atas kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Perlembagaan Persekutuan serta sistem pendidikan nasional sebagai alat penyatuan rakyat pelbagai kaum. Namun hari ini, prinsip tersebut semakin dilonggarkan sedikit demi sedikit demi memenuhi tekanan dan kepentingan politik tertentu.
Apa yang lebih membimbangkan ialah berlakunya normalisasi terhadap tindakan luar kebiasaan yang bercanggah dengan semangat asal pembinaan negara. Perkara yang dahulu dianggap sensitif terhadap identiti nasional kini mula dibiasakan secara perlahan-lahan sehingga rakyat semakin dipaksa menerima kompromi yang berterusan.
Jika keadaan ini terus dibiarkan, rakyat perlu bersedia melihat lebih banyak lagi perkara asas negara yang mungkin akan tergadai pada masa hadapan. Hari ini isu UEC diperluaskan. Esok mungkin muncul tuntutan lain yang lebih besar sehingga akhirnya asas perpaduan nasional menjadi semakin rapuh.
Geraham menegaskan bahawa kerajaan tidak sepatutnya mengambil keputusan yang dilihat mengundur ke belakang dalam soal pembinaan identiti nasional. Sebaliknya kerajaan perlu memperkukuhkan sistem pendidikan kebangsaan, memperkasakan penggunaan Bahasa Melayu dan memastikan semua dasar pendidikan bergerak selari dengan semangat Perlembagaan serta kepentingan nasional negara.
Dalam masa yang sama, masyarakat awam tidak boleh terus berdiam diri. Rakyat perlu memahami kepentingan mempertahankan identiti nasional dan berani menyuarakan pandangan secara matang serta bertanggungjawab. Isu pendidikan bukan sekadar soal akademik, tetapi berkait rapat dengan masa depan negara dan generasi akan datang.
NGO Melayu, NGO Islam dan NGO pendidikan juga perlu memainkan peranan lebih aktif sebagai suara semak dan imbang kepada kerajaan. Penerangan kepada rakyat, wacana ilmiah serta pendirian yang jelas perlu diperkasakan supaya asas negara tidak terus dikompromi sedikit demi sedikit.
Parti-parti politik pula perlu kembali kepada prinsip dan keberanian mempertahankan dasar kebangsaan. Jangan kerana kepentingan kuasa dan survival politik, maka asas pembinaan negara bangsa sanggup diketepikan.
Malaysia tidak boleh dibina atas kompromi tanpa batas sehingga akhirnya negara kehilangan arah, identiti dan jatidiri sendiri. Sudah tiba masanya semua pihak bangkit mempertahankan asas pendidikan kebangsaan sebelum lebih banyak perkara tergadai pada masa hadapan.

0 Comments