Oleh: Dr. Haim Hilman Abdullah
Pengerusi Lajnah Ekonomi & Pembangunan Usahawan PAS Pusat,
ADUN Jitra
Konflik di Timur Tengah perlu dibaca sebagai ancaman ekonomi yang nyata kepada Malaysia. Pada 2025, sekitar 20 juta tong sehari minyak melalui Selat Hormuz, bersamaan hampir 20% penggunaan petroleum cecair dunia. Laluan ini amat penting kepada perdagangan gas asli cecair (LNG) global, dengan sekitar 20% perdagangan LNG dunia melalui Selat Hormuz dan sebahagian besarnya menuju ke pasaran Asia.
Apabila rantau ini bergolak, negara-negara Asia menerima tempias paling awal. Malaysia tidak terkecuali.
Pasaran tenaga dunia bergerak atas dua faktor utama: bekalan sebenar dan jangkaan risiko.
Dalam pasaran komoditi, persepsi risiko sahaja sudah memadai untuk menolak harga ke atas.
Dalam episod ketegangan terkini, Reuters melaporkan harga Brent meningkat hampir 50% sejak konflik bermula dan dalam beberapa sesi dagangan melepasi USD100 / tong.
Lonjakan seperti ini memberi kesan besar kepada negara yang sangat terbuka kepada perdagangan antarabangsa seperti Malaysia.
Malaysia memasuki fasa ini dengan asas ekonomi yang masih stabil serta perdagangan luar yang kekal aktif. Ini memberi sedikit ruang kepada negara untuk bertindak. Namun semakin terbuka sesebuah ekonomi kepada perdagangan global, semakin tinggi risikonya terhadap gangguan geopolitik, harga tenaga dan rantaian bekalan antarabangsa.
Sebagai pengeluar minyak berkualiti tinggi dan untuk pasaran eksport, Malaysia akan membuat keuntungan besar. Sewajarnya sebahagian besar dari keuntungan itu perlu digunakan untuk mengimbangi kos import minyak.
Secara khususnya Malaysia masih mengimport petroleum mentah dan petroleum bertapis dalam jumlah yang besar. Kita lihat pada suku ketiga 2025, import petroleum bertapis mencecah sekitar RM24.1 bilion, dengan Singapura sebagai sumber utama. Ertinya, apabila harga tenaga dunia melonjak, tekanan kos tetap akan masuk ke dalam ekonomi kita.
Malaysia perlu bijak mengurus tekanan itu. Ini kerana akhirnya ia sampai kepada rakyat melalui harga makanan dan keperluan harian.
Dalam struktur perbelanjaan isi rumah Malaysia, makanan merupakan antara komponen terbesar. Pada Jun 2025, harga makanan di luar rumah meningkat 4.7 %. Ini menunjukkan apabila kos tenaga, logistik dan operasi meningkat, pengguna akan merasai kesannya dengan cepat, terutama golongan berpendapatan sederhana dan rendah yang perbelanjaannya tertumpu kepada keperluan asas.
Kenaikan harga minyak tidak berhenti pada pam minyak atau pasaran komoditi. Kesan sebenarnya berlaku sepanjang rantaian ekonomi. Kos pengangkutan meningkat. Kos pengeluaran bertambah. Kos penyimpanan dan penghantaran naik. Sektor pertanian turut menerima tekanan melalui kenaikan harga baja, racun, pembungkusan dan input berkaitan.
Di hujung rantaian, pengguna yang menanggung kesannya melalui harga yang lebih mahal di pasar, kedai runcit dan restoran.
Dalam konteks ini, subsidi masih memainkan peranan penting sebagai benteng perlindungan rakyat. Negara perlu mengurus kewangan awam dengan berhemat dan langkah memperkemas subsidi mempunyai justifikasi fiskalnya. Namun dalam suasana harga tenaga dunia yang tidak menentu, subsidi tidak boleh dilihat semata-mata sebagai beban kewangan. Subsidi yang dirancang dengan baik ialah alat kestabilan sosial dan ekonomi, terutama untuk melindungi rakyat serta sektor-sektor asas yang menentukan harga makanan dan kos hidup harian.
Sebab itu, reformasi subsidi perlu dilaksanakan dengan cermat. Tumpuan utamanya bukan sekadar mengurangkan perbelanjaan kerajaan, tetapi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan dan mengelakkan kejutan harga yang terlalu besar di lapangan.
Dalam keadaan dunia yang tidak stabil, keutamaan dasar mesti berpaksikan perlindungan rakyat, bukan sekadar kemasan angka fiskal di atas kertas.
Penjimatan daripada rasionalisasi subsidi wajar dilihat sebagai ruang untuk menyusun semula perlindungan negara dengan lebih baik. Dana tersebut sewajarnya digunakan semula secara strategik untuk mengurangkan tekanan terhadap logistik makanan, input pertanian, pengangkutan awam, nelayan, petani, peniaga kecil dan PMKS. Jika penjimatan hanya berhenti sebagai angka dalam laporan kewangan tanpa diterjemahkan kepada kestabilan harga di lapangan, rakyat tetap akan merasakan beban yang sama.
Kerajaan juga perlu mempercepat pemantapan sistem subsidi bersasar.
Cabaran terbesar hari ini ialah ketepatan data. Ramai pemain ekonomi penting masih berada di luar liputan pangkalan data formal, termasuk pengusaha kecil, pekerja sektor tidak formal, peniaga mikro dan sebahagian besar rantaian pengedaran makanan. Selagi kumpulan ini tidak dipetakan dengan tepat, bantuan akan terus berdepan masalah keciciran dan ketirisan.
Dalam jangka sederhana, Malaysia perlu membina benteng tenaga negara dengan lebih serius. Krisis ini membuktikan bahawa dunia masih sangat bergantung kepada beberapa laluan strategik yang sempit dan mudah terganggu.
Negara perlu menilai pembinaan simpanan petroleum strategik, memperkukuh kapasiti penapisan domestik, mempelbagaikan sumber import tenaga dan mengurangkan pendedahan kepada gangguan luar. Soal tenaga hari ini bukan lagi soal harga semata-mata. Soal ini sudah menjadi soal keselamatan ekonomi dan kedaulatan negara.
Pada masa sama, keterjaminan makanan mesti diangkat sebagai agenda ekonomi utama. Selagi negara terlalu terdedah kepada kos import makanan, baja, logistik dan input pertanian lain, setiap konflik global akan diterjemahkan kepada kenaikan harga dalam negara.
Solusinya terletak pada pengukuhan pengeluaran domestik, automasi sektor agromakanan, penambahbaikan rantaian pengedaran, pengurangan kos logistik dan pembinaan stok penimbal bagi makanan asas.
Negara juga perlu melihat semula hubungan antara dasar fiskal, keselamatan tenaga dan keterjaminan makanan sebagai satu kerangka yang saling berkait. Selama ini, banyak dasar digerakkan secara berasingan. Hakikatnya, krisis seperti ini menunjukkan bahawa kegagalan pada satu sektor akan menular pantas ke sektor lain. Itulah sebabnya negara memerlukan dasar yang saling menyokong, bukan dasar yang bergerak secara silo.
Malaysia masih mempunyai kekuatan asas untuk menghadapi tekanan ini. Ekonomi negara masih mempunyai daya tahan, kedudukan perdagangan luar kekal signifikan dan sistem kewangan terus stabil. Yang diperlukan sekarang ialah keupayaan menukar kekuatan makro ini kepada perlindungan sebenar kepada rakyat.
Kejayaan ekonomi tidak boleh diukur pada angka pertumbuhan semata-mata. Kestabilan harga, keterjaminan bekalan dan kemampuan rakyat untuk hidup dengan tenang juga mesti menjadi ukuran.
Konflik Timur Tengah sedang membuka satu hakikat yang tidak boleh lagi dinafikan iaitu Malaysia masih terdedah kepada gegaran luar yang akhirnya jatuh ke bahu rakyat.
Dalam keadaan ini, keutamaan negara mestilah jelas untuk melindungi rakyat terlebih dahulu, sambil mengurus ekonomi dengan cermat dan berdisiplin.
Negara memerlukan kejelasan strategi, keberanian membuat keputusan dan disiplin pelaksanaan daripada keselamatan tenaga, keterjaminan makanan, subsidi yang lebih adil dan tepat, sehinggalah kepada pembinaan sistem ekonomi lebih tahan, cekap dan berpihak kepada kesejahteraan rakyat.
Jika benteng ini gagal dibina dari sekarang, setiap krisis global akan terus diterjemahkan sebagai keresahan dalam kehidupan harian rakyat Malaysia.

0 Comments