Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Cadangan pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) secara lebih anjal bagi sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menimbulkan persoalan sama ada langkah penjimatan itu benar-benar memberi manfaat menyeluruh atau sekadar mengalihkan beban kos kepada rakyat.
Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali mempersoalkan kesan sebenar langkah diambil kerajaan itu terhadap rakyat.
“Pelaksanaan BDR akan menyebabkan peningkatan penggunaan elektrik, air serta internet di rumah, sekali gus menambah kos sara hidup yang perlu ditanggung individu.
“Dalam erti kata lain, kos yang sebelum ini ditanggung kerajaan beralih kepada rakyat,” katanya.
Pada 1 April, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Kabinet bersetuju melaksanakan dasar bekerja dari rumah (BDR) mulai 15 April ini.
Pelaksanaan dasar BDR itu membabitkan kementerian, agensi serta badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan.
Berdasarkan penjelasan kerajaan melaksanaan BDR anjal bertujuan mengurangkan penggunaan bahan api selain memastikan kemampanan bekalan tenaga susulan konflik berpanjangan di Asia Barat.
Muhammad Rafique berkata, secara asasnya, pengurangan kehadiran ke pejabat dijangka dapat mengurangkan penggunaan petrol kalangan penjawat awam serta orang ramai yang berurusan di premis kerajaan.
“Pada masa sama, operasi bangunan kerajaan dapat diminimumkan termasuk penggunaan elektrik seperti lampu, kipas dan penghawa dingin.
“Maknanya, menjimatkan perbelanjaan kerajaan, termasuk bil utiliti dan tuntutan perjalanan. Kerajaan tidak perlu keluar duit untuk bil letrik serta kos minyak penjawat awam sebab tiada tuntutan perlu dibayar,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menuntut kerajaan menjelaskan secara terperinci angka penjimatan sebenar hasil pelaksanaan dasar berkenaan.
“Nampak bagus idea ini. Tapi… bila BDR, lebih banyak masa di rumah, lebih tinggi guna letrik di rumah lebih banyak guna data internet serta kos-kos lain.
“Beban yang dulu kerajaan bayar ‘pindah’ kepada rakyat. Bil api dan bil air serta bil internet serta kos lain dibayar individu, bukan lagi kerajaan,” jelasnya.
Tambah beliau, persoalan lain yang timbul ialah mengenai hala tuju penjimatan tersebut serta mengapa tidak diadakan sidang khas Parlimen bagi membolehkan perkara itu dibahaskan secara terbuka.
“Adakah hanya pengurangan perbelanjaan kerajaan tanpa sebarang pelan untuk ke mana penjimatan ini disalurkan? Mengapa tidak panggil sidang khas Parlimen agar rakyat boleh tanya soalan-soalan ini?
“Tanpa penjelasan telus dan data jelas, langkah ini dilihat sekadar mengalihkan beban daripada kerajaan kepada rakyat.
“Mudah sahaja bercakap minta rakyat memahami situasi, namun kerajaan juga perlu menunjukkan bahawa ia memahami kesan dasar terhadap rakyat. Kerajaan sendiri seolah tidak faham apa yang berlaku,” katanya.
Berdasarkan surat edaran pelaksanaan BDR, pegawai sektor awam di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, selain semua ibu negeri dengan jarak perjalanan sehala dari pejabat ke rumah melebihi lapan kilometer dibenarkan bekerja dari rumah.
Pelaksanaan BDR selama tiga hari dalam seminggu untuk perkhidmatan awam itu berkuat kuasa mulai 15 April ini.
Negeri di mana Ahad menjadi hari kelepasan mingguan, BDR ditetapkan Selasa hingga Khamis secara sepenuh hari.
Untuk negeri di mana hari kelepasan mingguan Jumaat iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu, BDR secara sepenuh hari adalah pada Isnin hingga Rabu.
Pelaksanaan BDR bagaimanapun dikecualikan untuk tiga sektor membabitkan keselamatan dan pertahanan, kesihatan serta pendidikan.

0 Comments