MUAFAKAT POLITIK MELAYU PERLU DIPERKUKUH DEMI MASA DEPAN UMAT ISLAM


 Oleh: Roslinda Hashim 

KUALA NERUS - Muafakat politik melalui gabungan besar dalam kalangan orang Melayu penting bagi menjamin masa depan umat Islam di negara ini, dan wajar dijadikan agenda utama yang tidak boleh dipinggirkan.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, gabungan politik yang kukuh perlu dibina bagi mengelakkan perpecahan yang boleh melemahkan kedudukan umat Islam di negara ini.

“Dalam konteks negara kita, Malaysia, kita mengakui perlunya satu muafakat politik gabungan besar orang Melayu yang perlu duduk bersama memikirkan masa depan umat ini supaya kita tidak lagi berada dalam keadaan lemah,” katanya.

Menurutnya, keadaan itu boleh diibaratkan seperti peribahasa Melayu lama, “ayam dikepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan”, jika tiada kesepakatan dicapai dalam kalangan orang Melayu.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Ijtima’ Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 dan Perhimpunan Alam Melayu 2026 di sini, hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Presiden PAS, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, yang juga mantan Naib Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia.

Tuan Ibrahim tegaskan, kekuatan umat Islam perlu dibina berteraskan pegangan agama yang kukuh serta menjauhi perpecahan.

“Kita perlu bina kekuatan dan jati diri berpaksikan apa yang difirmankan ALLAH SWT, iaitu berpegang teguh kepada agama ALLAH SWT dan jangan sesekali berpecah-belah,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, rantau Melayu merupakan wilayah yang hebat dan pernah menjadi pemangkin kepada pembangunan dunia suatu ketika dahulu.

Katanya, sumbangan Alam Melayu dalam bidang ilmu pengetahuan, teknologi serta sains membuktikan keupayaan rantau ini sebagai antara pusat tamadun yang berpengaruh.

“Persidangan kali ini turut menghimpunkan pelbagai pihak yang membentangkan sejarah kegemilangan Alam Melayu yang merupakan antara pencapaian terbaik pernah dicapai oleh rantau ini,” katanya.

Tambah beliau, kedatangan Islam ke Alam Melayu juga berlaku secara aman tanpa peperangan, berbeza dengan beberapa wilayah lain di dunia.

Menurutnya, ini kerana budaya masyarakat Melayu  sebelum kedatangan Islam sememangnya mempunyai ciri-ciri hampir dengan ajaran Islam seperti sikap lemah-lembut, bertolak ansur, menghormati tetamu serta mempunyai tahap toleransi yang tinggi.

“Ini menyebabkan Islam mudah diterima oleh orang Melayu, yang belum ada pada masa itu adalah akidah.

“Apabila akidah Islam dibawa masuk, ia mudah diterima termasuk oleh Raja-Raja Melayu, sekali gus diikuti oleh rakyat jelata,” jelasnya.

Post a Comment

0 Comments