Oleh: Ku Azizah Ku Hamid
ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah menegaskan komitmen untuk memelihara perpaduan kaum serta menolak sebarang bentuk penyalahgunaan institusi keagamaan bagi kepentingan politik sempit.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India & Siam, NGO, Wong Chia Zhen berkata, rumah ibadat perlu kekal sebagai tempat suci untuk membina nilai murni, bukannya dijadikan medan menyemarakkan kebencian atau memecahbelahkan masyarakat.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri di bawah Perikatan Nasional harus menjadi contoh dengan mengamalkan politik matang yang menghormati kepelbagaian kaum dan agama, selaras dengan titah Sultan Kedah bahawa perpaduan merupakan asas kestabilan negeri dan negara.
“Perpaduan bukan sekadar slogan, tetapi perlu diterjemahkan melalui tindakan yang menyatukan rakyat pelbagai kaum tanpa menghakis identiti masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Chia Zhen turut menzahirkan penghargaan terhadap keharmonian masyarakat majmuk di Kedah yang terus mengekalkan budaya dan tradisi masing-masing dalam suasana aman dan saling menghormati.
Dalam usaha memperkukuh perpaduan, beliau memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah menyalurkan peruntukan RM10,000 bagi menyokong sambutan Vaisakhi di Kulim serta program pendidikan bahasa Punjabi yang digerakkan secara sukarela oleh komuniti setempat.
Jelasnya lagi, sempena Pesta Songkran yang akan berlangsung di Kedah, peruntukan sebanyak RM10,000 turut disalurkan bagi menyokong kelas bahasa Siam di kawasan Padang Terap, Pendang dan Sik.
“Usaha tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif integrasi kaum bagi memastikan bahasa dan warisan budaya setiap komuniti terus dipelihara, di samping memperkukuh jati diri sebagai rakyat Malaysia.
“Perpaduan yang kita bina bukanlah perpaduan yang memaksa semua menjadi sama, tetapi perpaduan yang lahir apabila setiap komuniti merasa dihormati dan mempunyai tempat dalam masyarakat,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pendekatan inklusif ini penting dalam membentuk masyarakat yang harmoni dan bersatu padu, sekali gus memastikan kestabilan negeri terus terpelihara.

0 Comments