Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Anak-anak yatim diingatkan supaya tidak menjadikan ketiadaan ibu bapa sebagai alasan untuk berputus asa, sebaliknya terus berusaha membina masa depan yang lebih baik.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kehilangan ayah atau ibu, malah kedua-duanya sekali bukanlah halangan untuk seseorang mencapai kejayaan sekiranya mereka mempunyai semangat yang kuat untuk terus berusaha.
Menurutnya, anak-anak yatim perlu menghadapi takdir tersebut dengan reda serta menjadikannya sebagai cabaran untuk belajar hidup berdikari dan menjadi lebih matang dalam kehidupan.
“Walaupun tanpa ayah atau ibu, jangan mudah mengalah dan anggap ia sebagai halangan untuk mencapai kecemerlangan dalam hidup.
“Saya ingin berpesan, anak-anak jangan berputus asa dan jangan lemah semangat. Hadapilah takdir ini dengan reda serta jadikan ia sebagai cabaran untuk membina masa hadapan yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-Anak Yatim di Dewan Seri Mentaloon, di sini.
Sanusi berkata, status anak yatim merupakan satu kedudukan yang istimewa kerana golongan tersebut dimuliakan oleh ALLAH SWT.
Katanya, perkara itu juga dapat dilihat dalam sejarah Islam apabila ramai tokoh besar yang menjadi anak yatim sejak kecil namun berjaya muncul sebagai ilmuwan terkemuka.
“Rasulullah SAW sendiri adalah anak yatim, malah ayahanda Nabi meninggal dunia ketika Baginda masih dalam kandungan ibunya.
“Ramai ulama besar pada zaman silam juga merupakan anak yatim ketika mereka masih kecil seperti Imam Bukhari, Imam Syafi’e, Imam Sufyan at-Thawri dan Hasan al-Basri,” katanya.
Tambah beliau, kisah tokoh-tokoh tersebut membuktikan bahawa anak yatim mampu bangkit menjadi insan hebat apabila mereka menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh.
“Sekali lagi saya ingin berpesan, kepada anak-anak yatim, jangan berasa kekurangan, jangan sekali-kali berasa rendah diri kerana yang sebenarnya, ALLAH SWT telah memilih anak-anak untuk dimuliakan.
“Belajarlah bersungguh-sungguh untuk menjadi orang berilmu dan anak yang soleh serta solehah yang sentiasa mendoakan ibu bapa walaupun mungkin kita tidak pernah bertemu dengan mereka,” katanya.

0 Comments