KEDAH PERKUKUH HAB PEMBANGUNAN BAKAT BERTARAF ANTARABANGSA



Oleh: Ku Azizah Ku Hamid

KULIM – Kedah terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai hab pembangunan bakat bertaraf antarabangsa menerusi pelancaran EVE International Talent Empowerment Center, yang dijangka menjadi pemangkin utama kepada pembangunan modal insan serta menyokong pertumbuhan industri masa hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, inisiatif itu merupakan hasil siri perbincangan strategik yang telah dimulakan sebelum ini serta dimuktamadkan melalui kerjasama menerusi Memorandum Persefahaman (MoU).

Menurutnya, pelancaran pusat berkenaan mencerminkan kesungguhan pelbagai pihak dalam membina ekosistem pembangunan bakat yang lebih tersusun dan berimpak tinggi.

“Saya berbesar hati menerima watikah pelantikan sebagai Honorary Dean bagi pusat ini. 

"Amanah ini diterima dengan penuh rasa syukur dan tanggungjawab untuk memastikan usaha ini memberi manfaat luas kepada rakyat, khususnya anak-anak Kedah,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran EVE International Talent Empowerment Center, di sini.

Beliau berkata, penubuhan pusat itu juga mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam mengangkat Kedah sebagai hab pembangunan bakat bertaraf antarabangsa, seiring perkembangan pesat sektor industri, teknologi dan pelaburan.

Tambahnya, pusat tersebut dibangunkan berteraskan Blueprint of Talent Empowerment 2025–2029 yang merangkumi pelbagai inisiatif termasuk 'campus lecture series', forum bakat antarabangsa, pembangunan platform e-pembelajaran serta peluasan kursus ke peringkat pertengahan dan lanjutan.

Dalam pada itu, beliau tegaskan, pembangunan bakat merupakan antara teras utama dalam kerangka The Greater Kedah bagi memastikan negeri ini mampu menarik pelaburan berkualiti tinggi dan membangunkan industri masa hadapan.

Jelasnya, Kerajaan Negeri akan terus memberi penekanan kepada pembangunan bakat melalui pembentukan tenaga kerja bersedia industri (industry-ready workforce), pengukuhan kerjasama antara institusi pendidikan dan pemain industri serta penyediaan laluan bakat yang lebih tersusun.

“Pelancaran pusat ini turut mencerminkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap Kedah sebagai lokasi strategik bukan sahaja untuk pelaburan, malah sebagai pusat pembangunan bakat global, inovasi dan teknologi.

“Inilah hala tuju yang sedang kita bina bagi menjadikan Kedah bukan sekadar destinasi pelaburan, tetapi juga pusat kecemerlangan ilmu dan pembangunan bakat untuk masa depan negara,” katanya.

Post a Comment

0 Comments