Oleh: Abdul Razak Khamis
Ketua Bahagian BERSATU Pendang
ADUN Sungai Tiang
Tulisan ini mungkin agak menyiat, tetapi ia tidaklah sampai melukakan. Kalaupun pedih, tujuannya adalah untuk merawat. Dan niat itu lahir daripada keikhlasan hati untuk melihat Perikatan Nasional terus berdiri gagah di persada politik tanah air.
Sepintas lalu, khalayak umum melihat segala-galanya sedikit bercelaru. Itu realiti yang ada di depan kita. Walaupun di permukaan semuanya kelihatan masih terkawal, tetapi di bawah permukaan itu ada gelombang-gelombang kecil yang menggusarkan akar umbi macam saya.
Dalam suasana politik semasa yang semakin hampir dengan pilihan raya umum, saya berpandangan kita perlu mencari jalan menghentikan gelombang-gelombang itu.
Kalau boleh riak-riaknya pun tidak harus ada. Keutamaan semua pihak dalam PN sekarang harus jelas dan tidak bercabang. Apa jua perbezaan pandangan, kegusaran dalaman atau salah faham yang wujud mesti diletakkan dalam konteks yang betul, iaitu kepentingan gabungan secara keseluruhan.
PN hanya akan kekal relevan dan diyakini rakyat jika semua komponennya bersedia meletakkan fokus pada usaha memperkukuh kekuatan bersama, bukan terperangkap dalam hal-hal yang mengalihkan tumpuan.
Setiap parti politik pasti mempunyai cabaran dan dinamik tersendiri. BERSATU dan PAS tidak terkecuali. Masing-masing ada masalah. Namun, kebijaksanaan politik menuntut agar sebarang isu dalaman diselesaikan secara berhemah, tertutup dan penuh disiplin.
Tidak ada keperluan untuk setiap perkara kecil dijadikan bahan perbincangan terbuka, apatah lagi melalui media. Rakyat menilai bukan sekadar apa yang dikatakan, tetapi bagaimana sesuatu isu itu diuruskan. Kematangan sesebuah parti terserlah bukan melalui penafian atau retorik, tetapi melalui keupayaan menyelesaikan masalah tanpa menjejaskan matlamat yang lebih besar.
Sebagai rakan gabungan, hubungan antara BERSATU dan PAS perlu terus dipelihara dengan sikap saling menghormati dan saling memahami. Dalam mana-mana pakatan, perbezaan pandangan adalah lumrah. Yang tidak wajar ialah membiarkan perbezaan itu berkembang menjadi provokasi terbuka, sindiran atau kenyataan yang akhirnya melemahkan kepercayaan sesama sendiri.
Provok-memprovok hanya akan menguntungkan pihak lain yang sememangnya menunggu ruang untuk memecah-belahkan kita. Tidak ada keperluan untuk kita terikut-ikut dengan rentak atau gendang yang dipalu oleh lawan politik.
Disiplin dalam berkomunikasi adalah antara elemen terpenting dalam memastikan kestabilan gabungan. Tidak semua perkara perlu dijawab. Tidak semua isu perlu diberi reaksi segera. Ada masanya, kesenyapan adalah strategi yang lebih berkesan daripada seribu kenyataan. Kenyataan yang dibuat tanpa keperluan sering kali membuka ruang kepada tafsiran liar, manipulasi dan polemik yang tidak berkesudahan.
Dalam konteks ini, contoh pendekatan yang tenang dan fokus wajar dijadikan rujukan. Ada pemimpin yang memilih untuk tidak melayani hiruk-pikuk politik harian, sebaliknya menumpukan perhatian kepada kerja, penyusunan organisasi dan persiapan menghadapi cabaran sebenar.
Dua contoh terdekat ialah Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS dan PN Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Pendekatan sedemikian bukan tanda kelemahan, tetapi lambang keyakinan dan kematangan. Dalam politik, “silent is gold” bukan sekadar peribahasa, tetapi satu strategi yang terbukti berkesan apabila digunakan pada tempat dan waktunya.
Menjelang pilihan raya, masa adalah aset paling berharga. Setiap hari yang berlalu seharusnya dimanfaatkan untuk memperkukuh jentera, memperhalusi naratif dan mendekati rakyat.
PN masih mempunyai asas sokongan yang signifikan. Ia masih mempunyai naratif, tokoh dan jentera yang berpotensi. Tetapi semua itu hanya bermakna jika ada kesatuan tujuan dan disiplin kolektif. Pilihan di hadapan jelas: sama ada kembali fokus, menyusun kekuatan dan memperkukuh persefahaman, atau terus hanyut dalam konflik kecil sehingga hilang kepercayaan rakyat.
Jadi, dalam semangat Ramadan yang semakin mendekat ini marilah kita luruskan jalan perjuangan dengan roh persepakatan sebenar. Jika pernah tersilap kata, tersinggung atau terasa, jalan terbaik ialah berlapang dada dan bermaaf-maafan. Politik tanpa empati akhirnya akan memakan diri sendiri. Gabungan yang dibina atas rasa saling curiga tidak akan mampu bertahan lama.
Kita tentunya tidak mahu perkara itu berlaku.

0 Comments