Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa mempersoalkan langkah penstrukturan semula Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang didakwa akan memberi peranan lebih besar kepada Ahli Parlimen, khususnya daripada DAP.
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu tegaskan, Ahli Parlimen berfungsi sebagai pembuat dasar dan bukannya pentadbir DBKL, justeru sebarang penglibatan dalam urus tadbir yang berada di bawah kuasa Datuk Bandar adalah bercanggah dengan Akta DBKL serta undang-undang berkaitan.
“Saya fikir Menteri perlu memberi penjelasan, apakah yang cuba dilakukan dengan penstrukturan semula DBKL dengan memberi peranan lebih besar kepada ahli Parlimen DAP?
“Apakah motif sebenar Menteri berbuat demikian,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya.
Annuar berkata, campur tangan Ahli Parlimen dalam urus tadbir DBKL berpotensi menimbulkan pelbagai masalah termasuk pertindihan kuasa dan kekeliruan pentadbiran.
Pada 1 Februari, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh memaklumkan satu kajian sedang dijalankan sejak Disember lalu oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berhubung pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di ibu kota, termasuk pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Susulan kenyataan itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan, cadangan tersebut merupakan kesinambungan usaha sebelum ini, termasuk cadangan Pembaharuan Semula Bandar (PSB) dan pelaksanaan pilihan raya PBT yang mendapat tentangan.
Pandangan itu senada dengan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii yang menyifatkan agenda pilihan raya PBT sebagai satu langkah politik berisiko yang berpotensi merugikan rakyat.
Pada 2023, DAP Wilayah Persekutuan pernah menggesa kerajaan mengembalikan semula pilihan raya di peringkat bandar raya Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, Hannah Yeoh menegaskan, kajian berhubung cadangan pelaksanaan pilihan raya PBT itu bukan dijalankan oleh DAP, sebaliknya dilaksanakan oleh sebuah universiti awam terkemuka, iaitu UIAM.
Beliau jelaskan, kajian tersebut dimulakan sejak Disember lalu di bawah pentadbiran bekas menteri yang sebelum ini bertanggungjawab mengurus hal ehwal Wilayah Persekutuan.

0 Comments