Oleh: Roslinda Hashim
YAN - Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Kedah diingatkan supaya menjauhi amalan konflik kepentingan serta tidak mengutamakan kepentingan peribadi, keluarga atau rakan sepanjang memegang jawatan bagi memastikan pentadbiran kerajaan tempatan kekal telus dan berintegriti.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, jawatan Ahli Majlis merupakan satu amanah besar dan bukannya platform untuk mengejar status atau keistimewaan peribadi.
Menurutnya, setiap tindakan dan keputusan yang dibuat Ahli Majlis akan sentiasa diperhatikan rakyat yang mengharapkan perkhidmatan terbaik, berkesan dan adil daripada kerajaan tempatan.
“Jangan ada antara kita cuba ambil kesempatan atau mencari ‘jalan pintas’ disebabkan mempunyai jawatan. Jika melibatkan projek atau tender, jangan sesekali ‘adjust’ keputusan untuk kepentingan rakan atau saudara-mara tanpa mematuhi peraturan yang sah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Ahli Majlis PBT Negeri Kedah bagi penggal 2026-2027 di The Jerai Hill, di sini.
Mansor menyifatkan amalan mengutamakan kenalan atau ahli keluarga sebagai konflik kepentingan yang boleh menjadi ‘racun’ dalam sistem pentadbiran negeri dan akhirnya merosakkan kepercayaan rakyat.
Sebagai langkah pencegahan, beliau tegaskan, selaku barisan hadapan kerajaan yang berdepan secara langsung dengan rakyat di peringkat akar umbi, Ahli Majlis perlu menjadikan integriti sebagai keutamaan dalam setiap urusan.
“Jadikan integriti sebagai keutamaan. Saya mengajak semua Ahli Majlis untuk menjaga maruah diri, keluarga, dan jabatan agar tidak terpalit dengan isu salah guna kuasa yang boleh merosakkan reputasi jangka panjang,” katanya.
Tambah beliau, pendekatan sifar kompromi terhadap salah guna kuasa perlu diamalkan, khususnya dalam urusan tender atau projek yang melibatkan ahli keluarga dan rakan agar tidak wujud konflik kepentingan.
“Di zaman tular ini, pemimpin juga perlu bijak membawa diri di alam maya. Saya nasihatkan agar aduan rakyat dijawab secara profesional dengan fakta, bukannya melalui pertengkaran terbuka di media sosial,” ujarnya.
Seminar anjuran Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT) dengan kerjasama Institut Penilaian dan Pembangunan Insan (INSPIN) itu memfokuskan kepada tiga elemen utama bagi memperkasakan peranan Ahli Majlis.
Antaranya, pematuhan undang-undang termasuk pemahaman Akta 171 bagi memastikan setiap keputusan mesyuarat dibuat secara adil dan tidak menyusahkan rakyat pada masa hadapan, selain pengurusan media sosial secara berhemah dalam menangani aduan rakyat.
Dalam pada itu, kehadiran pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam seminar berkenaan disifatkan sebagai rakan integriti yang berperanan membimbing Ahli Majlis agar tidak terjebak dengan amalan rasuah.
Seminar itu turut menampilkan barisan pakar antaranya, pakar perundangan, Dr Elena Mohd dari Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan Dr Sharina Sa’ad (UiTM Merbok) bagi komunikasi korporat.
Mansor berharap seminar tersebut menjadi titik tolak kepada perubahan budaya kerja yang lebih telus dan adil di semua PBT, sekali gus merealisasikan aspirasi ‘Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua’.

0 Comments