PAS TERBUKA: DISIPLIN DAN IKTIBAR TABUK ASAS TINDAKAN

 

Oleh: Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man

Timbalan Presiden PAS

PAS ialah sebuah parti yang mengamalkan dasar terbuka, termasuk menerima sesiapa sahaja yang ingin bersamanya memperjuangkan Islam dalam pentadbiran negara. PAS tidak pernah menyekat mana-mana individu yang ingin menjadi ahli, sama ada permohonan baharu, mereka yang pernah dipecat, atau mereka yang terhenti keahlian.

Keyakinan rakyat Malaysia terhadap prinsip PAS dan kestabilannya terus terserlah apabila PAS menerima lebih 2,000 permohonan keahlian baharu setiap bulan, termasuk permohonan menyertai Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP).

Berhubung status tiga bekas ADUN di Perlis yang telah terhenti keahliannya, wajar saya jelaskan bahawa sebarang permohonan mereka untuk menjadi ahli PAS akan diproses mengikut prosedur biasa parti.

Tindakan tiga ADUN berkenaan telah memberi kesan kepada kestabilan dan penguasaan PAS sebagai kerajaan di negeri Perlis. Walaupun kita kesal dengan apa yang berlaku, yang lebih penting pada ketika ini ialah pengajaran yang perlu diambil daripada peristiwa tersebut.

Tindakan PAS bukan dibuat secara gelojoh. Asas tindakan diambil berdasarkan ibrah sirah tiga sahabat Nabi SAW yang tidak menyertai peperangan Tabuk. 

Dalam peristiwa tersebut, Rasulullah SAW mengenakan tindakan disiplin yang tegas: mereka dipulau oleh masyarakat, tidak ditegur oleh sahabat-sahabat lain, dan tidak dibenarkan menggauli isteri mereka. 

Tindakan itu meninggalkan kesan yang sangat mendalam sehingga mereka merasakan kehidupan seakan terasing; penyesalan dan tangisan mengiringi hari-hari mereka.

Ketidakhadiran tiga sahabat itu mungkin tidak memberi kesan besar kepada kekuatan tentera kerana peperangan tidak berlaku seperti yang dijangka. Namun ketegasan Rasulullah SAW menjadi peringatan bahawa ketaatan kepada arahan kepimpinan dan disiplin jemaah tidak boleh dipandang ringan.

Firman Allah SWT:

يَـٰۤأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مَا لَكُمۡ إِذَا قِيلَ لَكُمُ ٱنفِرُوا۟ فِی سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱثَّاقَلۡتُمۡ إِلَى ٱلۡأَرۡضِۚ أَرَضِيتُم بِٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا مِنَ ٱلۡـَٔاخِرَةِۚ فَمَا مَتَـٰعُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا فِی ٱلۡـَٔاخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ

“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: ‘Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah’, kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak.”

(Surah At-Taubah, Ayat 38)

Bagaimanapun, keadaan mereka dipulau tidak berpanjangan. Sebaik turunnya ayat yang menerima taubat mereka, para sahabat segera mendekati dan memeluk mereka sambil mensyukuri rahmat Allah. Ukhuwah kembali bertaut, kasih sayang kembali subur, dan nikmat berjemaah kembali bersinar. Ketiga-tiga sahabat tersebut terus istiqamah menggandakan amal serta perjuangan untuk mendaulatkan agama Allah.

Inilah sejarah yang sentiasa diulang sebagai iktibar. Tugas berjuang menegakkan Islam, menyeru manusia kepada perintah Allah, membina negara yang adil, dan menjamin kemakmuran yang sejahtera bukanlah perkara yang kecil dan boleh dibuat sambil lewa. Ia adalah besar dan perlu perhatian serius.

Kita yakin dengan tugasan dan amanah besar ini, tentulah kita akan berhadapn dengan segala cabaran. Namun dengan disiplin, kesatuan dan pertolongan Allah, PAS yakin ia akan berjaya dan akan kekal teguh sebagai wadah perjuangan yang berintegriti.

Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man

Timbalan Presiden PAS

01 Februari 2026

Post a Comment

0 Comments