Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan, beliau tidak akan melayan pelbagai tuduhan dan serangan peribadi yang dilemparkan terhadapnya, sebaliknya memilih untuk terus fokus melaksanakan tanggungjawab memimpin negeri.
“Orang ‘serang’ saya, abaikan saja.” Itu reaksi beliau.
Beliau berkata, dirinya menjadi sasaran pihak tertentu kerana lantang menyuarakan perkara yang dianggapnya sebagai kebenaran.
Menurut Sanusi, keberaniannya bersuara secara terus terang menyebabkan dirinya menjadi perhatian mahupun kritikan, termasuk dipantau selain diserang secara berterusan oleh pihak lawan.
“Saya ini jadi ‘wanted’ di Malaysia kerana cakap benda betul. Kalau cakap benda yang orang nak dengar, tak jadi apa. Cakap benda betul walaupun menyanggah arus, itu penting dalam dunia hari ini,” katanya, hari ini.
Sanusi turut melahirkan kekesalan terhadap sikap Kerajaan Persekutuan yang dilihat tidak konsisten dalam mempertahankan prinsip kebebasan bersuara seperti yang sering dilaungkan sebelum ini, selain menyifatkan ruang demokrasi semakin sempit apabila suara yang tidak sehaluan diberi tekanan.
“Mereka berjanji kebebasan bersuara, tetapi bila kita bersuara lebih sikit, macam-macam dibuat. Kalau tak ditahan, mereka upah orang untuk kutuk,” katanya.
Tambah beliau, wujud ‘pasukan khas’ yang memantau setiap ucapan mahupun ceramahnya sebelum memutarbelitkan kenyataan tersebut untuk menyerangnya kembali.
“Ada team khas di sebelah sana. Tiap-tiap perkataan saya diperhati, dipilih dan kemudian dihentam. Tapi saya buat tak peduli. Kalau ambil peduli, kita tak boleh kata apa-apa. Jadi saya abaikan saja.
“Orang yang memang makan upah untuk menahan gelombang berasaskan kebenaran, itulah kerja mereka untuk beri tekanan kepada kita, putar belit kenyataan kita, kacau dan tuduh macam-macam,” katanya.
Kebelakangan ini, Sanusi berdepan pelbagai serangan termasuk isu lama pemberian tapak kuil yang kembali ditularkan, dakwaan kononnya beliau bakal digulingkan oleh rakan sekutu dalam parti serta komitmen pihak tertentu untuk merampas kembali Kedah dan menjadikan negeri itu kubu kuat politik mereka.
Bagaimanapun, Sanusi menegaskan, beliau tidak gentar dengan tekanan, tuduhan mahupun cemuhan yang disifatkannya sebagai ‘makanan harian’ dalam dunia politik hari ini.
“Kita tak payah takut pada sesiapa, kecuali ALLAH SWT. Kutukan, kecaman, itu perkara biasa,” katanya.
Dalam pada itu, Sanusi berkongsi pesanan bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak yang menjadi pegangannya dalam menghadapi kecaman.
“Arwah ajar dulu, orang mengata kita, pahala kita dapat daripada orang yang mengata kita.
“Sahabat Rasullullah SAW, empat Khulafa al-Rasyidin, tiga daripadanya mati dibunuh. Kita ini setakat orang mengata saja. Bukan mati kena bunuh. Jauh sangat lagi nak sampai tahap itu. Jadi abaikan saja caci umpat keji.
“Semua itu akan jadi pahala kita di akhirat atau mereka yang akan jadi penanggung dosa kita,” katanya.
Beliau tegaskan, dirinya akan terus melangkah ke hadapan tanpa menghiraukan pelbagai tuduhan.
“Selagi kita hidup, ambil pengajaran daripada pejuang terdahulu. Sehebat-hebat sahabat Nabi pun diuji sampai mati dibunuh. Kita baru kena kutuk dan keji, kecil sangat luka kita. Jalan terus, abaikan saja,” katanya.
Menurut Sanusi, dalam menghadapi dunia akhir zaman tanpa sempadan, segalanya mudah untuk dimanipulasi dan ditafsir sesuka hati, sehingga sesiapa sahaja berisiko dilemparkan pelbagai persepsi.
“Anjing yang menyalak, kabilah teruskan perjalanan sampai ke destinasi.
“Insya-ALLAH, PAS akan terus berkembang dan berfungsi dalam bidang siasah, tarbiah, pendidikan dan kebajikan yang menjadi jati diri perjuangan kita,” katanya.
Tambah beliau, teras perjuangan parti adalah untuk mengajak umat melayari kehidupan dunia dengan selamat demi kesejahteraan dunia dan akhirat.

0 Comments