ISU SAHAM AZAM BAKI: GERAKAN DESAK SIASATAN TELUS, ‘TIADA DUA DARJAT’

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Satu siasatan bebas dan telus wajar dilakukan berhubung kontroversi pegangan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bagi memastikan prinsip ‘tiada dua darjat’ benar-benar ditegakkan.

Setiausaha Agung Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Wong Chia Zhen berkata, isu tersebut menyentuh asas integriti institusi penguatkuasaan terpenting negara dan tidak boleh dipandang ringan.

Menurutnya, keyakinan rakyat terhadap SPRM hanya boleh diperkukuhkan kembali melalui tindakan tegas, ketelusan serta akauntabiliti yang nyata.

“Siasatan telus amat wajar dalam memastikan institusi negara kekal bebas, berintegriti dan dihormati rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi GERAKAN Kedah berkata, parti itu menuntut penjelasan sama ada Azam telah melanggar Pekeliling Pengurusan Tatatertib dan Kelakuan Pegawai Awam 2024 yang secara jelas melarang penjawat awam daripada membeli atau memiliki saham melebihi lima peratus daripada modal berbayar atau bernilai lebih RM100,000 pada nilai semasa.

“Kami juga mendesak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) bersama Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) menyiasat perkara ini mengikut ketetapan dan peraturan yang berkuat kuasa,” katanya.

Beliau tegaskan, sebagai ketua badan pencegahan rasuah negara, Azam seharusnya mematuhi standard integriti paling tinggi kerana sebarang keraguan terhadap pematuhan peraturan kewangan dan tatakelakuan boleh menjejaskan kredibiliti SPRM serta keyakinan rakyat terhadap usaha memerangi rasuah.

Exco Kerajaan Negeri Kedah itu berkata, Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak boleh dilihat seolah-olah dilindungi atas alasan ‘sekadar menjalankan tugas’.

“Sebarang kenyataan mempertahankan tanpa siasatan bebas boleh menimbulkan persepsi bahawa SPRM tidak benar-benar bebas, sebaliknya bertindak menurut kepentingan pihak eksekutif. 

“Persepsi sedemikian amat berbahaya kerana ia boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap kebebasan dan kemandirian institusi anti-rasuah negara.

“Dalam isu melibatkan kepimpinan tertinggi SPRM, persoalannya bukan sekadar soal teknikal, tetapi soal kebebasan institusi dan kepercayaan awam,” ujar beliau.

Sementara itu, Presiden Badan Peguam Malaysia, Mohamad Ezri Abdul Wahab turut menegaskan sebarang semakan atau siasatan terhadap dakwaan melibatkan Azam mesti dilakukan secara jelas serta bebas daripada pengaruh eksekutif atau politik.

Beliau berkata, pihaknya tidak membuat sebarang penilaian terhadap merit dakwaan dan menegaskan persoalan fakta perlu ditentukan melalui proses undang-undang yang betul serta berasaskan bukti.

“Isu ini telah melangkaui soal peribadi dan secara langsung menyentuh keyakinan awam terhadap integriti institusi,” katanya dalam kenyataan media.

Sebelum ini, media melaporkan satu pasukan petugas khas tiga anggota telah dibentuk bagi menyiasat dakwaan berhubung pegangan saham Azam dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan yang dilaporkan melebihi had ditetapkan bagi penjawat awam.

Jawatankuasa khas itu dipengerusikan oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan turut dianggotai Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Panel berkenaan akan melaksanakan siasatan secara terperinci bagi memberikan pengadilan sewajarnya kepada pihak yang disiasat.

Bloomberg dalam laporannya sebelum ini mendakwa Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.

Bagaimanapun, Azam pada sidang media menegaskan bahawa pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.

Post a Comment

0 Comments