Oleh: Roslinda Hashim
KAHERAH - Mahasiswa, khususnya anak Kedah yang menuntut di luar negara digesa menggunakan hak mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sebagai tanggungjawab penting menentukan masa depan negara.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, setiap undi amat bernilai dan tidak wajar dipandang ringan kerana kemenangan atau kekalahan boleh ditentukan hanya dengan satu undi.
“Setiap orang hanya ada satu undi. Semua orang kena mengundi. Jangan pandang ringan, jangan anggap satu undi tidak beri kesan kerana satu undi pun boleh menang dan kurang satu undi pun boleh kalah,” katanya ketika berucap pada perasmian penutup program ‘Dari Dewan Ke Mahasiswa: Ke Mana Hala Tuju Suara Anak Muda?’ di Solitaire Hall, At The Railway Club, Nadi Sikkah, di sini.
Sanusi berkata, setiap mahasiswa yang layak mengundi tidak sewajarnya mengenepikan hak itu, kerana ia penentu dalam menegakkan kebenaran menerusi kuasa undi.
“Jadi mahasiswa yang belajar di luar negara, di mana sahaja mereka berada di seluruh dunia pada ketika ini, tolong selamatkan negara kita, gunakan kuasa undi,” katanya.
Sanusi tegaskan, amanah kepimpinan yang digalas oleh PAS dan kerajaan negeri merupakan langkah awal sebelum parti itu memimpin Malaysia pada masa hadapan, sekali gus memerlukan sokongan padu rakyat termasuk golongan mahasiswa.
“Pemimpin PAS yang diberi amanah, termasuk pemimpin Kerajaan Negeri perlukan sokongan sepenuhnya termasuk dari mahasiswa sama ada di dalam mahupun luar negara, Insya-ALLAH pada masa akan datang kita akan memimpin negara ini,” ujarnya.
Tambah beliau, kehadiran delegasi Kedah kali ini turut memberi tumpuan kepada usaha menyusun dan memastikan penuntut yang telah mencapai umur 21 tahun, walaupun berada jauh dari tanah air, dapat menunaikan tanggungjawab mengundi dalam PRU akan datang.
“Jangan beri alasan tinggal jauh, tak perlu mengundi atau tak boleh mengundi. Alasan itu tidak boleh diterima kerana mungkin ada kawasan yang kalah hanya disebabkan satu undi,” katanya.
Katanya lagi, kegagalan pengundi luar negara menunaikan tanggungjawab boleh memberi kesan besar terhadap keputusan pilihan raya.
Sehubungan itu, Sanusi berharap golongan mahasiswa melaksanakan tugas besar ini yang perlu digerakkan bersama dalam memastikan anak-anak Kedah di seluruh dunia yang layak mengundi menggunakan hak mereka dengan penuh kebijaksanaan.
“Ajak rakan-rakan lain untuk turut sama mengundi bila tiba masanya nanti. Kita akan ubah kerajaan (Kerajaan Perpaduan) yang ada hari ini dengan kerajaan baharu yang dipimpin PAS,” katanya.

0 Comments