KEMELUT BERSATU IBARAT ‘NAKHODA MENEBUK KAPAL SENDIRI’

 

Oleh: Roslinda Hashim

ALOR SETAR - Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Pendang, Abdul Razak Khamis menyifatkan krisis dalaman parti itu ibarat ‘nakhoda menebuk kapal sendiri’ susulan pemecatan Timbalan Presidennya pada 13 Februari.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang itu berkata, pemecatan Datuk Seri Hamzah Zainudin merupakan kemuncak kepada kemelut kepimpinan yang menurutnya gagal ditangani secara matang.

Menurut beliau, keputusan tersebut bukan sahaja mengejutkan ahli akar umbi, malah memberi kesan besar terhadap imej parti yang sebelum ini sudah berdepan pelbagai polemik dalaman.

“Malangnya, yang menjadi mangsa daripada semua kemelut ini ialah BERSATU sendiri. Selepas beberapa bulan menjadi bahan ketawa kerana kepimpinan tidak tahu menyelesaikan masalah, akhirnya Presiden dan orang-orang kanannya sendiri secara terbuka menebuk kapal dari dalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Razak bagaimanapun berkata, pemecatan itu secara tidak langsung ‘membebaskan’ Ahli Parlimen Larut itu daripada terus dijadikan kambing hitam dalam konflik dalaman parti.

“Pemecatan itu sebenarnya membawa tuah kepada Hamzah, dia beruntung dan bernasib baik kerana   dirinya kini bebas daripada terus menjadi ‘punching bag’.

“Pada masa sama, Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden); Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Setiausaha Agung) dan Datuk Tun Faisal Ismail Aziz (Ketua Penerangan) berjaya memenuhi cita-cita untuk membebaskan diri daripada bayang-bayang Hamzah, dan boleh lakukan apa yang mereka mahu tanpa perlu risau pada bayang-bayang sesiapa pun lagi,” jelasnya.

Sebagai antara individu terawal membina parti itu, Abdul Razak mengakui kecewa melihat hala tuju BERSATU yang menurutnya semakin tersasar daripada asas perjuangan sebenar.

“BERSATU pada dasarnya tidak ada masalah. Dasar dan asas perjuangannya kukuh, hala tuju jelas. Sebab itu pada awalnya parti ini mendapat gelombang sokongan rakyat. Tetapi nafsu mengatasi segala-galanya.

“Hasrat untuk melihat BERSATU berdiri sebagai wadah perjuangan agama, bangsa dan tanah air dirosakkan oleh orang-orang yang meletakkan kepentingan diri melebihi kepentingan perjuangan,” katanya.

Tambah beliau, perbezaan pandangan merupakan perkara biasa dalam mana-mana organisasi namun 

kebijaksanaan pemimpin amat diperlukan dalam menyelesaikan sebarang pertikaian.

“Parti politik bukan institusi malaikat. Ia dihuni manusia dengan ego, aspirasi dan strategi yang kadangkala bercanggah. Menyelesaikan masalah ibarat menarik rambut dalam tepung, rambutnya tidak putus, tepungnya tidak berselerak.

“Rundingan mesti menjadi jalan utama. Rundingan bukan tanda lemah. Ia tanda matang. Kepentingan parti wajib mengatasi kepentingan peribadi. Jika setiap keputusan didorong oleh keinginan untuk ‘menang’ dalam pertembungan dalaman, akhirnya semua akan kalah, paling rugi ialah parti serta penyokongnya,” jelas beliau.

Abdul Razak mendakwa budaya berpuak-puak serta pertembungan dalaman yang berpanjangan menyebabkan fokus terhadap isu rakyat semakin terabai.

“Dalam sistem demokrasi yang sihat, kerajaan memerlukan pembangkang yang kuat dan berfungsi,  mampu menyemak dan mengimbangi kuasa, mengemukakan idea, serta menawarkan dasar alternatif.

Tetapi BERSATU lebih sibuk bercakaran sesama sendiri hingga hilang fokus terhadap isu rakyat,” katanya.

Menurut beliau lagi, situasi itu bukan sahaja menjejaskan parti, malah memberi implikasi kepada rakan dalam Perikatan Nasional (PN), khususnya PAS yang turut terpalit dengan persepsi negatif akibat publisiti buruk melibatkan BERSATU.

“Percayalah, dengan apa yang berlaku sekarang, BERSATU akan terus bertambah rosak,” katanya.

Abdul Razak berpandangan, sekiranya pendekatan rundingan dan kebijaksanaan kepimpinan tidak diutamakan, parti itu berdepan risiko kehilangan lebih ramai ahli serta sokongan akar umbi.

Post a Comment

0 Comments