PKR DAKWA KEDAH BAKAL KUBU KUAT, PAS SANGKAL DENGAN FAKTA PRU

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Hasrat Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjadikan Kedah sebagai kubu kuat disifatkan tidak berasaskan realiti semasa apabila parti itu hanya memenangi satu kerusi Parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan PAS Kedah, Zulkifli Yahaya berkata, kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa parti itu berjaya menawan beberapa kerusi Parlimen di negeri ini juga adalah kenyataan yang tidak tepat.

Menurut beliau, pada PRU15, daripada keseluruhan 15 kerusi PKR hanya memenangi kerusi Parlimen Sungai Petani dengan majoriti tipis 1,115 undi.

“Bukannya beberapa kerusi Parlimen seperti didakwa Anwar. Manakala di peringkat DUN pula, PKR hanya menang di Bakar Arang dan Sidam. 

“Dua kerusi itu pula bukan ditawan, sebaliknya hanya dipertahankan kerana sebelum PRU14 lagi PKR sudah memenanginya. Malah majoriti yang diperoleh jauh lebih merosot berbanding pilihan raya sebelum itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada Jumaat, ketika berucap pada Konvensyen Keadilan Kedah 2026, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Kedah dijadikan kubu kuat PKR selepas parti itu berjaya menawan beberapa kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya lalu, terutama di selatan negeri ini.

Perdana Menteri berkata, Kedah berpotensi menjadi contoh kubu terbaik kepada semua pergerakan parti itu di negeri lain, selain yakin Kedah mampu ditawan semula berdasarkan keupayaan parti pada masa ini yang disifatkan berada pada tahap terbaik.

Kedudukan itu katanya, perlu dimanfaatkan untuk terus memperkukuh kekuatan di peringkat cabang serta negeri. Ia berikutan parti-parti lain di negara ini, khususnya pembangkang dilihat dalam keadaan tidak stabil.

Anwar percaya keadaan semasa ini penting bagi mengukuhkan cabang parti sebagai asas kekuatan PKR.

Dalam pada itu, Zulkifli tegaskan, meskipun Perikatan Nasional (PN) tewas tipis di Parlimen Sungai Petani (majoriti 1,115) pada PRU15, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) setahun selepas itu menunjukkan perubahan ketara.

Katanya, jumlah keseluruhan undi bagi tiga DUN dalam Parlimen Sungai Petani memperlihatkan PN mengatasi Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti 19,054 undi.

“Senario terkini jelas menunjukkan sokongan rakyat terhadap PH khususnya PKR semakin merudum berbanding PRU lalu.

“Justeru, dakwaan kosong oleh Anwar kononnya Kedah bakal menjadi kubu kuat PKR dilihat sekadar usaha menyedapkan hati ahli-ahli veteran PH agar tidak pupus di Kedah, supaya mereka terus bersemangat di negeri ini,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Zulkifli menggesa pemimpin PKR supaya memberi tumpuan kepada usaha pembangunan negeri berbanding asyik berpolitik.

“Daripada asyik merancang strategi politik kepartian tanpa henti, lebih baik mereka bantu Kerajaan Negeri membangunkan Kedah.

“Status mereka sebagai parti yang membentuk Kerajaan Persekutuan seharusnya diterjemahkan dengan tanggungjawab terhadap negeri ini, bukan mengabaikan Kedah,” katanya.

Beliau turut menempelak sikap seorang menteri Kerajaan Persekutuan yang diamanahkan menyelaras Jabatan Pembangunan Persekutuan di Kedah, yang sehingga kini masih gagal mengadakan mesyuarat bersama Menteri Besar bagi tujuan penyelarasan pembangunan negeri.

“Konsep federalisme antara Persekutuan dan negeri seharusnya dihormati demi kepentingan dan kebajikan rakyat,” katanya.

Post a Comment

0 Comments