Roslinda Hashim
PENDANG - PAS mempersoalkan hasrat UMNO membentuk kerjasama baharu penyatuan Melayu-Islam kerana parti itu didakwa tidak lagi mampu menjadi tonggak perjuangan umat selepas dilihat terlalu bergantung kepada Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sejak sekian lama PAS sudah mengangkat agenda penyatuan umat Islam dalam siasah dan telah beberapa kali memberi sokongan di luar konteks politik, termasuk idea ‘payung besar’ diilhamkan Tun Dr Mahathir Mohamad.
“PAS sebelum ini sering bercakap tentang penyatuan khususnya kekuatan umat Islam dalam siasah politik. Maka kita panggil semua (parti) bersama sebelum ini, kita sudah wujudkan beberapa penyatuan luar konteks politik.
“UMNO baru bercakap soal muafakat kelmarin, mereka ambil idea kita selepas tertubuhnya Muafakat Nasional (MN). Sekarang mereka pun nak buat muafakat juga, tetapi yang baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Dana Pembangunan Dewan Tuan Guru Haji Jusoh, di Kompleks PAS Pendang, Gajah Mati, pada Ahad.
Beliau yang juga Pengerusi PN Kedah berkata, realitinya, sukar untuk bekerjasama dengan UMNO yang disifatkan sebagai parti yang lemah namun tetap mahu menjadi ketua.
“Hasrat UMNO itu boleh diibaratkan umpama memiliki sebuah kedai kecil. PAS ada kedai besar, barang ada 43, sementara kedai UMNO hanya ada barang 26, tetapi dia nak jadi taukeh,” katanya.
Menurut Sanusi lagi, ‘drama’ yang dipamerkan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 juga tidak wajar memperdayakan rakyat kerana ia telah disusun rapi dan akhirnya UMNO kembali bekerjasama dengan DAP.
“Kalau tengok drama dalam PAU 2025, jangan terpesona, sama taraf drama sinetron. Himpunan PAU sama saja, semua drama atau orkestra yang telah disusun sebegitu, orang ini bercakap, Akmal (Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh) tegur sikit, orang ini pujuk.
“Akhirnya semua pakat tepuk tangan. Akhirnya kembali berkawan dengan DAP. Sebelum itu, kata macam-macam pada DAP, akhirnya minta maaf, habis drama. Jadi UMNO tak boleh lagi diletakkan harapan,” ujar beliau.
Menteri Besar Kedah itu berkata, UMNO mencatat rekod terburuk dalam sejarah apabila hanya memiliki 26 kerusi Parlimen berbanding DAP sebanyak 40 kerusi, sekali gus menyebabkan UMNO tidak bebas bersuara mempertahankan kepentingan Melayu.
“Bukan main chengei (garang) kata pada DAP kelmarin, hari ini DAP bunyi, minta maaf dan tarik balik. Buat malu Melayu.
“UMNO tak boleh berdiri tegak, tak boleh bercakap bebas untuk perteguhkan perjuangan orang Melayu sebab UMNO telah tersungkur di kaki DAP,” katanya.
Sanusi juga mendakwa UMNO telah lama menyeleweng daripada dasar dan tujuan penubuhan parti Melayu itu dengan menjadikan ia saluran untuk mengkayakan pemimpinnya.
“Di situ berhimpunnya golongan pelobi, broker dan pencari projek berpuluh tahun, akhirnya mereka tersungkur dengan limpahan kekayaan, sebab itu berlaku sakau-menyakau. PAS tidak begitu, ahli yang bela parti, bukan parti bela ahli dengan duit,” katanya lagi.
Pada 17 Januari, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan penangguhan PAU 2025, mencadangkan pembentukan kolaborasi agung bagi menyatukan parti-parti politik Melayu-Islam tanpa menggugat Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahmad Zahid tegaskan, tidak perlu mana-mana parti yang akan menyertainya membubarkan parti mereka, sebaliknya bergabung bersama secara tidak rasmi sebagai langkah awal sebelum menjadikannya sebagai satu gabungan besar.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut mengumumkan pelantikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa.

0 Comments