PRU16 & MASA DEPAN POLITIK MELAYU-ISLAM

 


Oleh: Dr. Haim Hilman Abdullah
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat

UMNO dan Barisan Nasional (BN) pernah berdiri sebagai teras utama kestabilan politik negara serta wadah perjuangan orang Melayu dalam kerangka sebuah negara bangsa yang merdeka. Namun, perjalanan panjang kekuasaan itu akhirnya memperlihatkan satu hakikat yang sukar dinafikan iaitu penyimpangan beransur-ansur daripada prinsip asal perjuangan berteraskan Agama, Bangsa dan Tanah Air.

BN yang dahulunya sebuah gabungan politik besar dan berpengaruh, merangkumi 12 parti komponen pada PRU14, kini menyusut dengan ketara kepada hanya empat parti pada PRU15. Lebih signifikan, parti teras bukan Melayu dalam BN, iaitu MIC, turut dilihat berada di persimpangan yang memungkinkan perpisahan daripada gabungan tersebut. Penyusutan ini bukan sekadar statistik politik, tetapi isyarat jelas tentang kehilangan keyakinan dan legitimasi.

Kejatuhan UMNO tidak wajar ditanggapi secara simplistik sebagai pertembungan antara dua parti besar Melayu, PAS dan UMNO. Pendekatan sedemikian gagal membaca realiti politik secara matang dan menyeluruh. Hakikatnya, PAS sejak sekian lama konsisten mengambil posisi berprinsip, menghormati UMNO serta mengajak kepada agenda penyatuan ummah, sama ada melalui Muafakat Nasional mahupun Perikatan Nasional (PN).

Apabila diteliti secara objektif dan berfakta, kemerosotan UMNO dan BN bukan fenomena mendadak, sebaliknya hasil proses pelemahan berpanjangan selama lebih satu dekad — bermula dari PRU12 (2008) hingga PRU15 (2022).

PRU12 (2008): 140 kerusi Parlimen
PRU13 (2013): 133 kerusi
PRU14 (2018): 79 kerusi
PRU15 (2022): 30 kerusi

Trend ini mencerminkan erosion of trust yang berterusan dalam kalangan rakyat, khususnya orang Melayu, terhadap kepimpinan dan hala tuju UMNO serta BN.

Pelbagai faktor menyumbang kepada kemerosotan ini. Namun, dalam kesedaran kolektif rakyat, isu rasuah, nepotisme, kronisme dan kleptokrasi telah menjadi simbol kepada kegagalan moral dan tadbir urus yang membelenggu UMNO khususnya, serta BN secara keseluruhan. Apabila nilai amanah runtuh, kuasa kehilangan legitimasi.

Ironinya, pada saat UMNO paling memerlukan reformasi menyeluruh dan keberanian untuk berubah, kepimpinan tertinggi parti memilih untuk mempertahankan struktur lama yang telah ditolak rakyat. Kesempatan untuk muhasabah dan pembaharuan disia-siakan demi kelangsungan elit tertentu.

Lebih meresahkan, kepimpinan akar umbi yang mempunyai kuasa menentukan arah parti memilih untuk mengekalkan tokoh-tokoh bermasalah, sementara pemimpin yang berprinsip, kritikal dan reformis pula dipinggirkan atau disingkirkan. Budaya ini bukan sahaja mematikan daya pembaharuan, malah mempercepatkan kejatuhan.

Kekecewaan ahli UMNO dan nasionalis Melayu mencapai kemuncaknya apabila UMNO memilih untuk bersekutu dengan DAP, sebuah parti yang selama ini ditanggapi bercanggah secara prinsip dengan aspirasi politik Melayu-Islam. Kini UMNO BN dan DAP bersama dalam kerajaan perpaduan.

Pendedahan perbualan telefon antara seorang kepimpinan tertinggi UMNO dengan tokoh utama Pakatan Harapan sebelum pembentukan Kerajaan Perpaduan telah menambah luka dan kekecewaan. Bagi ramai ahli UMNO, tindakan ini dilihat sebagai pengorbanan maruah agama dan bangsa demi kelangsungan kuasa politik jangka pendek.

Sebaliknya, detik pembentukan Muafakat Nasional antara UMNO dan PAS suatu ketika dahulu disambut dengan penuh emosi dan harapan oleh orang Melayu. Ia dianggap sebagai doa yang akhirnya terjawab iaitu setelah puluhan tahun pertembungan politik yang melelahkan dan melukakan.

Muafakat itu melambangkan keinsafan kolektif bahawa perpecahan sesama sendiri hanya melemahkan umat dan bangsa. Namun, keindahan itu tidak bertahan lama. Ia runtuh bukan kerana penolakan rakyat, tetapi akibat kegagalan kepimpinan mempertahankan amanah dan kepercayaan.

Runtuhnya Muafakat Nasional meninggalkan kesedihan yang mendalam dalam jiwa orang Melayu. Dari titik inilah bermulanya peralihan sokongan besar-besaran ahli dan penyokong UMNO beralih kepada PAS atau PN, manakala pengundi Melayu atas pagar turut memilih PAS atau PN.

Hakikatnya, prestasi cemerlang PAS dan PN dalam PRU15 tidak dapat dipisahkan daripada sokongan tersebut. PAS menerima amanah tersebut dengan penuh rasa tanggungjawab dan keinsafan, menyedari bahawa ia bukan sekadar kemenangan politik, tetapi harapan besar umat dan bangsa.

Atas kesedaran itulah PAS terus berusaha memperkukuh kerjasama dalam PN, demi membina sebuah Malaysia baru yang bersih tadbir urusnya, stabil pentadbirannya, prihatin terhadap rakyatnya dan progresif pembangunannya.

Sekiranya penyatuan Melayu melalui PN atau Muafakat Nasional belum dapat direalisasikan sepenuhnya, orang Melayu tidak seharusnya tenggelam dalam kekecewaan. Harapan masih wujud dan ia menuntut keberanian untuk memilih dengan jelas dan konsisten.

Walaupun PAS pernah bekerjasama dengan DAP, kerjasama tersebut ditamatkan secara bermaruah apabila garis-garis asas agama dan bangsa dilanggar. Bagi PAS prinsip mengatasi kepentingan politik sementara.

Persoalan mengapa PAS menolak kolaborasi agung yang digagaskan oleh UMNO baru-baru ini perlu dijawab dengan jujur dan berfakta. Isunya bukan keengganan untuk bersatu, tetapi ketidaksanggupan untuk bersekongkol dengan kepimpinan yang sanggup mengorbankan prinsip demi kelangsungan kuasa dan kepentingan diri.

Kepada orang Melayu khususnya dan rakyat Malaysia amnya, sejarah telah mengajar satu pengajaran yang mahal, jangan berulang kali meletakkan harapan pada kepimpinan yang telah mengkhianati amanah.

Benar, PAS belum pernah menerajui pemerintahan negara. Namun ketiadaan peluang bukan bukti ketidakmampuan, sebaliknya refleksi kepada sistem dan sejarah politik yang belum memberi ruang.

Dengan visi yang jelas dan prinsip yang teguh, PAS dan PN membuka pintu seluas-luasnya kepada semua tokoh dan parti Islam dan bukan Islam yang bersih, berintegriti dan berwawasan, untuk bersama membina negara yang adil dan bermaruah.

PAS khususnya telah meneliti secara mendalam kepincangan yang wujud dalam pentadbiran hari ini dan bersedia menawarkan penyelesaian yang berteraskan nilai, keadilan dan kebajikan rakyat, sekiranya diberi mandat oleh rakyat pada PRU16.

Dengan menggerakkan barisan anak Malaysia terbaik tanpa mengira kaum dan latar, PAS yakin mampu membina Malaysia baru yang bersih, progresif, inklusif dan berdaya saing di persada dunia.

Post a Comment

0 Comments