Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Institusi penghulu di negeri ini disaran menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi digital dan kaedah komunikasi moden, termasuk memanfaatkan platform media sosial sebagai medium menyampaikan maklumat kepada rakyat dengan cepat dan berkesan.
Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin bertitah agar penggunaan platform seperti TikTok, Facebook dan Instagram bukan sahaja dapat menjadi saluran penyampaian maklumat, malah berperanan sebagai medium awal untuk mengenal pasti permasalahan rakyat di peringkat akar umbi.
“Media sosial, jika dimanfaatkan secara berhemah dan beretika, mampu mengukuhkan kepercayaan rakyat serta memperlihatkan penghulu sebagai pemimpin masyarakat yang dekat dengan rakyat, khususnya generasi muda,” titah baginda.
Raja Muda Kedah bertitah demikian ketika berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Hi-Tea sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Kesatuan Penghulu/Penggawa Semenanjung Malaysia Cawangan Negeri Kedah, hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali dan Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Dato’ Syed Khairol Anwar Syed Abidin.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan, Muhammad Radhi Md Din serta Pengerusi Kesatuan Penghulu/Penggawa Semenanjung Malaysia Cawangan Negeri Kedah, Jamani Jamaludin.
Tengku Sarafudin Badlishah berharap penghulu terus memperkukuhkan peranan sebagai pemimpin akar umbi yang progresif, berintegriti dan berpandangan jauh, selari dengan perubahan sosial dan ekonomi yang semakin mencabar.
“Penghulu juga perlu miliki kemahiran komunikasi yang berkesan serta bersedia menerima idea dan pendekatan baharu, pada masa sama mengekalkan pegangan teguh terhadap agama, nilai murni, adat dan budaya.
“Gabungan nilai tradisi dan pemodenan inilah yang akan memastikan institusi penghulu terus dihormati dan kekal relevan sepanjang zaman,” titah baginda.
Baginda turut menzahirkan keprihatinan terhadap beban tugas penghulu yang semakin bertambah seiring perubahan landskap pentadbiran, kemajuan teknologi dan peningkatan keperluan rakyat, sekali gus mencadangkan agar pihak berkaitan mengkaji semula kelayakan jawatan, skim perkhidmatan serta gred penghulu supaya selari dengan tanggung jawab semasa.
“Pengiktirafan sewajarnya bukan sahaja melambangkan keadilan, malah berupaya meningkatkan motivasi serta profesionalisme institusi penghulu secara keseluruhan,” titah baginda.
Raja Muda Kedah tegaskan, aspek kesihatan penghulu juga perlu diberi perhatian kerana beban tugas yang bertambah memerlukan tahap kesihatan fizikal, mental dan emosi yang baik.
“Amalkan gaya hidup sihat, pemakanan seimbang dan dapatkan rehat mencukupi, selain jalani saringan kesihatan lengkap khususnya bagi mereka berusia lebih 40 tahun.
“Kesihatan penghulu merupakan aset berharga kerana kesejahteraan mereka memberi kesan langsung kepada kualiti perkhidmatan kepada rakyat,” titah baginda.
Institusi penghulu merupakan antara institusi pentadbiran terawal di Kedah yang wujud sekitar tahun 1,800 dan berperanan sebagai wakil pemerintah, penjaga adat, pendamai masyarakat serta pelindung kebajikan rakyat di peringkat mukim.
Walaupun berdepan perubahan zaman dan cabaran semakin kompleks, institusi penghulu kekal relevan serta terus menjadi tunjang penting sistem pentadbiran negara, khususnya di peringkat komuniti setempat.

0 Comments