MENONGKAH SUDUT PANDANG “SIAPA AMIR PAS?” OLEH DR ZUHDI MARSUKI

 


Oleh: Wan Rohimi Wan Daud
Pengerusi Lujnah Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (LUHAM), PAS Pusat

1. Saya berkesempatan menekuni tulisan kekanda Dr Zuhdi Marsuki, mantan AJK Pas Pusat yang bertajuk “BENARKAH MURSYIDUL AM ADALAH AMIR?!

2. Panjang lebar Dr Zuhdi menjahit-carik hujjahnya, disulami pula dengan siirah pelantikan Abdullah bin Jubayr RA sebagai "amir" bagi kumpulan pemanah di Jabal Rummah semasa Perang Uhud dan Umar bin al-Khattab RA memakai gelaran "amir al-mu'minin" selepas dilantik jadi khalifah, serta kisah Muaz bin Jabal RA, untuk tampil menyimpulkan bahawa bagi PAS – jawatan Mursyidul Am adalah AMIR atau KETUA.

3. Lantas Dr Zuhdi dengan yakin memulakan bicara dengan menyimpulkan bahawa beliau telah berjaya membongkarkan segala kekeliruan dan kekaburan di dalam PAS selama ini, tentang kedudukan Mursyidul Am.

4. Nampaknya selepas 75 tahun PAS lahir di bumi Malaysia, baru semalam hanya Dr Zuhdi seorang saja di kalangan jutaan ahli PAS  yang faham bahasa dan lenggok Perlembagaan PAS.

5. Tidak lah saya berhajat mengusutkan perdebatan yang sedia panjang – kerana di luar sudah ramai yang menulis-sanggah sudut pandang Dr Zuhdi tentang bidangkuasa Mursyidul Am, Majlis Syura Ulama, Presiden dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. 

6. Saya bersetuju dengan semua pandangan tulisan yang menyanggah sudut pandang Dr Zuhdi tentang isu ini. Tidak mengapa jika saya tidak tergolong dari kalangan “berjaya membongkarkan kekeliruan dan kekaburan” dalam Perlembagaan PAS.

7. Cuma saya tertarik apabila Dr Zuhdi sendiri mengakui dan menulis bahawa perkataan “amir” adalah “a-ma-ra” yang bermaksud memerintahkan atau mengarahkan supaya dilakukan sesuatu. Di dalam pengertian yang lebih lengkap, menurut Dr Zuhdi, “Amir” bermaksud “KETUA” bagi sesuatu kumpulan.

8. Mudah kata mengikut Dr Zuhdi – perkataan Amir atau Ketua tidak merujuk kepada jawatan Presiden PAS, tetapi kepada Mursyidul Am PAS.

9. Saya tidak berhajat berhujah panjang, cuma sekadar meminta Dr Zuhdi membetulkan bingkai speknya, membelek semula Perlembagaan PAS, merujuk kepada mukasurat 58 (cetakan terbaru pindaan 2025), di bawah Fasal 39 [Tugas-Tugas Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat] (1) [Presiden] (a), maka Dr Zuhdi akan menjumpai perkataan berikut:

“Bertanggungjawab sebagai KETUA bagi melaksanakan pentadbiran, gerakan dan kegiatan PAS bagi mencapai tujuan-tujuan yang termaktub dalam Perlembagaan ini….”

10. Ada bukan perkataan KETUA? Di bawah tajuk Presiden [Fasal 39 (1)(a)].

11. Bukankah perkataan KETUA dalam Fasal 39(1)(a) itu sama dengan perkataan AMIR yang Dr Zuhdi kisahkan dengan sandaran siirah Abdullah bin Jubayr RA, Umar bin al-Khattab RA dan Muaz bin Jabal RA.

12. Kalau tak silap saya, perkataan AMIR itu dalam bahasa Arab, maksudnya sama dengan perkataan KETUA dalam bahasa Melayu.

13. Cuba kita bandingkan dengan Fasal 9(1) [Mursyidul Am] (a) yang memperuntukkan sebagai “bertanggungjawab sebagai KETUA MAJLIS SYURA ULAMA..”.

14. Ada beza tak KETUA (bagi keseluruhan parti PAS) dan KETUA kepada Majlis Syura Ulama”?.


15. Mudah bukan Perlembagaan PAS?.

16. Justeru tidak perlulah diputar ligat ke segenap penjuru alam untuk mewujudkan sesuatu yang tiada dalam Perlembagaan hanya kerana kita tidak berkenan dengan sesuatu sosok atau kita terlebih cenderung berpihak kepada sosok yang lain.

17. Pada akhirnya kita menyumbang kepada pertembungan yang semakin menajam antara 2 institusi parti yang sangat dihormati.

… bersambung untuk ulasan tentang proses pindaan Perlembagaan PAS (termasuk Fasal 15A)...

WAN ROHIMI BIN WAN DAUD
Pengerusi,
Lujnah Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (LUHAM), PAS Pusat.
28 Januari 2026 | 9 Syaaban 1447 H

Post a Comment

0 Comments