Oleh: Mohamed Sukri Omar
Pengerusi Lajnah Dakwah & Pembelaan Islam
Pemuda PAS Malaysia
Saya mengambil maklum pengumuman YB Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya bahawa Sambutan Hari Pekerja Pelancongan akan dianjurkan bersama Water Musical Festival di Bukit Bintang selama tiga hari bermula 1 Mei 2026, sempena pelaksanaan kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026).
Saya menyokong sepenuhnya aspirasi kerajaan untuk memperkukuh sektor pelancongan negara, merancakkan ekonomi domestik serta membantu kelangsungan perniagaan hotel, peruncitan dan perusahaan kecil dan sederhana. Usaha mempromosikan kepelbagaian budaya, warisan dan perayaan utama negara juga merupakan langkah yang wajar dan perlu diteruskan.
Namun demikian, bantahan saya adalah bersifat berprinsip, berfakta dan bertanggungjawab, khususnya terhadap pemilihan lokasi dan bentuk penganjuran Water Musical Festival di kawasan awam tumpuan seperti Bukit Bintang.
Pertama, Bukit Bintang ialah pusat perniagaan dan pergerakan awam yang kritikal, digunakan setiap hari oleh ribuan pekerja, peniaga, penduduk setempat dan pengguna pengangkutan awam. Penutupan jalan selama tiga hari di kawasan ini akan memberi impak besar kepada mobiliti bandar, operasi perniagaan kecil, keselamatan awam serta keselesaan orang ramai, termasuk pelancong keluarga dan warga emas.
Kedua, konsep festival air terbuka dan hiburan jalanan berskala besar yang melibatkan percampuran bebas dan suasana pesta awam perlu dinilai secara lebih teliti dari sudut nilai, adab, sensitiviti budaya tempatan serta keharmonian sosial, khususnya dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dengan Islam sebagai agama Persekutuan.
Ketiga, penganjuran program seumpama ini di kawasan sesak juga mendedahkan risiko keselamatan, kesihatan awam dan penguatkuasaan, termasuk kesesakan melampau, kecederaan, vandalisme, pencemaran serta potensi gangguan moral. Pendekatan pelancongan tidak seharusnya dilihat hanya melalui lensa hiburan, tetapi mesti berpaksikan kelestarian, kesejahteraan masyarakat dan imej negara.
Keempat, saya ingin menegaskan bahawa bantahan ini bukan penolakan terhadap Visit Malaysia 2026, malah selari dengan matlamat kempen tersebut yang menonjolkan identiti budaya, warisan dan perayaan berteraskan nilai tempatan seperti Aidilfitri, Deepavali, Tahun Baharu Cina, Gawai dan Tadau Kaamatan. Justeru, pemilihan acara utama mestilah mencerminkan jati diri Malaysia, bukan sekadar meniru model pesta jalanan luar negara yang tidak semestinya sesuai dengan konteks tempatan.
Sehubungan itu, saya menggesa pihak Kementerian Pelancongan, Kerajaan Persekutuan dan DBKL supaya:
1. Menilai semula penganjuran Water Musical Festival di Bukit Bintang dari sudut lokasi, skala dan bentuk acara.
2. Mengadakan sesi libat urus bersama penduduk, peniaga dan pihak berkepentingan setempat.
3. Mengutamakan acara pelancongan yang berunsur budaya, keluarga dan komuniti, selari dengan nilai masyarakat serta imej Malaysia di mata dunia.
Hakikatnya, kekuatan utama Malaysia di mata pelancong asing bukan terletak pada pesta jalanan atau hiburan bebas, tetapi pada budaya, adab, warisan dan identiti ketimuran yang membentuk jati diri negara ini. Dunia datang ke Malaysia untuk merasai keunikan budaya tempatan, keramahan masyarakat, nilai kekeluargaan, kepelbagaian adat dan keharmonian beragama yang menjadi ciri istimewa negara ini.
Lihatlah negara seperti Jepun, yang mempertahankan adab, disiplin dan nilai tradisionalnya; Korea Selatan, yang mempromosikan budaya dan identiti sendiri secara terkawal dan berstrategi; serta Maghribi dan Turki, yang menjadikan warisan, seni bina, pakaian dan tradisi Islam sebagai tarikan utama pelancong dunia. Mereka tidak mengorbankan identiti demi menarik pelancong, sebaliknya identiti itulah yang menjadi magnet pelancongan.
Malaysia juga mampu dan wajar menempuh jalan yang sama. Mempertahankan budaya dan identiti ketimuran bukan penghalang kemajuan, malah asas kepada pelancongan yang bermaruah, lestari dan dihormati di peringkat antarabangsa. Jika identiti dikorbankan, kita bukan sahaja kehilangan jati diri, tetapi akhirnya kehilangan keunikan yang membuat dunia ingin datang ke negara ini.
Pelancongan yang berjaya bukan yang paling bising dan sensasi, tetapi yang berakar pada nilai, berteras budaya dan berwajah Malaysia.
#PemudaPAS #TerusMemimpin

0 Comments