Oleh: Mohamed Sukri Omar
Saya berpandangan bahawa landskap politik negara hari ini menuntut suatu kebijaksanaan baharu yang lebih matang, berlapang dada dan berpaksikan kepentingan ummah serta negara. Dalam konteks ini, usaha menghidupkan semula Muafakat Nasional wajar diberi perhatian serius sebagai satu payung besar penyatuan. Saya menyokong penuh cadangan Ketua Pemuda Umno Malaysia untuk menghidupkan kembali muafakat nasional, malah disambut Ketua Pemuda PAS Malaysia.
Muafakat Nasional bukan sekadar kerjasama politik jangka pendek, tetapi suatu gagasan penyatuan strategik yang memayungi parti-parti Melayu serta rakan-rakan bukan Melayu yang sederhana, rasional dan menolak ekstremisme. Negara ini hanya mampu distabilkan melalui politik yang membina, bukan politik yang merobohkan.
Saya melihat inilah masa terbaik untuk parti-parti Melayu melakukan reset secara menyeluruh. Reset dari sudut pendekatan, budaya berpolitik, tatakelola kepimpinan dan keutamaan perjuangan. Politik dendam dan saling mencurigai mesti digantikan dengan politik muafakat, amanah dan tanggungjawab bersama.
Sejarah telah membuktikan bahawa orang Melayu menjadi kuat apabila bersatu atas prinsip, bukan bersatu kerana kepentingan sempit. Dalam masa yang sama, kesatuan ini mesti bersifat inklusif dengan memberi jaminan keadilan, kestabilan dan kesejahteraan kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
Muafakat Nasional yang dihidupkan semula perlu berteraskan nilai kenegaraan, keadilan sosial, kestabilan ekonomi dan penghormatan kepada Perlembagaan serta institusi negara. Ia bukan nostalgia politik, tetapi satu keperluan strategik bagi menghadapi cabaran masa depan yang semakin kompleks.
Saya menyeru agar semua pihak menghentikan polemik tidak berkesudahan dan mula memikirkan tanggungjawab besar terhadap rakyat. Politik adalah medan khidmat, bukan medan ego. Negara ini terlalu berharga untuk terus dipertaruhkan dengan perpecahan.
PAS sentiasa konsisten membawa politik penyatuan, bukan politik pemusnahan. Demi agama, bangsa dan tanah air, jalan muafakat wajar diberi ruang untuk dibina kembali dengan kejujuran dan kebijaksanaan.

0 Comments