Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) tidak wajar dimansuhkan kerana kedudukan serta peranannya telah diperuntukkan secara jelas dalam perlembagaan gabungan itu.
Pengerusi PN Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perlembagaan PN memperuntukkan dua entiti berbeza, iaitu Majlis Presiden dan Pengerusi PN yang masing-masing mempunyai fungsi tersendiri dan tidak boleh dihapuskan secara sewenang-wenangnya.
“Dalam perlembagaan PN, memang sudah ada Majlis Presiden yang dianggotai presiden-presiden parti untuk memberi nasihat dan mengawal dasar, manakala Pengerusi PN pula merupakan eksekutif yang mempengerusikan Majlis Tertinggi.
“Itu dua perkara berbeza dan kedua-duanya ada dalam perlembagaan. Jadi tidak timbul isu nak hapuskan satu atau yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program 1 Bulan 1 Sukan Peringkat Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.
Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN berkata, sebarang keputusan atau kenyataan berkaitan struktur kepimpinan PN perlu dibuat berdasarkan perlembagaan dan melalui konsensus semua parti komponen.
“Kesemua parti komponen termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS perlu ada konsensus. Tak boleh buat secara bersendirian. Apa-apa keputusan atau kenyataan, rujuk perlembagaan. Kalau berdasarkan perlembagaan, tak ada siapa akan pertikai.
“Cuma soal penafsiran perlembagaan itu perlu dibincang, dirunding dan diperhalusi oleh ahlinya,” katanya.
Dalam masa sama, Menteri Besar Kedah itu menasihatkan agar sebarang kenyataan yang dikeluarkan perlu berlandaskan Perlembagaan PN supaya tidak mengeruhkan hubungan antara rakan gabungan.
“Mereka yang bukan ahli kepada sesuatu perkara, tak payahlah campur tangan. Ini semua orang nak ulas.
“Saya boleh baca dan faham tetapi saya bukan ahli kepada dokumen undang-undang seperti itu, jadi biarlah pakar yang bercakap.
“Kalau kita tak tahu, tak usah cakap. Urusan begini biarlah diserahkan kepada ahlinya dan pakar supaya semuanya teratur,” katanya lagi.
Pada Rabu, media melaporkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan jawatan Pengerusi PN dimansuhkan dan kepimpinan gabungan itu disusun semula susulan pertikaian dalaman berhubung pelantikan ketua baharu.
Menerusi sepucuk surat kepada pimpinan PAS, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Muhyiddin dilaporkan berkata, BERSATU dan PAS bersetuju PN distruktur semula melalui penubuhan dua badan baharu, iaitu Majlis Presiden diterajui BERSATU dan Majlis Eksekutif dipengerusikan PAS.
Bagaimanapun, cadangan itu mencetuskan reaksi berbeza apabila Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan jawatan Pengerusi PN kekal dan tidak pernah dimansuhkan.
Abdul Hadi turut menegaskan, pemansuhan jawatan Pengerusi PN serta pelantikan pengerusi baharu seperti didakwa tidak pernah dibincangkan atau dipersetujui oleh PAS, termasuk dalam pertemuan pada 16 Januari lalu.

0 Comments