Roslinda Hashim
PENDANG - Kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun, Muhammad Arash Zulkarnain Mohamad Fariz Najdi, yang disahkan menghidap Langerhans’ Cell Histiocytosis (LCH), sejenis kanser yang menyerang hati sejak awal kelahiran, dijadualkan menjalani pembedahan pemindahan hati dalam tempoh terdekat bagi menyelamatkan nyawanya.
Bapanya, Mohamad Fariz Najdi Mahamad Subri, 31, berkata, penyakit yang dihidapi anak keduanya itu menyebabkan organ hati gagal berfungsi, sekali gus memerlukan pembedahan segera di Hospital Renji, Shanghai, China, sebagai satu-satunya pilihan rawatan.
Mohamad Fariz Najdi bersama isteri, Nor Syatirah Zairenor, 31, serta Adik Arash dijadualkan berangkat ke China hari ini (21 Januari) dan memohon orang ramai menitipkan doa agar pembedahan berkenaan berjalan lancar.
“Dengan rendah hati, saya mohon semua mendoakan keselamatan anak dan isteri saya yang bakal menjalani pembedahan pemindahan hati. Moga ALLAH SWT kurniakan kekuatan, lindungi mereka sepanjang prosedur pembedahan, angkat segala kesakitan, dan gantikan dengan kesembuhan serta kesihatan berpanjangan.
“Kami hanya mampu berharap pada rahmat dan kasih sayang ALLAH SWT, doakan kami,” katanya yang menetap di Kampung Paya Sena, dekat sini.
Menurutnya, keadaan kesihatan luaran anaknya ketika ini berada dalam keadaan baik, namun tahap kesihatan dalaman hanya akan diketahui sepenuhnya selepas pembedahan.
“Baru-baru ini dia mengalami selesema dan batuk. Kami hanya mampu berdoa agar semuanya dipermudahkan dan kesihatan anak terus dilindungi,” ujarnya.
Mohamad Fariz Najdi dan isterinya menaruh harapan untuk melihat pembedahan berjalan dengan lancar dan berjaya, seterusnya membolehkan Adik Arash membesar seperti kanak-kanak lain.
“Kami berharap urusan pergi dan pulang ke China dipermudahkan serta semuanya selamat,” katanya.
Nor Syatirah merupakan satu-satunya individu yang sesuai sebagai penderma dan sanggup mendermakan sebahagian hatinya demi menyelamatkan nyawa anak tersayang, dengan kos keseluruhan pembedahan dianggarkan sekitar RM185,000.
Dalam pada itu, keluarga itu merakamkan setinggi-tinggi kesyukuran apabila kutipan dana pemindahan hati Adik Arash yang dilancarkan berjaya mencapai sasaran, dengan jumlah kutipan mencecah RM212,106.75.
Usaha pengumpulan dana tersebut turut dibantu oleh Pertubuhan Biliary Atresia Semalaysia (BAMA), selain sokongan padu masyarakat dari seluruh negara.
Menurutnya, baki dana yang ada akan digunakan untuk rawatan susulan Adik Arash selepas pembedahan.
“Kami bersyukur kerana ketika kami buntu dan hilang arah mencari dana, ALLAH SWT hadirkan insan-insan yang baik untuk membantu. Terima kasih tidak terhingga kepada semua yang menghulurkan sumbangan dan doa.
“Hanya ALLAH SWT mampu membalas segala kebaikan semua dengan ganjaran berlipat ganda,” katanya dengan nada sayu.
Sebelum ini, pada 28 Disember 2025, keluarga berkenaan dilaporkan buntu mencari dana pemindahan hati berjumlah RM185,000, apabila kutipan ketika itu hanya merekodkan RM2,000.
Namun, selepas kisah Adik Arash disiarkan oleh Urus Setia Penerangan Darul Aman (UPDA), mereka berjaya mengumpulkan keseluruhan dana diperlukan dalam tempoh kurang sebulan, yang disumbangkan dari seluruh negeri.
Kesulitan ditanggung Adik Arash turut mendapat perhatian Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang menzahirkan keprihatinan terhadap nasib kanak-kanak berkenaan pada 7 Januari lalu.

0 Comments