Oleh: Dr Mukhtaruddin Musa
Ketua Penyelidik (Governans & Polisi), Yayasan Strategik Lestari
Pemerhati Politik
Tulisan ringkas ini tidak berhasrat untuk menjawab kecelaruan KPen BERSATU, tetapi lebih kepada menerangkan kepada rakyat fakta yang boleh dijadikan pertimbangan. Tulisan ini bukan berniat menyerang parti BERSATU secara keseluruhan, kerana saya yakin majoriti ahli BERSATU menganggap PAS adalah sahabat dan saudara.
1. Semenjak BERSATU mempunyai KPen yang baru, nampaknya BERSATU sudah menjadi BERDUA. BERSATU bukan lagi “terang” tetapi semakin malap.
2. KPen BERSATU itu sepatutnya menerang dasar BERSATU dan PN memandangkan beliau turut dalam pasukan penerangan PN, tetapi malangnya beliau menyerang rakan komponen PN.
3. Ada terdengar rungutan ahli BERSATU bahawa watak beliau ini suka mencari “pasal” dengan orang, dan saya hampir menjadi saksi hidup pada suatu malam ketika melepak bersama kawan di restoran mamak berdekatan IOI Putrajaya.
4. Namun itu bukan asas kepada penulisan ringkas ini. Saya hanya mahu menjawab kepada tohmahan yang mengatakan PAS ini tamak.
5. Untuk menilai PAS sebagai tamak atau tidak, perlu lihat sejarah persahabatan PAS dalam pakatan politik.
6. Ketika PAS bersama dalam Pakatan Rakyat dan Barisan Alternatif sebelum itu, PAS tidak pernah mengumumkan akan menjadi Perdana Menteri, walaupun PAS ketika itu lebih kuat dari KEADILAN (yang kini bertukar menjadi PKR).
7. PAS tidak kisah untuk menjadi PM, kerana PAS tahu, Anwar ketika itu lebih diterima rakyat Malaysia. Apa yang penting bagi PAS, Islam ditegakkan dalam negara ini.
8. Ketika krisis pertukaran MB Selangor dalam langkah Kajang, PAS tidak tamak menamakan ADUNnya yang menjadi Exco untuk menjadi MB, walaupun dikhabarkan pihak istana meminta PAS menamakan ADUNnya. PAS tetap mencalonkan YB dari PKR menjadi MB.
9. Ketika TSMY menjadi PM8, BERSATU memegang 10 jawatan menteri dan 13 timbalan menteri, walaupun ahli parlimen originalnya hanyalah 13 orang (selepas kerajaan PH 1.0 terbentuk, bertambah kerana beberapa ahli parlimen UMNO melompat, dan kemudian sekali lagi selepas langkah Sheraton, ahli Parlimen BERSATU bertambah selepas Ahli Parlimen PKR lompat ke BERSATU)
10. Ketika pembentukan kabinet PM8, diakui sendiri oleh TSMY,bahawa Presiden PAS awal-awal lagi menolak untuk menganggotai kabinet berbanding parti lain.
11. Manakala ketika masa DS Ismail Sabri, beliau mengakui PAS tidak mendesak untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri berbanding parti lain.
12. TSMY ketika sidang media sempena Perhimpunan Agung BERSATU di Shah Alam, Selangor pada tahun 2024 menyebut bahawa parti BERSATU menyasarkan jawatan menteri besar Pahang, Perak dan Selangor, walaupun ketika pengumuman dibuat, kerusi-kerusi yang dimenangi BERSATU di Pahang dan Perak sedikit berbanding PAS. Malah, secara zahirnya rakyat nampak keakraban Sultan Pahang dengan ADUN Cehka, YB DS TITM memberi kelebihan buat PAS untuk menduduki kerusi MB jika PN berjaya memerintah Pahang.
13. Cukup sekadar beberapa contoh yang diberikan, maka apakah asas yang KPen BERSATU ini mahu menyerang PAS dengan mengatakan PAS ini tamak untuk menjadi ketua?
Jangan sebab KPen dan beberapa orang KPen, ia menyebabkan hubungan mesra dan akrab yang terjalin sebelum ini antara PAS- BERSATU runtuh. Musuh kita adalah PH dan UMDAP.

0 Comments