Oleh: Roslinda Hashim
LUNAS - Parti Wawasan Negara (Wawasan) tidak akan secara automatik mewarisi semua kerusi yang dimenangi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Kedah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), sebaliknya agihan kerusi berkenaan perlu dirunding semula menerusi persefahaman politik Perikatan Nasional (PN).
Ketua Penerangan PAS Kedah, Zulkifli Yahaya berkata, kedudukan Wawasan yang merupakan parti baharu hasil perpecahan Bersatu menyebabkan agihan kerusi perlu mengambil kira perubahan kekuatan politik semasa.
Menurutnya, kekuatan Wawasan ketika ini juga tidak lagi sama seperti Bersatu sebelum berpecah kepada dua kumpulan.
“Wawasan hampir pasti bertanding di kerusi yang diperuntukkan kepada Bersatu pada PRU15 lalu, cuma jumlahnya akan ditentukan oleh kepimpinan tertinggi PN nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan peserta pada program Taklimat Isu-isu Semasa di Dewan SMITI Ibnu Khaldun, di sini.
Mengulas kemungkinan kerjasama PN dengan Barisan Nasional (BN) pada PRU16, Zulkifli yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah berkata, pembahagian kerusi antara kedua-dua gabungan itu turut bergantung kepada rundingan di peringkat kepimpinan tertinggi.
Katanya, berdasarkan formula yang digunakan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dan Melaka, BN tidak bersedia menyerahkan kerusi yang dimenanginya kepada PN, kecuali menerusi pertukaran kerusi.
“PN akur sepenuhnya kehendak BN dalam perkara itu. Insya-Allah, ini mungkin formula terbaik di SG4 dan BN pula kena akur kali ini,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan semua keputusan berkaitan agihan kerusi adalah hak kepimpinan tertinggi parti dan semua pihak perlu menghormati ketetapan yang dibuat.
“Tugas kita ‘samigna wa atoqna’ (kami dengar dan kami taat) dan bekerja untuk memenangkan semua calon PAS serta parti-parti gabungan,” katanya.
0 Comments