Nur Akasyah Sabri
ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sentiasa komited memastikan bekalan input pertanian mencukupi dan disalurkan kepada pesawah dalam tempoh yang ditetapkan bagi menjamin kelancaran aktiviti penanaman padi.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan, Dzowahir Ab. Ghani berkata, bagi pembekalan baja, proses pembekalan dan pengedaran Baja 1 dan Baja 2 untuk musim berkaitan telah diselesaikan sepenuhnya mengikut jadual ditetapkan.
“Bagi pembekalan Baja 3, proses perolehan telah dilaksanakan melalui kaedah tender terbuka. Walau bagaimanapun, kelewatan berlaku berikutan ketidakupayaan pihak pembekal memenuhi jadual pembekalan yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dato’ Romani Wan Salim (PAS-Bukit Pinang) berhubung tindakan yang diambil oleh Kerajaan Negeri bagi membendung dan menangani isu kekurangan bekalan baja dan benih padi yang semakin kritikal di seluruh Kedah, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Sehubungan itu, jelasnya, MADA telah melaksanakan pemantauan secara berterusan, mengadakan mesyuarat penyelarasan bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), selain mengeluarkan notis peringatan dan notis keingkaran bagi memastikan pematuhan terhadap syarat kontrak.
“Susulan kegagalan memenuhi obligasi kontrak tersebut, kerajaan telah membatalkan Surat Setuju Terima (SST) pada 3 September 2026 dan melantik pembekal baharu bagi memastikan baki bekalan baja dapat diselesaikan dengan segera.
“Hasil tindakan intervensi tersebut, sebanyak 420,047 beg baja, bersamaan 68 peratus daripada keseluruhan keperluan baja sebatian tambahan, telah dibekalkan dalam tempoh 3 hingga 13 September 2026,” katanya.
Jelasnya, pembekalan baja ke Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA telah selesai sepenuhnya pada 13 September 2026, manakala pengedaran kepada pesawah diselesaikan pada 24 September 2026.
Dzowahir berkata, MADA akan terus memperkukuh pemantauan terhadap jadual pembekalan, penerimaan dan pengedaran baja serta pematuhan syarat kontrak bagi memastikan bekalan pada masa hadapan disalurkan mengikut jadual dan mengelakkan isu kelewatan berulang.
Sementara itu, bagi bekalan benih padi sah, jumlah keseluruhan keperluan bagi Musim 2/2026 di Kawasan Muda adalah sebanyak 13,503.10 tan.
Berdasarkan maklumat semasa, stok benih yang tersedia bagi Fasa 1 berjumlah 3,724 tan berbanding keperluan sebanyak 4,610 tan, sekali gus mampu menampung 80.8 peratus daripada keperluan fasa berkenaan.
Jelasnya, MADA akan terus memantau ketersediaan bekalan serta menyelaras usaha mendapatkan benih daripada pengeluar, termasuk dari luar Kedah dan Perlis, bagi memastikan aktiviti penanaman padi berjalan lancar.
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri turut mengambil langkah jangka panjang bagi menangani isu bekalan benih dan meningkatkan hasil pengeluaran pertanian melalui kerjasama dengan agensi kerajaan serta pihak swasta.
“Untuk membantu menangani masalah benih padi ini, Kerajaan Negeri bekerjasama dengan beberapa agensi kerajaan dalam menguji kaji benih-benih baharu yang mampu memberikan hasil lebih baik kepada pesawah. Kajian-kajian ini sedang berjalan dan tapak-tapak ujian akan diperluaskan.
“Pihak kerajaan juga sedang bekerjasama dengan beberapa pihak swasta untuk menguji kaji baja-baja baharu, termasuk baja semiorganik dan organik. Kita mesti bergerak ke arah back to nature kerana perlu menjaga kesuburan tanah yang telah terjejas akibat penggunaan racun selama bertahun-tahun.
“Oleh sebab itu, kita dapati kesuburan tanah sawah semakin menurun. Kita perlu mengambil tindakan drastik untuk menangani isu ini dengan memperkenalkan pelbagai bahan ke arah penggunaan baja semiorganik dan organik,” katanya.
Beliau berkata, menerusi usaha berkenaan, Kerajaan Negeri turut menggerakkan langkah ke arah penubuhan Perbadanan Pertanian Negeri Kedah sebagai strategi memperkukuh pembangunan sektor agromakanan secara lebih bersepadu, dengan tumpuan khusus kepada peningkatan keterjaminan makanan negeri.
“Penubuhan perbadanan ini dihasratkan menjadi antara pemangkin kepada pembangunan industri agromakanan yang lebih mampan, berdaya saing dan berorientasikan hasil,” katanya.

0 Comments