KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
Oleh: Afnan Hamimi Dato' Taib Azamudden
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Pemuda PAS Malaysia mengecam tindakan pihak tertentu yang dipercayai cuba menggunakan tekanan politik sehingga Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) membuat keputusan membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional (PN).
Apa yang peliknya, kes ini sepatutnya dibawa ke mahkamah pada 22 Oktober 2026, tetapi kenapa RoS begitu tergesa-gesa membuat keputusan?
Sebelum ini, RoS sendiri sudah mengeluarkan surat yang menyatakan bahawa isu berkaitan notis bertarikh 22 dan 23 September lalu akan dijawab di mahkamah.
Jadi, kenapa tiba-tiba berubah? Siapa yang mendesak? Ada tangan-tangan tertentu yang sedang memberi tekanan kepada RoS?
Sedangkan pada 22 Oktober nanti, mahkamah dijadualkan mendengar permohonan PN untuk menggantung keputusan RoS sementara proses semakan kehakiman diselesaikan.
Kenapa tidak tunggu sahaja proses mahkamah? Apa yang terlalu mendesak sampai keputusan perlu dibuat lebih awal?
Kita mahu RoS bertindak secara profesional, bebas dan berintegriti. Jangan sampai institusi kerajaan dilihat seolah-olah menjadi alat untuk memenuhi kehendak politik pihak tertentu.
Pemuda PAS melihat perkembangan ini sebagai sesuatu yang sangat membimbangkan. Kita tidak mahu undang-undang digunakan sesuka hati, apatah lagi jika tujuannya untuk melemahkan lawan politik.
Kalau benar ada tekanan politik di sebalik keputusan ini, maka ia bukan sahaja mencemarkan imej RoS, malah boleh merosakkan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara.
Rakyat hari ini bukan mudah diperbodohkan. Rakyat boleh menilai apa yang sedang berlaku.
Jangan kerana terlalu ghairah mahu melemahkan PN, akhirnya prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang pula yang dikorbankan.
Negara ini ada undang-undang. Hormatilah proses mahkamah. Jangan jadikan undang-undang rimba sebagai amalan!
Sekian.
20 OKTOBER 2026 I 8 JAMADIL AWAL 1448H

0 Comments