Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Generasi muda yang berjaya dalam akademik dan kerjaya diingatkan supaya tidak melupakan jasa ibu bapa, sebaliknya kembali membantu mereka yang semakin dimamah usia dan memerlukan perhatian anak-anak.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, anak-anak perlu menyedari bahawa ibu bapa telah banyak berkorban membesarkan mereka sejak kecil sehingga berjaya melanjutkan pelajaran, memperoleh kerjaya dan membina kehidupan lebih baik.
Menurutnya, kejayaan yang dikecapi seharusnya mendorong anak-anak untuk membalas pengorbanan ibu bapa, bukannya terlalu leka mengejar keseronokan sendiri sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga.
“Anak-anak yang lama tak balik kampung, anak-anak yang lupakan ibu bapa, baliklah jumpa ibu bapa. Minta maaf pada mereka.
“Anak-anak yang telah berjaya, pulanglah tolong mak ayah. Jangan hidup sendiri-sendiri dengan keseronokan diri saja. Segala pengorbanan mak ayah perlu dikenang, dibalas. Ini tanggungjawab anak-anak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Simbolik Penyampaian Sumbangan sempena Deepavali 2026 kepada masyarakat India terpilih di seluruh Kedah, di Wisma Darul Aman, hari ini.
Program tahunan itu adalah sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap masyarakat India, dengan penyampaian simbolik diwakili penerima dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Darul Aman.
Sanusi berkata, anak-anak merupakan harta berharga bagi ibu bapa, justeru mereka perlu mempunyai kesedaran untuk memikul tanggungjawab terhadap insan yang telah membesarkan mereka.
Katanya, keupayaan ibu bapa semakin terbatas apabila usia meningkat, termasuk dari segi tenaga, kudrat dan kemampuan menguruskan kehidupan seharian.
“Mak ayah makin hari kudrat makin kurang, tenaga makin lemah, kepantasan tak macam dulu. Walaupun dia nak buat sesuatu, tapi dia tak larat.
“Anak-anak kena sedar, mereka makin sukar untuk hadapi semua perkara. Jadi tolonglah mak ayah, mereka nak harapkan siapa lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Sanusi turut mengingatkan ibu bapa supaya memainkan peranan membimbing generasi muda dengan nasihat yang benar berdasarkan pengalaman hidup masing-masing.
Menurutnya, pengalaman dan ilmu sepanjang kehidupan wajar dikongsi dengan generasi seterusnya sebagai pedoman supaya mereka tidak mengulangi kesilapan lalu.
“Setiap hari ada pengalaman baharu. Setiap tahun ada benda ilmu yang kita tambah. Kongsi pengalaman berharga kita dengan generasi muda sebagai pedoman agar mereka tak ulang kesilapan lalu,” katanya.
Pada majlis itu, Sanusi turut berharap sambutan Deepavali tahun ini membawa kemakmuran rezeki dan kebahagiaan kepada masyarakat India di negeri ini.
“Saya berharap sambutan Deepavali yang akan disambut pada 8 November depan, kita semua dimurahkan rezeki dan diberi kebahagiaan,” katanya.

0 Comments