Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Masyarakat tanpa mengira kaum dan agama di Kedah digesa menguasai ilmu serta kemahiran bagi meningkatkan taraf hidup dan mengelakkan diri daripada terus dibelenggu kemiskinan.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penguasaan ilmu merupakan kunci utama untuk menguasai ekonomi dan menjamin masa depan generasi muda yang berdepan cabaran kehidupan lebih besar berbanding generasi terdahulu.
Menurutnya, kekayaan semata-mata tidak menjamin masa depan sekiranya tidak disertai ilmu kerana harta yang diwarisi tidak kekal jika tidak diuruskan dengan baik.
“Kalau kita nak menguasai ekonomi, kita kena menguasai ilmu. Ada orang kaya, harta peninggalan banyak tetapi kalau ilmu tidak ada, lama-lama habis harta yang diwarisi itu.
“Saya harap semua kaum di Kedah terus memberi galakan kepada anak dan cucu untuk belajar setinggi mungkin serta menguasai ilmu semasa supaya dunia ini tidak menipu kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Simbolik Penyampaian Sumbangan sempena Deepavali 2026 kepada masyarakat India terpilih di seluruh Kedah di Wisma Darul Aman, hari ini.
Program tahunan itu adalah sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap masyarakat India, dengan penyampaian simbolik diwakili penerima dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Darul Aman.
Sanusi berkata, generasi muda perlu membuat persediaan lebih baik dari segi ilmu, kemahiran dan kesedaran bagi menghadapi masa depan yang semakin mencabar.
Katanya, peluang untuk mengubah nasib terbuka kepada semua tanpa mengira latar belakang kerana kejayaan bergantung pada usaha dan kesungguhan masing-masing.
“Bangsa apa pun sama, agama apa pun sama. Siapa yang berusaha lebih, akan dapat rezeki lebih. Tidak ada orang yang tidak berusaha tetapi dapat lebih.
“Jadi, berusahalah bersungguh-sungguh dan kuatkan ikhtiar. Kita mahu generasi akan datang menjadi lebih baik daripada generasi sekarang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan golongan muda supaya tidak leka dengan penggunaan teknologi untuk perkara yang tidak berfaedah, termasuk menghabiskan terlalu banyak masa bermain permainan dalam talian melalui telefon.
Menurutnya, penggunaan teknologi tanpa kawalan boleh menyebabkan golongan muda terus menjadi pengguna, sedangkan penguasaan teknologi oleh pihak lain memberi kelebihan kepada mereka dalam menentukan hala tuju ekonomi dan kehidupan.
“Banyak masa dihabiskan dengan teknologi tetapi teknologi itu orang punya, bukan kita punya. Lama-lama kita lalai dan mereka yang menguasai semuanya, sedangkan kita menjadi pengguna sepanjang hayat.
“Jadi, kita kena berhati-hati dalam kehidupan dan sedar apa yang sedang berlaku di sekeliling kita,” katanya.
Tambah beliau lagi, Kerajaan Negeri juga akan terus berusaha membantu rakyat, khususnya anak Kedah yang berdepan kekangan kewangan, bagi memastikan generasi muda mempunyai peluang lebih baik untuk melanjutkan pelajaran.
Katanya, anak Kedah yang pertama kali mendapat tawaran memasuki universiti tetapi berdepan masalah kewangan boleh memohon bantuan menerusi Tabung Tunku Mahmud, dengan sumbangan diberikan mengikut keperluan.
“Dalam kes tertentu yang benar-benar mendesak dan tiada jalan lain, Kerajaan Negeri boleh pertimbangkan bantuan yuran permulaan pengajian.
“Apa yang kita boleh bantu, kita akan usahakan supaya generasi akan datang lebih baik kehidupan mereka berbanding generasi sekarang. Maka kuasai ilmu, hanya ilmu yang dapat mengubah nasib diri dan keluarga,” katanya.

0 Comments