CEMERLANG SUKAN, AKADEMIK ANTARA FOKUS PEMBANGUNAN ATLET KEDAH


Oleh: Ku Azizah Ku Hamid

ALOR SETAR – Kecemerlangan dalam sukan dan akademik perlu bergerak seiring bagi memastikan atlet Kedah bukan sahaja mampu mengharumkan nama negeri di pentas pertandingan, malah mempunyai masa depan terjamin selepas menamatkan kerjaya sukan.

Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan, Muhammad Radhi Mat Din berkata, kedua-dua bidang itu mampu dicapai secara serentak menerusi disiplin, pengurusan masa yang baik serta kesungguhan berterusan.

Menurutnya, ia antara fokus yang diberikan keutamaan dalam pembangunan atlet negeri ini. 

"Nilai ketahanan mental, kesabaran dan semangat juang yang diterapkan dalam sukan turut membantu atlet menghadapi cabaran pembelajaran.

“Pendidikan menjadi bekalan penting kepada atlet untuk meneroka peluang kerjaya lebih luas selepas menamatkan penglibatan aktif dalam sukan, termasuk dalam bidang kejurulatihan, pentadbiran sukan, keusahawanan dan sektor profesional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kem Kecemerlangan SPM Atlet Sukan Malaysia
(SUKMA) Kedah 2026 di Majlis Sukan Negeri Kedah (MSNK), di sini.

Menurut Muhammad Radhi, kem berkenaan julung kali dianjurkan khusus untuk membantu atlet SUKMA membuat persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Seramai 15 daripada 65 atlet SUKMA Kedah yang bakal menduduki SPM tahun ini berpeluang mengikuti kem tersebut, manakala selebihnya berdepan kekangan jadual persekolahan, termasuk atlet yang bersekolah di luar Kedah.

"Penganjuran kem itu mencerminkan keprihatinan terhadap kebajikan dan masa depan atlet, khususnya dalam membantu mereka membahagikan masa antara latihan intensif, penyertaan dalam kejohanan serta persediaan akademik," katanya.

Tambah beliau, dalam usaha memperluas peluang pendidikan atlet, MSNK turut menjalinkan kerjasama dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi memorandum persefahaman (MoU) bagi menawarkan Program Diploma Eksekutif Pengurusan Perniagaan khusus untuk atlet.

"Program selama setahun itu memberi peluang kepada atlet melanjutkan pengajian dalam bidang pengurusan perniagaan serta membuka ruang untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah, tertakluk kepada syarat kemasukan universiti," katanya.

Menurutnya, sebanyak 11 permohonan atlet telah dikemukakan kepada UUM bagi mengikuti program berkenaan.
 

Post a Comment

0 Comments