KERAJAAN MADANI ASYIK BERPOLITIK
Oleh: Roslinda Hashim
PARIT BUNTAR - Kerajaan Madani didakwa terlalu banyak menghabiskan masa berpolitik sehingga menjejaskan tumpuan terhadap pembangunan negara dan menyebabkan rakyat terus menunggu hasil sebenar pentadbiran kerajaan.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat dan Perikatan Nasional (PN), Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, tempoh hampir empat tahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan sepatutnya sudah menghasilkan lebih banyak pencapaian sekiranya tumpuan diberikan kepada urusan pentadbiran, ekonomi dan pembangunan negara.
“Negara rugi. Rakyat Malaysia rugi. Kerana kita ada sebuah kerajaan di peringkat Persekutuan yang terlalu banyak masa tumpu kepada politik.
“Dekat empat tahun, Kerajaan Madani sibuk dengan politik. Industri tenggelam, umum batal, buat kerja pun tak nampak hasil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Kawasan Parit Buntar di Titi Serong, di sini, malam tadi.
Menurut Sanusi, keadaan itu turut menyebabkan rakyat sukar melihat pencapaian daripada setiap kementerian, termasuk dari segi sasaran dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan.
“Tak kira kementerian, asyik cakap politik, kerja masa mana tak tahu. Mereka kata politik nilai, politik prestasi, saya tanya apa dia nilai, apa dia prestasi? Sampai sekarang tak ada siapa jawab,” katanya.
Tambah beliau, sebahagian menteri juga tidak mampu menjelaskan pencapaian kementerian masing-masing termasuk sasaran yang telah dicapai, perkara yang masih belum diselesaikan dan tempoh untuk mencapai sasaran berkenaan.
“Prestasi hangpa apa? Yang hangpa capai apa? Sepatutnya dalam empat tahun boleh capai macam-macam. Tetapi politik tak habis-habis. Cakap dalam majlis apa pun, dia akan sentuh bab politik.
“Tak macam kita. Ceramah politik, baru kita sembang politik. Dalam pentadbiran, kita cerita pasal pentadbiran. Sektor industri, kita cerita pasal industri. Tak ada politik kita campur semua.
“Kerja kita macam-macam menjadi. Oleh kerana mereka kerja tak jadi apa, dibayar ceplos serang kita dalam media sosial,” katanya.
Sanusi berkata, tempoh empat tahun merupakan tempoh yang cukup signifikan untuk sesebuah kerajaan menunjukkan hasil pembangunan, dengan mengambil contoh pencapaian beberapa Perdana Menteri terdahulu.
Beliau berkata, ketika era Tun Abdul Razak Hussein sebagai Perdana Menteri, tempoh kira-kira lapan tahun digunakan untuk melaksanakan pelbagai agenda termasuk pembasmian kemiskinan dan pembangunan tanah rancangan Felda.
“Tun Razak ambil masa lapan tahun basmi kemiskinan, buka tanah rancangan Felda, beribu dapat tanah, dapat tapak rumah, bina keluarga orang Melayu. Seluruh negara ini ada Felda.
“Zaman Madani tempohnya separuh daripada zaman Tun Razak perintah, apa pun tak jadi lagi,” katanya.
Beliau turut membandingkan tempoh pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad selama 22 tahun yang menyaksikan pelbagai projek pembangunan mega dilaksanakan sehingga Malaysia dikenali di peringkat dunia.
“Zaman Tun Mahathir, 22 tahun. Apa yang dicapai Malaysia zaman itu, semua hebat-hebat di dunia ada di Malaysia ketika itu,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan kenaikan dan penurunan harga minyak yang tidak selari dengan janji yang pernah dibuat kepada rakyat.
“Harga minyak naik turun. Lebih banyak naik daripada turun. Sedangkan janji harga minyak turun,” katanya.
Sanusi tegaskan, negara memerlukan kepemimpinan yang benar-benar mempunyai jiwa memimpin serta berupaya menterjemahkan perancangan kepada tindakan, bukannya sekadar bercakap mengenai perkara yang mahu dilakukan.
“Kena ada pemimpin asli. Nak buat sesuatu, bukan bercakap nak buat tapi tak buat.
“Lepas itu ada kepentingan diri, kepentingan nak balas dendam, melepaskan geram. Cakap lain, buat lain. Maka negara akan rosak di tangan orang-orang macam ini,” katanya.
Menurut Sanusi, ketidakstabilan politik dalam Kerajaan Perpaduan menjejaskan urusan pentadbiran negara dan ia merugikan rakyat.
“Asyik tumpu politik sebab tak stabil. Lain parti, lain perangai. DAP cara DAP. PKR cara PKR.
“Budak-budak PKR berlagak, jalan tangan kilas belakang macam tauke dengan beg selit celah ketiak. Cakap bahasa bunga-bunga, misai tak tumbuh lagi tapi berlagak. Masa semua terbabit reformasi tahun 98, 99, mereka tak beranak lagi atau pakai pampers. Ini Rafizi Ramli kata, bukan saya.
“Sama ada di Kedah atau Perak pun sama, ada MP Ipoh Timur (DAP) sangat kurang ajar, budaya samseng, tak reti hormat orang. Kita tak mahu ungkit, sebab hangpa duk sini dah, jangan kurang ajar sangat terutama DAPSY (Pemuda DAP). Jangan biarkan sikap itu berlarutan.
“PRU16 kita bagi terap (tewas) semua. Cara itu saja nak ajar mereka,” katanya.

0 Comments