MASJID DILENGKAPI SMART KOMPLEKS ISLAM, MERCU TANDA BAHARU UNISHAMS

 

Oleh: Roslinda Hashim 

KUALA KETIL - Pembinaan Masjid Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) dan Smart Kompleks Islam di kampus induknya di Kuala Ketil, merupakan pencapaian penting dan menjadi mercu tanda baharu institusi pengajian tinggi Islam itu.

Naib Canselor UniSHAMS, Profesor Dr. Mohd Amy Azhar Mohd Harif berkata, projek berkenaan bukan sekadar pembangunan infrastruktur fizikal, sebaliknya manifestasi komitmen UniSHAMS dalam memodenkan fasiliti pendidikan Islam seiring transformasi digital abad ke-21.

Menurut beliau, keseluruhan kos pembangunan kompleks berkenaan ditanggung menerusi sumbangan infak sepenuhnya daripada tokoh korporat anak jati kelahiran Sungai Petani, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim, yang merupakan pengasas dan Pengarah Urusan The Weststar Group.

“Pembinaan Masjid UniSHAMS dan Smart Kompleks Islam ini menjadi mercu tanda baharu dalam lipatan sejarah UniSHAMS,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Masjid UniSHAMS dan Smart Kompleks Islam di sini, hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin yang juga Pro Canselor I UniSHAMS.

Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Mohd Amy Azhar berkata, permohonan Kebenaran Merancang (KM) bagi cadangan mereka bentuk, membina dan membangunkan kompleks berkenaan yang merangkumi masjid tiga tingkat, ruang niaga serta piazza telah diluluskan Majlis Daerah Baling menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC) pada 11 Jun 2026.

Katanya, kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan itu membolehkan pelaksanaan dan pembinaan dapat direalisasikan dengan lancar mengikut piawaian serta tatacara perancangan ditetapkan.

Beliau memaklumkan, pembangunan kompleks itu dirancang secara bersepadu merangkumi tiga komponen utama, iaitu masjid utama, hub niaga dan piazza.

“Bangunan masjid direka bentuk setinggi tiga tingkat dengan kapasiti keseluruhan 3,600 jemaah pada satu-satu masa. Tingkat bawah menyediakan ruang solat utama untuk 1,700 jemaah selain Bilik VIP, ruang wuduk, bilik imam, sistem siaraya dan Pejabat Pusat Islam.

“Tingkat satu pula mampu menampung tambahan 600 jemaah, manakala tingkat dua menyediakan ruang solat untuk 1,300 jemaah selain Student Lounge seluas 882 kaki persegi dan Khutu Khanah seluas 775 kaki persegi sebagai pusat rujukan ilmiah serta kegiatan ilmu,” katanya.

Katanya, kompleks itu turut dilengkapi hub niaga yang dibina menghadap tasik dan memberi peluang kepada pihak luar menjalankan aktiviti perniagaan, selain membuka ruang kepada mahasiswa UniSHAMS menceburi bidang keusahawanan.

“Hub ini dilengkapi lima unit kiosk jualan dan ruang makan berkapasiti 120 tempat duduk berhawa dingin serta terbuka. Ia turut dilengkapi laluan mesra orang kurang upaya (OKU) serta tandas lelaki dan wanita,” katanya.

Mohd Amy Azhar berkata, piazza pula direka sebagai ruang terbuka bertemakan landskap hijau dan kebudayaan Islam yang menghubungkan bangunan masjid dengan bangunan UniSHAMS.

Katanya, ruang itu bakal menjadi hab interaksi sosial, tempat berhimpun dan ruang riadah mesra komuniti.

“Kompleks ini direka bentuk dengan gabungan elemen seni bina Islam tradisional dan teknologi pintar, termasuk penerapan konsep kelestarian hijau serta teknologi mesra alam bagi memastikan pembangunan ini mampan dan memelihara alam sekitar,” katanya.

Tambah beliau, pembinaan Masjid UniSHAMS dan Smart Kompleks Islam dilaksanakan secara berfasa dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun, iaitu menjelang Julai 2028.

“Pelan pembangunan fasa dua pula merangkumi pembinaan dewan serbaguna dua tingkat, yang akan menyokong pelbagai aktiviti rasmi, akademik dan kemasyarakatan,” katanya.

Post a Comment

0 Comments