Oleh: Roslinda Hashim
KUALA KETIL - Penggunaan tenaga solar di tiga Loji Rawatan Air (LRA) milik Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) dijangka menjimatkan kira-kira RM555,000 kos operasi setahun, selain mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 2,317.17 tan karbon dioksida setahun.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, projek pembangunan solar Fasa Satu melibatkan LRA Kuala Ketil Baru, LRA Kuala Ketil Lama dan LRA Sungai Ular, dengan kos pembangunan RM7.5 juta.
Beliau berkata, pelaksanaan projek berkenaan dibuat menerusi model yang tidak memerlukan SADA menyediakan perbelanjaan modal pada peringkat awal, sekali gus membolehkan syarikat itu memberi keutamaan kepada keperluan operasi lain.
“Jika perlu keluarkan modal SADA sendiri, sudah tentu kita perlu memikirkan apakah keperluan lain yang mungkin terpaksa ditangguhkan.
“Dengan jumlah sebesar itu, SADA mempunyai banyak lagi keperluan yang boleh diberikan keutamaan termasuk penyelenggaraan aset, penggantian paip uzur, penambahbaikan sistem mahupun pembangunan infrastruktur bekalan air baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Pembangunan Solar SADA di LRA Kuala Ketil, di sini, hari ini.
Menurut Sanusi yang juga Pengerusi SADA, penggunaan tenaga solar bukan sahaja mengurangkan bil elektrik, sebaliknya sebahagian daripada usaha SADA mengurus penggunaan tenaga secara lebih cekap di samping menyokong agenda tenaga bersih dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Katanya, inisiatif itu selari dengan SDG 7 berkaitan Tenaga Mampu Milik dan Bersih serta SDG 13 berkaitan Tindakan Iklim.
“Projek ini menunjukkan kesediaan SADA mencari pendekatan baharu dalam mengurus kos, menggunakan sumber dengan lebih cekap serta membuat keputusan yang mengambil kira kepentingan organisasi untuk jangka panjang.
“Penjimatan ini dapat memberikan lebih ruang kepada SADA untuk menggantikan paip uzur, menjaga aset lama, meningkatkan kecekapan sistem dan memperkukuh perkhidmatan,” katanya.
Sanusi berkata, Kedah mempunyai kelebihan semula jadi untuk meneroka potensi tenaga solar berikutan kedudukannya di kawasan yang menerima cahaya matahari yang banyak sepanjang tahun.
Menurutnya, berdasarkan Jabatan Meteorologi Malaysia, purata negara menerima sekitar enam
jam cahaya matahari sehari, manakala Alor Setar menerima sekitar tujuh jam sehari.
Tambah beliau, Malaysia Renewable Energy Roadmap merekodkan kadar sinaran solar negara antara 1,575 hingga 1,812 kilowatt-jam bagi setiap meter persegi setahun, manakala kawasan barat laut Semenanjung Malaysia menerima antara kadar sinaran solar tertinggi.
“Kedah mempunyai beberapa projek ladang solar berskala besar, iaitu di Gurun, Kuala Ketil, Bukit Selambau, Bukit Kayu Hitam dan Pokok Sena.
“Banyak kawasan sawit sekarang bertukar kepada ladang solar kerana pendapatan daripada ladang solar dilihat lebih baik berbanding ladang sawit yang sudah melebihi tiga kitaran. Kita juga menyertai peralihan itu dengan memulakannya di LRA SADA,” katanya.
Beliau berkata, penggunaan tenaga solar kini turut berkembang dalam sektor industri dan utiliti, selain pemasangan panel solar di kediaman.
Bagaimanapun, katanya, peningkatan kapasiti solar membawa cabaran baharu terutama dari aspek penyimpanan dan pengurusan tenaga.
“Apabila kapasiti solar semakin meningkat, cabarannya bukan lagi bagaimana hendak menjana tenaga, tetapi bagaimana tenaga itu dapat disimpan dan diurus dengan baik. Sebab itu teknologi penyimpanan tenaga seperti Battery Energy Storage System (BESS) memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan sistem tenaga,” katanya.
Sanusi berkata, berdasarkan inventori rasmi pelepasan gas rumah kaca Malaysia bagi 2021, negara merekodkan 327.7 juta tan karbon dioksida setara, tidak termasuk sektor guna tanah dan perhutanan.
Daripada jumlah itu, katanya, 79.2 peratus berpunca daripada sektor tenaga, sekali gus menunjukkan kepentingan perubahan terhadap cara tenaga dihasilkan dan digunakan dalam usaha mengurangkan pelepasan karbon.
“Kalau kita serius mahu mengurangkan pelepasan karbon, cara kita menghasilkan dan menggunakan tenaga antara perkara utama yang perlu diberikan perhatian,” katanya.
Sanusi berkata, pembangunan negeri juga wajar menggabungkan pembangunan ekonomi, penyediaan utiliti dan penjagaan alam sekitar sebagai agenda bersama dan ketiga-tiganya perlu bergerak seiring.
“Projek yang baik ialah apabila kita mampu menemukan titik pertemuan antara kecekapan operasi, kemampuan kewangan dan tanggungjawab terhadap alam sekitar.
“Syarikat milik Kerajaan Negeri perlu bergerak dalam semangat sama. Kita mahu organisasi berorientasikan prestasi, berdisiplin dalam pengurusan kewangan, mempunyai tadbir urus baik dan sentiasa terbuka kepada pendekatan yang boleh memberikan nilai lebih besar,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri menyokong usaha ke arah penggunaan tenaga boleh baharu dan pembangunan mampan, selaras dengan hala tuju Pelan Pembangunan Kedah 2035.
Katanya, di bawah Teras Kecemerlangan Infra dan Utiliti, antara penekanan ialah memperkasakan perkhidmatan air terawat serta menerajui pengembangan industri tenaga boleh diperbaharui, termasuk pembangunan hab tenaga solar.

0 Comments