Oleh: Fadhli Shaari
Ketua Penerangan PAS
Anthony Loke mahu meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan sebagai protes terhadap keputusan Lembaga Pengampunan berkaitan tahanan rumah Najib.
Tetapi menteri dan timbalan menteri DAP yang lain kekal dalam kerajaan.
Kalau benar DAP tidak bersetuju sehingga perlu meletakkan jawatan, kenapa seorang sahaja? Kalau seluruh DAP masih kekal dalam kerajaan, apa signifikannya selain satu lakonan politik untuk menunjukkan kononnya mereka membantah?
Itupun hanya sekadar ‘menawarkan letak jawatan’. Entah-entah PMX esok atau lusa menolak peletakan jawatan tersebut dan mohon Loke tarik balik, apa pula respon tuan badan?
Wanita DAP pula mendesak minit mesyuarat Lembaga Pengampunan didedahkan, sedangkan Hannah Yeoh daripada DAP sendiri merupakan anggota Lembaga tersebut sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan.
Kalau mahu telus, kenapa tidak pernah pula mendesak minit mesyuarat ketika Anwar Ibrahim diberikan pengampunan penuh pada 2018 didedahkan? Ketika itu Menteri Wilayah Persekutuan pun belum dilantik.
Hormatilah kuasa pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan secara konsisten. Janganlah banyak sangat berlakon, nanti salah baca skrip. Skrip tulis ABCDEFGHI nanti dibaca ABCDEFGLC..
Rakyat bukan susah sangat nak faham helah politik begini.

0 Comments