Oleh: Nushi Mahfodz
ADUN Semenyih
Tragedi yang menimpa adik Nur Haira di Batu Pahat beberapa hari lalu sekali lagi menunjukkan betapa seriusnya ancaman anjing liar. Kanak-kanak itu cedera parah selepas diserang sekumpulan anjing dan kini dirawat di ICU.
Selepas kejadian, Kerajaan Johor menggerakkan operasi besar-besaran melibatkan PBT, JPV, Pejabat Daerah dan PDRM.
Selangor sendiri sudah mempunyai tragedinya.
Pada 13 Julai 2025, jururawat Fatimatun Zaharah Ismail Kamel maut selepas motosikalnya melanggar anjing liar di Kampung Perepat. Allahyarhamah, ibu tunggal kepada empat anak, terkorban di kawasan yang telah lama dikenal pasti sebagai hotspot dengan aduan berulang daripada penduduk.
Pada 13 Julai tahun ini pula, mekanik berusia 27 tahun Muhamad Shahrul Yuzzi Che Ahmad terbabas ketika dipercayai dikejar sekumpulan anjing liar di Taman Teluk Gedung Indah, Klang. Beliau koma dan berdepan kemungkinan kecederaan otak kekal.
Tidak lama selepas itu, operasi tangkapan MBDK di kawasan sama bertukar kecoh dan seekor anjing dikenali sebagai Rocky mati. Kes tersebut kemudian disiasat polis dan JPV.
Rangkaian kejadian ini menunjukkan akibat apabila sistem terlalu reaktif. Keselamatan awam terlebih dahulu terancam, kemudian barulah operasi digerakkan dalam keadaan yang jauh lebih sukar dan tegang.
Di Semenyih, loceng amaran juga sudah lama berbunyi.
Pada April 2025, seorang pelajar Tingkatan Dua SMK Bandar Rinching diserang sekumpulan anjing ketika berjalan kaki ke sekolah. Kecederaan fizikalnya tidak terlalu parah, tetapi trauma selepas kejadian menyebabkan beliau terpaksa dibawa semula ke hospital.
Pada Mei tahun ini, Mohd Zaki Murad pula diserang sekumpulan anjing ketika menunggang motosikal pulang ke rumah. Beliau terjatuh, patah kaki serta mengalami kecederaan pada muka dan mata sehingga memerlukan rawatan lanjut dan pembedahan.
Namun gambaran sebenar masalah ini jauh lebih besar daripada beberapa kes serangan.
Jawapan rasmi Kerajaan Negeri kepada soalan saya di Dewan menunjukkan 10,201 aduan anjing liar direkodkan di DUN Semenyih antara 2018 hingga 2023.
Daripada 797 aduan pada 2018, jumlah itu meningkat kepada 2,685 pada 2023 iaitu lebih 3.3 kali ganda, atau peningkatan sekitar 237% dalam tempoh lima tahun. Hampir separuh daripada keseluruhan aduan enam tahun tersebut direkodkan hanya pada 2022 dan 2023.
Skala masalah sedang memburuk lebih pantas daripada kemampuan sistem sedia ada untuk mengawalnya.
Hotspot sudah dikenal pasti. Aduan telah berulang kali diajukan melalui SISPAA. Pusat Khidmat DUN Semenyih juga berkali-kali berhubung terus dengan MPKj.
Saya sendiri telah membawa isu ini beberapa kali ke Sidang Dewan Negeri untuk mendapatkan data rasmi, membangkitkan kekangan sistem dan mengemukakan cadangan memperkukuh JPV, meneliti bidang kuasa PBT, memperkemas koordinasi JPV-PBT serta memperkukuh penguatkuasaan Akta Kebajikan Haiwan 2015.
Puncanya juga sudah diketahui. Kerajaan Negeri sendiri menyebut pembuangan anjing oleh pemilik, anjing yang dilepaskan selepas digunakan di tapak pembinaan, serta pemberian makanan yang menyokong pertumbuhan koloni sebagai antara faktor peningkatan populasi.
Dalam masa yang sama, MPKj berdepan kekangan tenaga kerja untuk menjalankan operasi pada skala yang diperlukan.
Jadi masalah ini sudah melangkaui kemampuan satu PBT. Ia memerlukan penyelarasan dan iltizam di peringkat Kerajaan Negeri.
Selangor perlu mempunyai data bersepadu daripada semua PBT mengenai aduan, hotspot, tangkapan, serangan, pemandulan dan hasil intervensi. Kawalan populasi perlu dibuat secara terancang di zon kritikal, penguatkuasaan terhadap pemilik cuai diperkukuh, manakala kes anjing agresif memerlukan SOP respons pantas dengan tempoh tindakan yang jelas.
Atas sebab itu, saya telah mencadangkan kepada EXCO Kerajaan Tempatan Negeri Selangor supaya Semenyih dijadikan projek rintis pengurusan anjing liar selama enam hingga 12 bulan.
Saya turut menggesa satu Sesi Meja Bulat (RTD) melibatkan Kerajaan Negeri, MPKj, JPV, pegawai perundangan, pakar pengurusan populasi haiwan dan NGO yang berpengalaman di lapangan.
RTD ini perlu menghasilkan keputusan yang boleh dilaksanakan: kapasiti operasi yang diperlukan, pembahagian tanggungjawab PBT-JPV, dashboard data, SOP respons pantas, pelan kawalan populasi, penguatkuasaan pemilikan serta KPI yang boleh dinilai.
Parameter kejayaan antaranya aduan berulang berkurang, koloni di hotspot mengecil, kes berisiko tinggi ditangani lebih pantas dan penduduk kembali berasa selamat.
Jika model ini berjaya di Semenyih, Kerajaan Negeri akan mempunyai satu pendekatan yang telah diuji untuk diperluaskan ke seluruh Selangor.
Respons di Batu Pahat menunjukkan bahawa apabila keadaan menjadi kritikal, PBT dan agensi berkaitan mampu digerakkan dengan pantas.
Persoalannya, mengapa kita masih menunggu tragedi sebelum bertindak pada skala yang diperlukan?
Di Semenyih, loceng amaran sudah berbunyi sebanyak 10,201 kali.
Jangan biarkan kelengahan birokrasi hari ini dibayar dengan keselamatan dan nyawa penduduk Semenyih esok.
#AnjingLiar
#BaktiDemiSelangor
0 Comments