ISU PAJAKAN PULAU PINANG
Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Isu bayaran pajakan tahunan Pulau Pinang kepada Kedah kembali menjadi perhatian apabila muncul hujah-hujah bahawa ia bukan lagi sekadar pertikaian sejarah atau sentimen kenegerian, sebaliknya melibatkan kewajipan yang diperuntukkan secara jelas di bawah Perkara 167(7) Perlembagaan Persekutuan.
Ia memberi dimensi baharu apabila Pengasas Jurisprudens Watan dan Fiqh Al-Watan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Profesor Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berhujah bahawa kegagalan memuktamadkan rundingan bayaran tahunan sejak Merdeka boleh dianggap sebagai kemungkiran terhadap jaminan Perlembagaan.
Pandangan beliau yang disiarkan di Utusan Malaysia, seakan mengubah fokus perdebatan daripada tuntutan pajakan kepada persoalan sama ada Kerajaan Persekutuan telah melaksanakan sepenuhnya tanggungjawab yang termaktub dalam Perkara 167(7).
Berdasarkan kenyataan, beliau menegaskan Kedah tidak menuntut perubahan sempadan atau kedaulatan pentadbiran Pulau Pinang, sebaliknya mahukan rundingan bagi menentukan nilai bayaran yang dianggap masih belum dimuktamadkan.
“Tuntutan hak Kerajaan Kedah terhadap Pulau Pinang merupakan jaminan dan kewajipan dalam Perkara 167(7) sebagai satu syarat berdirinya Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka dalam Komanwel,” katanya.
Hujah tersebut diperkukuhkan dengan keputusan Kerajaan Persekutuan pada 2018 yang menaikkan sumbangan khas kepada Kedah daripada RM10,000 kepada RM10 juta setahun, yang boleh ditafsirkan sebagai pengakuan tersirat bahawa bayaran tahunan sedia ada belum memenuhi kehendak undang-undang.
Oleh itu, beliau tegaskan, nilai pajakan termasuk bayaran tahunan sebenar di bawah Perkara 167(7) perlu dirundingkan segera.
Wan Ahmad Fauzi turut merujuk kepada beberapa dokumen sejarah termasuk reservasi Sultan Kedah kepada Suruhanjaya Reid pada 1956 serta surat-menyurat antara pihak British sebagai asas bahawa hak kepentingan Kesultanan Kedah tidak pernah diketepikan.
Jika hujah ini diterima, maka isu tersebut bukan sekadar berkaitan nilai pajakan, tetapi menyentuh kedudukan Raja-Raja Melayu serta tafsiran Perlembagaan yang lebih luas.
“Dakwaan segala hak milik harta dan kedaulatan British berpindah secara mutlak kepada Pulau Pinang pada 31 Ogos 1957 melalui Perkara 166 mengandungi lompang perundangan yang besar apabila diteliti daripada dokumen perundangan termasuk triti dan minit perundingan diraja.
“Perkara 166 tidak boleh ditafsirkan berasingan, sebaliknya perlu dibaca secara harmoni dengan Perkara 167(7), Fasal 5 Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957, Jadual Keempat Perjanjian serta rantaian dokumen sekatan hak sepanjang proses penggubalan Perlembagaan dari 24 Julai 1946 sehingga Perkara 166(1) dan (2) dimansuhkan pada 1963.
“Penelitian rantaian dokumen tersebut menunjukkan Kerajaan Persekutuan dalam keadaan kemungkiran Perlembagaan secara berterusan selagi rundingan bayaran tahunan di bawah Perkara 167(7) belum dimuktamadkan bersama Kedah,” jelas beliau.
Berdasarkan hujah-hujah dikemukakan, sudah tiba masanya Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelesaikan jaminan dan kewajipan di bawah Perkara 167(7) yang tertangguh sejak kemerdekaan.
Menurut Wan Ahmad Fauzi lagi, dakwaan Kedah menerima keadaan sedia ada melalui ‘doktrin acquiescence’ tidak boleh diterima apabila wujud rantaian dokumen reservasi hak pada 1956.
“Pada 14 September 1956, penasihat undang-undang Raja-Raja Melayu, Mr. Neil Lawson QC menyampaikan reservasi Sultan Kedah kepada Suruhanjaya Reid bahawa kemasukan Pulau Pinang ke dalam Persekutuan adalah sebagai sebuah wilayah, tanpa menjejaskan kedaulatan berbaki dan hak kewilayahan baginda di bawah triti 1791, 1800 dan 1869.
“Sultan Badlishah kemudiannya menandatangani warkah reservasi hak bertarikh 1 Oktober 1956 sebelum Setiausaha Negeri bagi Tanah Jajahan British melalui surat bertarikh 25 Oktober 1956 memperakui reservasi itu serta memberi jaminan isu hak kepentingan Kesultanan Kedah akan diselesaikan oleh kerajaan pasca-Persekutuan melalui rundingan baharu,” ujarnya.
Siri dokumen itu membuktikan Sultan Kedah tidak pernah melepaskan kedaulatan berbaki dan hak kewilayahan baginda, manakala British menyerahkan tanggungjawab memuktamadkan instrumen pajakan baharu kepada Kerajaan Persekutuan selepas 31 Ogos 1957.
Tuntutan Sultan Kedah supaya rundingan di bawah Perkara 167(7) disegerakan bukan bertujuan mengubah geografi pentadbiran atau menuntut Pulau Pinang dikembalikan secara fizikal kepada Kedah, sebaliknya menegakkan Keluhuran Perlembagaan di bawah Perkara 71(1) dan 167(7) serta memelihara prinsip kedaulatan Raja-Raja Melayu di bawah Perkara 181(1).
Tegas beliau lagi, struktur pembayaran tahunan yang setara berdasarkan Triti 1869 mengikut keadaan semasa perlu dimulakan segera kerana ia merupakan jaminan perlembagaan yang tidak boleh dipadamkan selaras kehendak Perkara 167(7).
“Memandangkan jaminan Persekutuan di bawah Perkara 167(7) menyentuh kehormatan, kedudukan dan keistimewaan Sultan Kedah, tiada undang-undang boleh diluluskan tanpa terlebih dahulu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 38(4),” katanya.
Kelewatan hampir tujuh dekad untuk mematuhi Perkara 167(7) merupakan pelanggaran jaminan perlembagaan yang menjadi struktur asas Perlembagaan Persekutuan.
Pada 5 Julai, Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah mahu Kerajaan Persekutuan mengkaji semula kadar bayaran pajakan Pulau Pinang mengikut nilai semasa selaras dengan semangat dan maksud asal perjanjian yang dimeterai antara kedua-dua pihak.
Baginda bertitah, hak dan kedaulatan negeri Kedah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan hendaklah dihormati semua pihak.
Sultan Sallehuddin bertitah, bayaran pajakan yang diterima Kerajaan Negeri Kedah ketika ini masih berasaskan perjanjian lama dan nilainya jauh lebih rendah berbanding kadar yang sewajarnya pada masa ini.
ARTIKEL BERKAITAN:
KERAJAAN PERSEKUTUAN DIMINTA KAJI SEMULA KADAR PAJAKAN PULAU PINANG IKUT NILAI SEMASA - SULTAN KEDAH
https://www.facebook.com/share/p/1BNT9SjB1A/
TUNTUTAN TERHADAP PULAU PINANG: KEDAH PERTIMBANG TIGA PENDEKATAN
https://www.facebook.com/share/p/17ACt1b1fW/

0 Comments