Oleh: Roslinda Hashim
SEREMBAN - Muafakat Barisan Nasional (BN) bertanding 25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, dengan baki 11 kerusi ditandingi Perikatan Nasional (PN) bagi mengelakkan pertembungan disifatkan sebagai manifestasi semangat Konsensus Nasional baharu yang mengutamakan perpaduan dan kestabilan politik.
Penggerak Pemuda Parti Wawasan Negara, Ts. Dr. Muzzammil Ismail berkata, perkembangan itu turut membuka lembaran baharu ke arah pembinaan Rumah Bangsa yang menghimpunkan parti-parti berteraskan perjuangan Melayu-Islam serta nasionalisme.
Menurut beliau, langkah tersebut membuktikan kematangan politik apabila kepentingan rakyat dan penyatuan ummah diberikan keutamaan, mengatasi persaingan sempit antara parti.
"Pemuda Wawasan Negara menyokong dan mendukung setiap usaha yang ikhlas ke arah memperkukuhkan kerjasama antara BN, PN serta parti-parti yang berkongsi asas perjuangan yang sama.
"Politik tidak seharusnya terus terperangkap dalam persaingan yang memecah-belahkan sehingga melemahkan kekuatan bersama.
“Sebaliknya, negara memerlukan model politik baharu yang mengutamakan kestabilan, kematangan politik serta kerjasama ummah yang lebih tersusun dan berprinsip," katanya.
Muzzammil turut mendoakan agar semua calon yang bertanding pada PRN Negeri Sembilan diberikan kekuatan, istiqamah dalam perjuangan serta memperoleh kejayaan terbaik sepanjang kempen dan hari pengundian.
PRN Negeri Sembilan ke-16 akan berlangsung pada 1 Ogos (Sabtu), bagi merebut 36 kerusi DUN.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Julai sebagai Hari Penamaan Calon, manakala 28 Julai dijadualkan sebagai hari pengundian awal.
Seramai 889,490 pemilih berdaftar layak menunaikan tanggungjawab mereka pada PRN kali ini bagi memilih kerajaan negeri yang baharu.

0 Comments