“KUASAI PUTRAJAYA UNTUK BELA RAKYAT” - ZAID
Oleh: Roslinda Hashim
SUNGAI PETANI - Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan sumber, namun kekayaan itu gagal dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat kerana kelemahan tadbir urus, rasuah serta dasar pembangunan yang tidak memihak kepada golongan berpendapatan rendah.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zaid Ibrahim berkata, projek-projek besar yang dibawa masuk atas nama pelaburan asing hanya lebih menguntungkan pihak tertentu berbanding rakyat.
Menurutnya, Kerajaan Persekutuan wajar memberi tumpuan kepada pembangunan sektor pertanian berbanding terlalu bergantung kepada projek pelaburan asing sekiranya benar-benar mahu meningkatkan taraf hidup rakyat dan menangani kemiskinan.
"Malangnya, bila kita bercakap soal kemiskinan, kita hairan kerana negara kita kaya tetapi rakyat tidak dijaga. Malaysia mempunyai banyak masalah termasuk pemimpin rakus, rasuah dan sentimen perkauman. Selagi perkara ini tidak diselesaikan, negara tidak mungkin dapat maju seperti diharapkan," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Dana PRU16 PAS Kawasan Sungai Petani di sini.
Zaid yang kini merupakan ahli PAS berkata, parti itu mempunyai asas sokongan kukuh apabila memperoleh kira-kira 3.8 juta undi pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, iaitu lebih 800,000 undi mengatasi UMNO.
Menurutnya, sokongan tersebut perlu diterjemahkan kepada kemenangan di peringkat Persekutuan bagi membolehkan agenda membela rakyat, khususnya orang Melayu dan bumiputera, dilaksanakan dengan lebih berkesan.
"Selagi Putrajaya tidak dikuasai, negeri-negeri ditadbir PAS seperti Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis berdepan kekangan kewangan kerana hasil cukai terbesar dikutip oleh Kerajaan Persekutuan.
"Cukai dikutip Kerajaan Negeri tidaklah tinggi. Jika ada mengatakan PAS tidak membawa pembangunan. Hakikatnya, pendapatan negeri sangat terhad dan tidak mencukupi untuk melaksanakan pelbagai agenda pembangunan," katanya.
Beliau berkata, kemenangan di peringkat Persekutuan penting bagi memastikan agihan pembangunan dapat dinikmati secara lebih adil oleh semua negeri termasuk kawasan majoriti Melayu dan bumiputera yang masih ketinggalan.
Katanya, jurang pembangunan dan pendapatan antara negeri juga perlu diberi perhatian kerana masih terdapat kawasan luar bandar serta pedalaman, termasuk di Sarawak, yang belum menikmati hasil kekayaan negeri masing-masing.
“Selagi orang lain memegang Putrajaya, yang untung beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Selangor, Johor, tempat-tempat yang mereka pilih. Sebab itu kalau kita nak perjuangkan politik, kita perlukan kemenangan, ia mungkin datang dari pihak lain juga yang menyokong kita,” ujarnya.
Mengulas dakwaan PAS dilabel parti ekstrem, Zaid menegaskan, persepsi itu sengaja dimainkan oleh DAP bagi menakutkan masyarakat bukan Islam.
"PAS tidak pernah cabar Perlembagaan Persekutuan. PAS akan mentadbir mengikut lunas perlembagaan dan berpandukan nilai-nilai Islam seperti keadilan, integriti serta penolakan terhadap rasuah. Orang bukan Islam kalau faham perjuangan Islam, dia tidak akan takut,” katanya.
Beliau percaya Perikatan Nasional (PN) berpeluang mengambil alih pentadbiran negara pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sekiranya landasan perjuangan yang ada ketika ini terus diperkukuhkan, selain usaha berterusan meningkatkan kesedaran orang Melayu Islam mengenai kepentingan bersatu.
“Kita mahu jelaskan kepada rakyat, namun belum diberi peluang kerana tidak memiliki kuasa mentadbir negara untuk buktikan ikhlasan kita. Kita akan sama-sama yakinkan rakyat dan bukan Islam, PAS adalah penyelesaiannya.
“Sama ada pemimpin itu cerdik, bodoh, pandai, tak pandai, bukan daripada percakapan, tetapi daripada tindakan,” katanya.
Sebelum itu, Zaid mengimbas perjalanan politiknya yang pernah bersama UMNO selama 28 tahun sehingga dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum meletakkan jawatan kerana tidak bersetuju dengan penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap pengamal media, orang awam dan ahli politik.
Menurutnya, selepas dipecat UMNO pada 2008, beliau menyertai PKR selepas didekati Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu merupakan pembangkang.
“Anwar kata tindakan saya betul. Saya pun sertai Anwar. Dalam setahun setengah, saya lihat dia bercakap tak selari dengan apa yang difikirkan. Susah kalau pemimpin tidak ikhlas, rakyat tidak akan terbela jika pemimpin tidak ikhlas. Namun beliau pandai bercakap, saya pun kagum,” jelas beliau.
Zaid kemudian menyertai DAP sebelum menubuhkan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), namun hanya mampu bertahan selama setahun.
Akhirnya beliau memilih menyertai PAS kerana percaya parti itu mampu memperjuangkan nasib rakyat.
"Saya sertai PAS bukan untuk mengejar jawatan, bukan untuk ubah dasar parti. Saya hanya mahu bantu sebuah parti Melayu dan Islam membela rakyat.
"Saya sudah lalui pelbagai parti politik. Saya tahu kekuatan dan kelemahan setiap parti. Saya percaya PAS mempunyai peluang menjadi penyelesaian kepada pelbagai masalah negara jika diberikan mandat oleh rakyat," katanya.

0 Comments