KENYATAAN MEDIA
Oleh: Kumaresan BK
Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat
Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) mengambil maklum mengenai polemik yang timbul susulan ucapan YAB Menteri Besar Kedah berhubung ungkapan “Cina ada China, India ada India” yang kini dipetik dan ditafsirkan di luar konteks sehingga menimbulkan pelbagai persepsi dalam kalangan masyarakat.
DHPP ingin menegaskan bahawa ucapan tersebut tidak seharusnya dimanipulasi seolah-olah YAB Menteri Besar merujuk kepada masyarakat Cina dan India yang merupakan rakyat Malaysia.
Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, kita semua memahami bahawa rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai latar belakang, termasuk Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain. Masyarakat Cina dan India di Malaysia adalah sebahagian daripada rakyat negara ini dan mempunyai hak yang sama untuk hidup, bekerja dan menyumbang kepada pembangunan negeri serta negara.
Oleh itu, DHPP menyeru semua pihak agar tidak mengambil kesempatan daripada isu ini dengan memutarbelitkan kenyataan atau mengeluarkan ucapan daripada konteks sebenar. Sebarang perbezaan pandangan hendaklah dibincangkan secara matang dan berlandaskan fakta, bukannya dijadikan bahan untuk mencetuskan sentimen perkauman dan perpecahan.
DHPP juga berpandangan bahawa tindakan mendesak pihak berkuasa untuk menyiasat atau mengambil tindakan hanya berdasarkan petikan kenyataan yang telah ditafsirkan secara tertentu perlu dipertimbangkan dengan penuh tanggungjawab. Kita tidak seharusnya membiarkan perbezaan politik menjadi punca kepada usaha menggugat keharmonian masyarakat.
Sebagai DHPP, kami sentiasa komited untuk memperkukuhkan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum dan agama. Kami percaya bahawa Malaysia adalah milik bersama semua rakyatnya, tanpa mengira kaum dan latar belakang.
Kami menyeru agar semua pihak menghentikan budaya memanipulasi kenyataan demi kepentingan politik sempit. Marilah kita bersama-sama menjaga keharmonian, menghormati perbezaan dan meletakkan kepentingan rakyat Malaysia sebagai keutamaan.
Jangan kerana perbezaan politik, keharmonian rakyat menjadi taruhan.

0 Comments