Oleh: Dr. Khalid Hamka
Penganalisa Politik
Semakin hari semakin sukar untuk Kerajaan Madani menjawab persepsi bahawa wujud layanan dua darjat terhadap negeri-negeri di Malaysia.
Persoalannya mudah. Mengapa projek yang memberi manfaat kepada Pulau Pinang dilayan sebagai keutamaan nasional, sedangkan projek yang lebih besar dan lebih diperlukan rakyat di Pantai Timur terus dipinggirkan?
Lihat sahaja angka yang sedang menjadi perbualan rakyat.
Projek Lebuhraya Pan Island Link 1 (PIL-1) di Pulau Pinang sepanjang hanya 19.5 kilometer kini dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan kos mencecah RM9.6 bilion. Ini bersamaan kira-kira RM492 juta bagi setiap kilometer.
Sekali lagi RM492 juta setiap kilometer.
Pada masa yang sama, Pulau Pinang turut menerima satu lagi "hadiah istimewa" berupa projek LRT Pulau Pinang bernilai RM16.8 bilion yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan.
Jumlah keseluruhan yang diperuntukkan kepada Pulau Pinang bagi dua projek ini sahaja sudah menghampiri RM26.4 bilion.
Namun apabila tiba kepada projek Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) yang menghubungkan Terengganu dan Kelantan sepanjang 122 kilometer dengan kos RM9.8 bilion, kerajaan mengambil pendekatan yang sangat berbeza.
Projek tersebut tidak dimasukkan dalam RMK13.
Lebih mengejutkan, kerajaan mahu projek itu dibiayai pihak swasta dan pengguna pula dibebankan dengan cadangan tol sekitar RM70 bagi perjalanan hujung ke hujung.
Di sinilah persoalan besar timbul.
Mengapa projek sepanjang 19.5 kilometer dengan kos RM492 juta setiap kilometer layak menerima pembiayaan penuh Kerajaan Persekutuan dan bebas tol, tetapi projek sepanjang 122 kilometer dengan kos hanya RM80.3 juta setiap kilometer tidak dianggap cukup penting untuk menerima layanan yang sama?
Sekali lagi RM80.3 juta setiap kilometer.
Bukankah kedua-duanya merupakan projek lebuhraya?
Bukankah kedua-duanya melibatkan keperluan rakyat?
Bukankah rakyat Kelantan dan Terengganu juga pembayar cukai yang menyumbang kepada dana negara?
Perbandingan ini menunjukkan satu jurang layanan yang terlalu ketara untuk dianggap kebetulan semata-mata.
Lebih menghairankan, kerajaan DAP Pulau Pinang sebelum ini berulang kali mendakwa projek PIL-1 akan dilaksanakan melalui pembiayaan swasta. Itulah alasan yang sering diberikan ketika timbul persoalan mengenai kos projek yang melambung tinggi.
Namun kini naratif itu berubah sepenuhnya.
Projek yang dahulunya dikatakan tidak menggunakan wang kerajaan akhirnya diserap ke dalam RMK13 dan dibiayai menggunakan wang Kerajaan Persekutuan.
Maka persoalan yang wajar ditanya ialah: apakah sebenarnya yang berubah?
Jika projek itu benar-benar berdaya maju secara komersial dan mampu dibiayai sektor swasta seperti yang diwar-warkan sebelum ini, mengapa kini rakyat seluruh Malaysia perlu menanggung kosnya?
Lebih penting lagi, mengapa negeri-negeri yang tidak ditadbir DAP gagal memperoleh layanan yang sama?
Hakikatnya, persepsi yang sedang terbentuk di mata rakyat sangat berbahaya kepada kredibiliti Kerajaan Madani.
Rakyat melihat Pulau Pinang menerima layanan luar biasa melalui projek-projek mega yang dibiayai pusat, manakala Kelantan dan Terengganu pula seolah-olah dipaksa mencari dana sendiri walaupun projek yang dicadangkan mempunyai impak wilayah yang jauh lebih besar.
Inilah yang menyebabkan semakin ramai mula bertanya sama ada keputusan pembangunan negara dibuat berdasarkan keperluan rakyat atau berdasarkan pertimbangan politik.
Apakah faktor sebenar yang membolehkan projek bernilai RM26.4 bilion di Pulau Pinang diluluskan dengan begitu mudah?
Mengapa projek yang menghubungkan jutaan penduduk Pantai Timur terus diletakkan di belakang?
Kerajaan Madani wajib memberikan jawapan yang telus.
Kerana dalam sebuah negara yang mendakwa mengamalkan prinsip keadilan dan kesaksamaan, pembangunan tidak boleh dilihat memihak kepada satu negeri dan menghukum negeri yang lain.
Jika tidak, persepsi bahawa Pulau Pinang adalah "anak emas" manakala Kelantan dan Terengganu hanyalah "anak tiri" akan terus berkembang dan menjadi simbol kegagalan terbesar Kerajaan Madani dalam menguruskan pembangunan secara adil untuk seluruh rakyat Malaysia.

0 Comments