JOHOR BERPOTENSI SEBAGAI MODEL PENYATUAN POLITIK MELAYU

 

“PAS, UMNO, RESET BERGABUNG” - WAN SAIFUL

Oleh: Roslinda Hashim 

KUALA LUMPUR - Johor berpotensi menjadi model baharu penyatuan politik parti-parti Melayu menerusi kerjasama antara PAS, UMNO, dan Gerakan RESET, sekali gus menjadi contoh kepada landskap politik negara berasaskan semangat Perlembagaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, usaha penyusunan semula politik Melayu itu wajar dimulakan di pilihan raya negeri (PRN) Johor. 

Menurutnya, gabungan ketiga-tiga pihak itu berupaya membentuk Kerajaan Negeri yang mampu menjadi contoh kepada seluruh negara dalam memperkukuh agenda penyatuan Melayu dengan sokongan masyarakat bukan Melayu yang tidak ekstrem.

“Saya gembira apabila Timbalan Presiden PAS, Dato Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Presiden Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa mencadangkan agar penyusunan baru politik Melayu dimulakan di Johor.

“Alangkah baiknya jika gabungan PAS, UMNO dan RESET membentuk Kerajaan Negeri Johor, seterusnya menjadikan Johor sebagai model untuk Malaysia secara keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yakin Gerakan RESET yang digerakkan Datuk Seri Hamzah Zainudin juga terbuka dengan cadangan tersebut.

Bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu berkata, isu penggunaan logo dan nama parti tidak seharusnya menjadi halangan kerana ia hanya melibatkan aspek teknikal yang boleh diselesaikan sekiranya semua pihak mencapai persetujuan mengenai prinsip kerjasama.

“Malaysia sudah biasa dengan calon parti A menggunakan logo parti B atas dasar kerjasama, seperti dilakukan dalam PRU14. 

“Atas dasar penyatuan, tidak mustahil satu logo yang sama digunakan oleh semua calon walaupun berbeza parti, atau diwujudkan logo baharu untuk gabungan baharu,” ujarnya.

Wan Saiful berkata, kerjasama politik di Johor tidak semestinya menggugat susun atur politik di peringkat Persekutuan kerana sistem federalisme yang diamalkan negara membenarkan pentadbiran dan gabungan politik yang berbeza antara negeri dan kerajaan Pusat.

“Malaysia mengamalkan federalisme. Federalisme membolehkan wujudnya pentadbiran yang berbeza di peringkat negeri dan Persekutuan. Federalisme membenarkan kombinasi berbeza-beza di setiap negeri, dan susun atur Persekutuan tidak mengekang susun atur negeri,” ujarnya.

Beliau merujuk kepada situasi di Sarawak apabila Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan (PH), manakala PH pula berperanan sebagai pembangkang di negeri itu.

“Johor berpeluang menjadi negeri terkehadapan di Semenanjung untuk menyemarakkan amalan federalisme di Malaysia dan melakar sejarah menerusi PRN kali ini.

“Rundinglah dengan meletakkan matlamat penyatuan sebagai keutamaan paling tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Saiful turut menggesa rakyat menolak parti-parti yang didakwa meremehkan agenda penyatuan Melayu seperti PH termasuk pihak yang semakin cenderung bekerjasama dengan PH atas kepentingan tertentu.

Sebelum ini, Tuan Ibrahim dilaporkan berkata, PAS berpandangan sudah tiba masanya Muafakat Nasional (MN) 2.0 dijayakan bagi memperkukuh kedudukan politik Melayu dan umat Islam menjelang beberapa PRN yang bakal berlangsung.

Annuar pula dilaporkan turut menyokong usaha tersebut dengan menyifatkan wujud persamaan dalam MN dan Rumah Bangsa dibawa UMNO, iaitu memerlukan persefahaman dan penyatuan khususnya membabitkan UMNO dengan PAS atau Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

Post a Comment

0 Comments