"Hakim Danish tonjol imej Islam yang baik kepada dunia"
Oleh: Muhammad Hanif Jamaluddin
Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia
Saya tertarik dengan tindakan pengurus Hakim Danish yang bukan beragama Islam, tetapi mengambil inisiatif mengalihkan arak di podium kerana memahami bahawa Islam melarang penglibatan dengan perkara berkaitan arak.
Perkara ini mungkin nampak kecil pada pandangan sesetengah orang, tetapi sebenarnya besar nilainya. Ia menunjukkan bahawa apabila seseorang Muslim berpegang teguh dengan prinsip agamanya, orang lain juga akan belajar untuk menghormatinya.
Hakim Danish bukan sahaja berjaya menaiki podium dan meraih kemenangan di litar, malah berjaya membawa imej Islam yang baik kepada dunia.
Tanpa perlu banyak berbicara, akhlak dan prinsip yang ditunjukkan sudah menjadi satu bentuk dakwah yang sangat berkesan.
Islam tidak pernah menghalang umatnya untuk aktif dalam sukan, bahkan Islam menggalakkan umatnya menjadi kuat, cergas dan berdaya saing.
Berjayalah setinggi mana sekalipun, bertandinglah sehingga ke peringkat dunia, namun jangan sesekali menggadaikan prinsip agama demi mengejar nama atau kejayaan.
Hakikatnya, manusia mungkin menghormati kita kerana kemenangan, tetapi mereka akan lebih menghormati kita apabila melihat kita tetap teguh dengan pegangan walaupun berada di puncak kejayaan.
Menang di gelanggang itu satu kejayaan. Menang dengan prinsip dan akhlak itulah kemenangan yang sebenar.
0 Comments