UEC, ISU KETAKSAMAAN SOSIAL DAN MARUAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN!


Oleh: Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir
ADUN Kota Siputeh/Presiden Angkatan Gerak Minda Malaysia (AGRA)

Pendidikan bukan sekadar laluan untuk mendapatkan sijil, pekerjaan atau tempat di universiti. Pendidikan ialah wahana membina manusia, membentuk jiwa kebangsaan, menyatukan rakyat dan menanam kesetiaan kepada tanah air. Sebab itu, apabila kita bercakap tentang Unified Examination Certificate (UEC), kita tidak boleh menyempitkan perbahasan ini seolah-olah ia hanya soal sijil akademik atau akses ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA). Isu ini jauh lebih besar. Ia menyentuh roh Sistem Pendidikan Kebangsaan, kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kesepaduan kurikulum nasional, semangat patriotisme, keadilan sosial dan masa depan negara bangsa Malaysia.

Langkah kerajaan semasa di bawah teraju Perdana Menteri ke-10 (PMX) yang membuka ruang kepada lepasan sistem pendidikan di luar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), termasuk pemegang Unified Examination Certificate (UEC), untuk mengikuti program tertentu di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) adalah satu langkah yang sangat membimbangkan. Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sendiri menyatakan bahawa laluan ini melibatkan pelajar lepasan di luar Sistem Pendidikan Kebangsaan ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA), atas alasan akses pendidikan tinggi yang inklusif, adil dan berkualiti. Namun persoalan yang lebih besar ialah, apakah makna “akses” jika ia dibuka dengan mengorbankan kedudukan Sistem Pendidikan Kebangsaan sebagai paksi pembinaan negara?  

Saya melihat perkembangan ini bukan sebagai isu kecil pentadbiran pendidikan. Ini bukan sekadar soal beberapa program tertentu dibuka kepada lepasan Unified Examination Certificate (UEC). Ini ialah pintu dasar yang boleh membawa kesan lebih besar terhadap hala tuju pendidikan negara. Hari ini ruang dibuka kepada Unified Examination Certificate (UEC). Esok sistem lain pula akan menuntut layanan yang sama. Akhirnya, Sistem Pendidikan Kebangsaan tidak lagi berdiri sebagai induk yang dihormati, tetapi sekadar menjadi salah satu laluan dalam pasaran pendidikan yang dipenuhi pelbagai sistem luar.

Dalam penulisan saya di Free Malaysia Today (FMT) pada tahun 2017, saya pernah membangkitkan soal sikap dwistandard kerajaan terhadap Unified Examination Certificate (UEC) berbanding sistem peperiksaan luar lain seperti O-Level, Australian Matriculation (AUSMAT) dan A-Level. Namun hujah itu perlu dibaca sebagai sindiran dasar, bukan sebagai persetujuan saya terhadap mana-mana sistem peperiksaan luar tersebut. Maksud saya ketika itu jelas, jika kerajaan begitu mudah membuka ruang kepada pelbagai sistem luar untuk pengambilan terus ke universiti awam, maka mengapa Unified Examination Certificate (UEC) pula mahu dikecualikan? Tetapi di sebalik sindiran itu, pendirian saya tetap tegas bahawa anak Malaysia sepatutnya dibentuk melalui laluan Sistem Pendidikan Kebangsaan.  (𝑅𝑢𝑗𝑢𝑘: 𝐷𝑖𝑙𝑒𝑚𝑎 𝑀𝑒𝑙𝑎𝑦𝑢, 𝑀𝑎𝑙𝑎𝑦𝑠𝑖𝑎, 𝑈𝐸𝐶 𝑑𝑎𝑛 ℎ𝑎𝑙𝑎 𝑡𝑢𝑗𝑢 𝑝𝑒𝑛𝑑𝑖𝑑𝑖𝑘𝑎𝑛 𝑛𝑒𝑔𝑎𝑟𝑎, 6 𝐹𝐸𝐵𝑅𝑈𝐴𝑅𝐼 2017; https://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2017/02/06/dilema-melayu-malaysia-uec-dan-hala-tuju-pendidikan-negara )

Hari ini saya menegaskan semula bahawa saya tidak bersetuju dengan sebarang mekanisme kelonggaran yang membolehkan anak Malaysia mengetepikan sistem pendidikan negaranya sendiri, kemudian masuk ke institusi awam melalui sijil atau kerangka pendidikan luar yang tidak tunduk sepenuhnya kepada bahasa kebangsaan, kurikulum kebangsaan dan peperiksaan kebangsaan. Untuk anak Malaysia, laluan utama ke institusi awam negara mestilah melalui Sistem Pendidikan Kebangsaan. Pendidikan luar mungkin wujud sebagai pilihan swasta, tetapi ia tidak boleh dijadikan jalan pintas untuk memperoleh manfaat institusi awam negara tanpa terlebih dahulu tunduk kepada dasar pendidikan kebangsaan.

Inilah juga titik yang menjadikan pendirian saya senada dengan pandangan Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong. Beliau secara konsisten menegaskan bahawa isu Unified Examination Certificate (UEC) bukan semata-mata isu sijil, tetapi isu negara. Beliau pernah menegaskan bahawa kerajaan perlu bertegas menolak usaha pengiktirafan Unified Examination Certificate (UEC) kerana ia boleh mengganggu sistem pendidikan nasional. Malah, beliau membezakan antara kewujudan Unified Examination Certificate (UEC) di sekolah persendirian Cina dengan tuntutan supaya ia diberi pengiktirafan dalam sistem awam negara.  

Pandangan Prof. Teo Kok Seong penting kerana ia memberi sandaran ilmiah kepada satu prinsip besar bahawa pendidikan kebangsaan tidak boleh dikorbankan atas nama kompromi politik. Dalam laporan mutakhir, beliau turut menyifatkan keputusan berkaitan Unified Examination Certificate (UEC) sebagai keputusan politik yang salah kerana boleh membuka pintu lebih besar kepada sistem pendidikan yang tidak selari dengan dasar nasional. Pandangan ini sangat dekat dengan kegusaran saya bahawa apabila pintu dasar sudah dibuka, tekanan seterusnya bukan lagi soal pengecualian kecil, tetapi tuntutan pengiktirafan yang lebih luas.  

Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) telah memberi asas yang jelas tentang Sistem Pendidikan Kebangsaan. Bahagian IV akta tersebut memperuntukkan kerangka Sistem Pendidikan Kebangsaan, termasuk pendidikan prasekolah, pendidikan rendah, pendidikan menengah, pendidikan lepas menengah dan pendidikan tinggi. Lebih penting, kerangka akta ini meletakkan bahasa kebangsaan, kurikulum kebangsaan dan peperiksaan kebangsaan sebagai elemen utama dalam pembinaan sistem pendidikan negara.  

Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) juga memperuntukkan bahawa bahasa kebangsaan menjadi bahasa pengantar utama dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan, manakala Kurikulum Kebangsaan pula ditetapkan sebagai asas yang perlu digunakan oleh sekolah dalam sistem tersebut. Maka apabila mana-mana sistem luar mahu diberikan laluan ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA), persoalan asasnya bukan sekadar sama ada calon itu cemerlang atau tidak. Persoalan yang lebih mendasar ialah, adakah sistem itu tunduk kepada roh bahasa kebangsaan, kurikulum kebangsaan dan peperiksaan kebangsaan yang menjadi asas pembentukan warga negara?  

Jika jawapannya tidak, maka pengiktirafan atau pengukuhan laluan itu akan melemahkan disiplin dasar pendidikan negara. Negara tidak boleh melaungkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, tetapi dalam masa yang sama membuka laluan kepada sistem luar yang tidak bergerak sepenuhnya dalam kerangka pendidikan kebangsaan. Negara tidak boleh bercakap tentang integrasi nasional, tetapi membiarkan anak-anak Malaysia dibentuk sejak awal dalam aliran, bahasa, kurikulum, budaya sekolah dan sistem peperiksaan yang berbeza-beza.

Isu ini bukan semata-mata soal patriotisme dalam makna yang sempit. Ia lebih mendasar daripada itu. Pendidikan ialah ruang pertama negara membina rasa kebangsaan, membentuk kesetiaan kepada tanah air dan mengajar anak-anak bahawa mereka berkongsi masa depan yang sama. Jika sejak di peringkat sekolah lagi anak-anak Malaysia dipisahkan melalui aliran, kurikulum, bahasa pengantar dan sistem peperiksaan yang berbeza, maka jangan hairan apabila jurang itu berlanjutan hingga ke universiti.

Kita boleh bercakap tentang perpaduan di kampus, tetapi realiti sosial yang dapat dicerap sering menunjukkan bahawa pemisahan awal di peringkat sekolah tidak hilang begitu sahaja apabila seseorang masuk ke universiti. Anak Melayu cenderung berkumpul dengan anak Melayu. Anak Cina belajar, makan, bergerak dan bermain dalam lingkungan anak Cina. Anak India pula sering berada dalam lingkungan sosial yang tersendiri. Ini bukan semestinya berlaku kerana mereka membenci antara satu sama lain, tetapi kerana pengalaman pendidikan awal mereka sudah membentuk dunia sosial yang terpisah.

Maka apabila kerajaan membuka ruang kepada Unified Examination Certificate (UEC), A-Level, Australian Matriculation (AUSMAT), O-Level dan sistem luar lain untuk anak Malaysia masuk ke institusi awam negara tanpa melalui disiplin Sistem Pendidikan Kebangsaan, ia bukan sahaja melemahkan integrasi nasional, bahkan menjarakkan lagi cita-cita membina kerangka kebangsaan melalui ilmu dan pendidikan. Negara seolah-olah menghantar isyarat bahawa Sistem Pendidikan Kebangsaan hanyalah satu pilihan, bukan paksi utama pembentukan warga.

Lebih membimbangkan, kelonggaran kepada sistem luar ini akan mencipta ketaksamaan sosial yang lebih dalam. Anak-anak yang mengikuti sistem seperti Unified Examination Certificate (UEC), A-Level, Australian Matriculation (AUSMAT) dan O-Level lazimnya datang daripada keluarga yang mempunyai keupayaan ekonomi lebih baik, akses pendidikan lebih luas, persekitaran pembelajaran lebih tersusun dan jaringan sosial yang lebih kuat. Mereka mempunyai sumber untuk membayar yuran, mendapatkan bahan pembelajaran tambahan, mengikuti kelas persediaan dan memilih laluan pendidikan yang lebih strategik.

Anak kampung, anak pesawah, anak nelayan, anak pekerja bawahan dan anak luar bandar pula kebanyakannya bergantung kepada sekolah kebangsaan sebagai satu-satunya laluan mobiliti sosial. Mereka tidak memiliki kemudahan yang sama. Ada yang berdepan jurang digital, kekangan kewangan, kekurangan guru pakar, kelemahan infrastruktur sekolah dan persekitaran pembelajaran yang tidak setanding dengan institusi swasta atau sistem luar yang lebih mahal. Jika negara membuka pertandingan yang kononnya sama rata antara semua laluan ini, maka sebenarnya negara sedang membandingkan anak-anak daripada latar yang tidak sama.

Di sinilah bahayanya apabila kerajaan mula menormalisasikan sistem luar sebagai laluan yang setara atau lebih istimewa daripada Sistem Pendidikan Kebangsaan. Apabila pintu pengambilan terus dibuka atas nama meritokrasi, siapa sebenarnya yang paling bersedia untuk bersaing? Apakah anak luar bandar yang berdepan kekurangan kemudahan, jurang digital, kekangan kewangan dan kualiti sokongan akademik yang tidak seimbang mampu bersaing secara adil dengan anak-anak daripada keluarga berada yang mengikuti sistem luar? Jika meritokrasi dibina atas padang yang tidak sama rata, maka ia bukan lagi keadilan. Ia hanya menjadi bahasa indah untuk mengabsahkan kelebihan kelas menengah dan golongan berkemampuan.

Sebab itu isu Unified Examination Certificate (UEC) dan sistem peperiksaan luar tidak boleh dibaca secara terpisah daripada isu kelas sosial. Ia bukan sahaja berisiko melemahkan semangat kebangsaan, tetapi juga boleh menutup ruang anak-anak biasa daripada menikmati keadilan pendidikan. Apabila sistem luar semakin dinormalisasikan, kelak akan muncul tuntutan bahawa semua kemasukan ke universiti awam mesti dibuat atas nama merit yang kononnya neutral. Tetapi merit yang lahir daripada laluan pendidikan mahal, sumber keluarga yang kuat dan akses bandar yang lebih lengkap tidak boleh disamakan begitu sahaja dengan merit anak kampung yang berjuang dalam kekurangan.

Di sinilah dasar pendidikan negara mesti berpihak kepada keadilan, bukan sekadar angka keputusan peperiksaan. Keadilan bukan bermaksud semua orang dilayan sama dalam keadaan permulaan yang tidak sama. Keadilan bermaksud negara memahami ketidakseimbangan struktur, lalu memastikan institusi awam tidak menjadi medan yang menguntungkan mereka yang sudah pun kuat. Jika institusi awam akhirnya lebih mudah dimasuki oleh kelompok yang mampu membeli laluan luar, maka pendidikan awam tidak lagi menjadi tangga mobiliti sosial, tetapi berubah menjadi ruang yang mengukuhkan jurang kelas.

Dalam konteks ini, saya menolak Unified Examination Certificate (UEC) bukan kerana sentimen kaum. Saya juga menolak A-Level, Australian Matriculation (AUSMAT), O-Level dan apa sahaja sistem luar bagi anak Malaysia jika ia menjadi laluan yang mengetepikan Sistem Pendidikan Kebangsaan. Pendirian ini bukan anti ilmu, bukan anti bahasa ibunda, bukan anti pendidikan swasta dan bukan anti kecemerlangan. Pendirian ini ialah usaha mempertahankan asas negara bahawa anak Malaysia wajar dibentuk dalam satu rumah pendidikan kebangsaan yang sama.

Kita mesti bezakan antara hak belajar dengan hak menuntut pengiktirafan negara. Seseorang boleh memilih pendidikan swasta. Seseorang boleh memilih sistem luar. Seseorang boleh memilih laluan antarabangsa. Tetapi apabila seseorang itu mahu memasuki institusi awam negara sebagai anak Malaysia, maka sistem negara mesti menjadi asas utama. Institusi awam dibiayai oleh dana rakyat dan memikul amanah nasional. Maka ia mesti mempertahankan dasar kebangsaan, bukan menjadi pintu belakang untuk mengabsahkan sistem luar yang tidak tunduk kepada kerangka kebangsaan.

Saya tidak menolak kepelbagaian budaya. Saya tidak menolak bahasa ibunda. Saya tidak menolak kemajuan mana-mana komuniti. Tetapi kepelbagaian tidak boleh dijadikan alasan untuk membina sistem pendidikan yang terpisah sehingga melemahkan rasa kebangsaan. Bahasa ibunda boleh dipelihara. Kebudayaan setiap kaum boleh diraikan. Pendidikan agama boleh diperkukuh. Tetapi paksi kebangsaan tidak boleh dikorbankan. Tanpa paksi yang sama, kepelbagaian tidak lagi menjadi kekuatan, sebaliknya berubah menjadi pemisahan yang dilembagakan.

Sebuah negara tidak boleh dibina dengan sistem pendidikan yang berpecah. Jepun membina kekuatan nasionalnya melalui sistem pendidikan yang menanam disiplin, bahasa dan identiti negara. Korea Selatan membangunkan bangsanya dengan keyakinan terhadap bahasa, budaya dan sistem pendidikannya sendiri. Finland memperkukuh pendidikan awam sebagai ruang kepercayaan sosial dan kesaksamaan. Singapura pula, walaupun majmuk, sangat tegas dalam membina disiplin bahasa, kurikulum dan identiti nasional melalui dasar pendidikan yang berpaksikan negara.

Malaysia pula masih terperangkap dalam kompromi politik yang tidak berkesudahan. Setiap kali isu pendidikan menyentuh kepentingan politik tertentu, kerajaan seolah-olah hilang keberanian untuk mempertahankan prinsip negara. Dalam keadaan sekolah kebangsaan perlu diperkuat, guru perlu diperkasa, mutu pembelajaran perlu ditingkatkan dan keyakinan rakyat terhadap sistem kebangsaan perlu dipulihkan, kerajaan memilih untuk membuka ruang kepada sistem luar. Ini bukan reformasi pendidikan. Ini pengunduran dasar yang dibalut dengan bahasa indah keterangkuman.

Patriotisme tidak lahir daripada slogan. Nasionalisme yang sihat tidak tumbuh daripada kempen sambutan bulan kebangsaan semata-mata. Ia lahir daripada pengalaman pendidikan bersama, bahasa bersama, kurikulum bersama, sejarah bersama dan rasa memiliki negara secara bersama. Jika sejak kecil anak-anak Malaysia melalui sistem pendidikan yang berbeza, menduduki peperiksaan yang berbeza, membaca kerangka sejarah yang berbeza dan dibentuk oleh orientasi sosial yang berbeza, jangan terkejut apabila dewasa nanti mereka melihat negara ini sebagai ruang ekonomi semata-mata, bukan tanah air yang wajib dipertahankan dengan jiwa.

Atas sebab itu, kerajaan tidak boleh bersembunyi di sebalik istilah “akses”, “inklusif” dan “adil” untuk mengaburkan persoalan dasar. Akses pendidikan tinggi memang penting. Tetapi akses itu mesti dibina atas asas kebangsaan yang sama. Inklusif memang perlu. Tetapi keterangkuman tidak boleh bermaksud negara menerima semua sistem luar sehingga melemahkan sistem sendiri. Adil memang wajib. Tetapi keadilan tidak boleh diukur hanya pada peluang masuk universiti, tanpa menilai latar sosial, kemampuan ekonomi dan kedudukan anak luar bandar yang bergantung kepada sekolah kebangsaan.

Saya menegaskan, jalan ke hadapan bukan mengiktiraf Unified Examination Certificate (UEC), bukan mengabsahkan A-Level, Australian Matriculation (AUSMAT), O-Level atau mana-mana sistem luar sebagai laluan istimewa bagi anak Malaysia ke institusi awam. Jalan sebenar ialah memperkukuh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), memartabatkan Kurikulum Kebangsaan, meningkatkan mutu sekolah kebangsaan, menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang bermaruah dan memastikan semua anak Malaysia bertemu dalam satu sistem pendidikan yang menyatukan.

Kerajaan juga perlu berani melakukan semakan menyeluruh terhadap semua mekanisme pengambilan terus yang membolehkan anak Malaysia masuk ke institusi awam melalui sistem luar. Prinsipnya mesti jelas. Anak Malaysia yang mahu mendapat tempat dalam institusi awam negara mestilah melalui laluan yang menghormati Sistem Pendidikan Kebangsaan. Jika terdapat keperluan khas untuk pelajar luar negara atau warga asing, itu boleh dibincangkan dalam kerangka berbeza. Tetapi bagi anak Malaysia, pendidikan negara sendiri tidak boleh dipintas sewenang-wenangnya.

Inilah perbezaan penting yang mesti difahami. Isu ini bukan soal menutup pintu ilmu kepada sesiapa. Isu ini ialah soal memastikan ilmu yang membina warga Malaysia berpijak pada asas kebangsaan. Kita mahu melahirkan rakyat yang berilmu, tetapi ilmu itu mesti terikat dengan rasa tanggungjawab terhadap negara. Kita mahu melahirkan pelajar yang cemerlang, tetapi kecemerlangan itu tidak boleh dibina melalui laluan yang menjarakkan mereka daripada masyarakat kebangsaan. Kita mahu melahirkan generasi global, tetapi generasi global itu mesti terlebih dahulu berakar sebagai warga Malaysia.

Akhirnya, kerajaan perlu memilih sama ada mahu membina negara bangsa yang berpaksikan Sistem Pendidikan Kebangsaan, atau terus membuka ruang kepada sistem pendidikan berpecah yang kelak melemahkan patriotisme, nasionalisme dan keadilan sosial. Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) sudah memberi asas undang-undang. Falsafah Pendidikan Kebangsaan sudah memberi arah nilai. Sejarah negara sudah memberi pengajaran. Yang kurang hanyalah keberanian politik untuk mempertahankan maruah pendidikan kebangsaan.

Negara ini tidak akan kuat jika pendidikan terus dipecahkan. Bangsa Malaysia tidak akan lahir jika setiap kelompok dibenarkan membina jalur pendidikan yang terpisah, kemudian menuntut pengiktirafan negara apabila tiba di pintu institusi awam. Malaysia memerlukan keberanian untuk kembali kepada asas. Pendidikan kebangsaan mesti menjadi teras. Bahasa kebangsaan mesti menjadi jiwa. Kurikulum kebangsaan mesti menjadi rangka. Peperiksaan kebangsaan mesti menjadi ukuran utama. Tanpa semua ini, kita bukan sedang membina masa depan negara, tetapi sedang merelakan negara kehilangan arah dari dalam 'kelas'nya sendiri.

16 Mei 2026 | SELAMAT HARI GURU
.
#PencanduGPMS
#AGRA #UEC #TolaKUEC 
#MadaniProblem
 

Post a Comment

0 Comments