SARAN TINDAKAN EKSTREM TANGANI SINDIKET PENGEDARAN DADAH - SANUSI

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) disaran mengambil tindakan lebih tegas termasuk bertindak ‘ekstrem' dalam memerangi kegiatan sindiket pengedaran dadah di Langkawi.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, selain penguatkuasaan lebih tegas, pihak berkuasa juga tidak boleh melindungi mana-mana individu terbabit pengedaran dadah  biarpun tindakan itu boleh menyebabkan kontroversi sebagaimana berlaku di Filipina.

Menurutnya, isu ini perlu diambil serius dengan pendekatan baharu kerana isu dadah membawa kerosakan dalam masyarakat dan disifatkan sudah terlalu parah. 

“Masalah pengedaran dadah ini berlaku berterusan. Polis pun tahu modus operandi mereka, jika tak boleh tangani dengan cara tangkap mereka, tindakan lain lebih tegas boleh diambil untuk perangi kegiatan sindiket, iaitu menembak pengedar dadah jika membahayakan.

“Di Filipina tindakan tegas diambil dengan menembak ribuan penagih atau pengedar yang diburu, hingga masalah dadah di negara itu makin kurang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di Wisma Darul Aman, hari ini.

Sanusi memaklumkan, kegiatan sindiket dadah di Langkawi atau perairan pulau berkenaan bukan perkara baharu.

“Saya dengar sudah lama operasi dadah di Langkawi, saya ada bincang dengan Senior Asisten Komisioner Shariman Ashari (bekas Ketua Polis Daerah Langkawi), maklumkan Langkawi menjadi pusat transit.

"Mereka lepas dadah di laut, ada orang naik perahu ambil dan edar dadah itu. Saya dapat maklumat begitu lah operasi sindiket, jadi saya minta polis pantau Langkawi, elak jadi pusat transit.

"Tuan Shariman sudah ambil tindakan dan tangkap ramai orang, namun masalah ini masih berterusan,” katanya.

Sanusi tegaskan, masalah dadah terus menjadi isu besar negara sehingga keluarga menjadi porak-peranda akibat bahan terlarang itu.

“Masalah dadah merupakan musuh utama negara dan menyebabkan kerosakan teruk dalam masyarakat khususnya golongan muda.

"Jangan lindungi sesiapa. Tangkap semua pengedar dadah. Kalau tidak boleh tangkap, tembak. Biar jadi kontroversi, sebab berat sangat masalah dadah sekarang,” katanya.

Menurutnya lagi, Kerajaan negeri juga komited menangani isu berkenaan bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) namun masih buntu mencari penyelesaian terbaik.

“Sampai tak tahu hendak buat apa lagi. Sebab itu dadah tidak boleh dipandang ringan. Ambil tindakan paling ekstrem sekali terhadap pengedar dadah.

“Polis boleh ambil tindakan... jangan lindungi sesiapa. Kita ada peraturan dan proses undang-undang tangkapan yang jelas. Ambil penguatkuasaan lebih tegas supaya pengedar dadah pun berasa takut.

“Mereka sewenang-wenang buat kerja rosakkan ramai orang. Ramai keluarga dan ibu bapa menderita sebab anak masuk penjara, hingga ada mak bapa jual motosikal, kereta sampai jual rumah untuk ikat jamin anak keluar, masalahnya bila dah keluar, ulangi benda sama," katanya.

Pada Selasa, media melaporkan terdapat satu rangkaian pengedaran dadah yang beroperasi secara tersusun di Langkawi, dipercayai didalangi seorang anggota polis dikenali sebagai 'Mr A'.

Ini menyebabkan masalah dadah di pulau peranginan terkemuka itu tidak pernah selesai, walaupun pelbagai operasi dijalankan polis dan AADK, malah pulau lagenda itu terus mencatat bilangan penagih yang ramai.

Post a Comment

0 Comments