Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Kedah, Dzowahir Ab Ghani menegaskan akan terus menjalankan tugas seperti biasa demi kepentingan rakyat walaupun sedang melalui proses rayuan berhubung tindakan parti terhadapnya.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan itu berkata, kepercayaan yang terus diberikan oleh Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor membuktikan kepimpinan Kerajaan Negeri mengutamakan kestabilan pentadbiran.
“Saya berterima kasih kepada Menteri Besar kerana masih memberi kepercayaan kepada saya dan mengambil satu keputusan dengan kebijaksanaan dan hikmah.
“Dengan amanah yang diberi oleh rakyat dan Kerajaan Negeri, insya-ALLAH saya akan terus jalankan tugas seperti biasa,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Suka Menanti itu, tumpuan utama beliau ketika ini ialah menyelesaikan masalah rakyat dan bukannya terus memainkan isu politik.
“Kita kena fikirkan masalah rakyat, jangan banyak sangat berpolitik. Kita dilantik dan dipilih oleh rakyat, maka jalankan amanah demi rakyat seperti mana yang dikehendaki,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang memegang amanah dalam Kerajaan Negeri, tanggungjawab kepada rakyat sentiasa menjadi keutamaan termasuk memastikan portfolio yang dipikul diurus dengan baik.
“Dengan kepercayaan dan keyakinan diberikan, saya akan teruskan tanggungjawab kepada rakyat dan mengurus portfolio yang diamanahkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dzowahir menegaskan, hubungan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri berjalan seperti biasa tanpa sebarang masalah.
“Kami tidak ada masalah apa-apa. Sama-sama kita jalankan tugas masing-masing, jaga petak masing-masing dan jalankan amanah demi rakyat serta kemakmuran negeri yang kita cintai ini,” katanya.
Mengulas mengenai proses rayuan, beliau memaklumkan, surat rayuan telah dihantar hari ini dan perkara itu kini terserah kepada Jawatankuasa Lembaga Rayuan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk membuat pertimbangan lanjut.
“Saya dah buat proses rayuan, itu proses biasa yang diberi peluang kepada mana-mana ahli yang dikenakan tindakan. Tempohnya 14 hari, jadi saya buat surat rayuan dan terpulang kepada lembaga rayuan untuk menimbang serta membuat keputusan,” katanya.
Sebelum itu, Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan kedudukan Dzowahir dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Abdul Razak Khamis kekal seperti biasa meskipun kedua-dua ADUN itu dipecat daripada BERSATU pada Jumaat.
Kedua-dua wakil rakyat terbabit akan terus menjalankan tugas sehingga Lembaga Rayuan BERSATU membuat keputusan berhubung rayuan dikemukakan mereka.
Pada Jumaat, BERSATU menerusi notis dikeluarkan Pengerusi Lembaga Disiplinnya, Datuk Mohd Radzi Manan memaklumkan, ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani dan ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis dipecat daripada parti berkuat kuasa serta-merta.
Kedua-duanya dipecat di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan parti kerana didakwa melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan BERSATU serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.

0 Comments