ALOR SETAR - Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir disaran memberi perhatian terhadap pelbagai projek sakit bernilai berbilion ringgit di Kedah, bukan hanya menumpukan isu Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Limau dan Bukit Selambau semata-mata.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, terdapat sekurang-kurangnya lima projek kendalian Kerajaan Persekutuan di negeri itu yang masih gagal disiapkan sehingga kini.
Menurut beliau, antara projek terbabit ialah Klinik Padang Serai, Rumah Kenangan Bedong, projek mahkamah di Batu 5, Sik serta projek tebatan banjir di Pendang dan Anak Bukit yang tertangguh sejak 2011.
“Di Kedah pun banyak projek sakit, projek Persekutuan yang tak siap, bukan bawah saya. Tukar kontraktor pun masih tak jalan. Kenapa tak pergi melawat? Kenapa tak rasa ada tanggungjawab kepada projek-projek ini, projek itu lebih mahal berbilion,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di Wisma Darul Aman, hari ini.
Sanusi turut mempersoalkan tindakan Akmal Nasrullah yang dilihat terlalu kerap membangkitkan isu projek LRA di Kedah sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap Kerajaan Negeri.
Katanya, projek-projek tertangguh juga berlaku di negeri lain namun tidak dijadikan isu secara berterusan.
“Semua projek di Johor bawah EOT atau lanjutan masa. Tak ada satu pun siap on time. Kenapa rajin sangat datang Kedah? Datang ke Kedah hanya untuk bina persepsi konon negeri ini terlalu teruk.
“Di tempat lain dia baca prosedur, tapi di Kedah dia tak baca sebab nak bina persepsi. Jadi menteri macam itu tak bagus. Carilah orang lain yang lebih pandai sedikit,” katanya.
Tambah beliau, tidak sewajarnya Kerajaan Persekutuan menyasarkan pihak tertentu untuk dijadikan ‘serangan politik’ dalam mana-mana projek pembangunan.
“Kenapa tak pernah timbul projek terbengkalai di negeri lain. Kita pun tak pernah persoal sebab kita tahu prosesnya. Biarlah proses itu berjalan. Jangan buat kesimpulan dengan sasarkan seseorang.
“Saya perlu perjelaskan supaya gambaran umum ini tidak kelirukan orang ramai. Dengan satu dua orang yang ada niat tak baik, bawa berita tak betul agar dia dapat keuntungan daripada berita tak betul itu,” katanya.
Sabtu lalu, Akmal Nasrullah dilaporkan berkata, Kerajaan Persekutuan terpaksa menyalurkan tambahan kira-kira RM50 juta bagi menyelamatkan projek pembinaan LRA Sungai Limau yang kini terbengkalai.
Beliau berkata, projek itu dijangka mengambil masa sehingga tiga tahun untuk disiapkan selepas proses pelantikan kontraktor penyelamat dimuktamadkan selain pengurusan projek diambil alih Kerajaan Persekutuan daripada Kerajaan Negeri.
Mengulas perkara itu, Sanusi jelaskan, daripada lima projek LRA di Kedah, hanya dua projek menghadapi masalah pembinaan termasuk LRA Sungai Limau yang kontraktornya telah ditamatkan.
Katanya, kontrak pembinaan LRA Sungai Limau dibuat menerusi tender terbuka pada 2020 dengan penilaian menyeluruh dilakukan terhadap syarikat yang dipilih.
“Selain miliki lesen G7, kepakaran dalam pembinaan fasiliti bekalan air, syarikat itu juga mempunyai lesen Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) serta menawarkan harga lebih rendah daripada pasaran,” katanya.
Beliau turut menafikan mempunyai sebarang kaitan dengan syarikat terbabit termasuk dakwaan menerima imbuhan daripada projek tersebut.
“Daripada lima projek LRA di Kedah, hanya satu dibuat secara runding terus iaitu LRA Pelubang kepada Bina Darulaman Berhad (BDB) yang juga anak syarikat Kerajaan Negeri.
“Perkembangan projek LRA Pelubang amat baik setakat ini, LRA Lubuk Buntar sudah siap manakala LRA Jenun Baharu akan diserahkan tidak lama lagi,” katanya.
Tambah beliau, tiga projek LRA yang telah siap dan tidak bermasalah tidak pernah diketengahkan, sebaliknya perhatian hanya diberikan kepada dua projek yang berdepan isu pembinaan.
“LRA yang siap dan tiada masalah ada tiga, yang itu tak disebut, yang disebut hanya dua LRA
(Sungai Limau dan Bukit Selambau) walaupun banyak kali saya beri penjelasan,” katanya.

0 Comments