JANGAN SENTUH KESIHATAN & JANGAN KORBANKAN PENDIDIKAN TINGGI— INI HAK RAKYAT & MASA DEPAN NEGARA!
Oleh: Dr. Haim Hilman bin Abdullah
Pengerusi Lajnah Ekonomi & Keusahawanan PAS
Dalam diam, satu keputusan besar sedang berlaku. Kementerian Kewangan Malaysia mencadangkan pemotongan sehingga RM5.45 bilion melibatkan sektor kesihatan dan pendidikan tinggi negara. Langkah ini merupakan sebahagian daripada penjimatan keseluruhan RM10 bilion.
1. Secara khususnya RM3.06 bilion dipotong daripada sektor kesihatan dan RM2.39 bilion daripada pendidikan tinggi. Pemotongan berlaku ketika subsidi melonjak kepada RM58.4 bilion iaitu hampir 4 kali ganda daripada bajet asal RM15 bilion. Persoalannya mengapa subsidi boleh melonjak sebanyak itu sedangkan di masa sama negara menjana hasil berbilion-bilion ringgit dari penjualan minyak dan gas. Begitu juga dengan kutipan dari cukai SST dan lain-lain cukai disamping rasionalisasi subsidi yang berjaya dijimatkan sebelum krisis Perang US - Iran bermula.
Pemotongan bajet ini bukan sekadar angka. Ini adalah arah tuju masa depan negara yang sedang digoncang. Bila Hospital dipotong maka nyawa jadi pertaruhan.
Sektor kesihatan bukan sektor biasa. Ia melibatkan rawatan pesakit, bekalan ubat, tenaga kerja kesihatan, operasi hospital setiap hari.
Pemotongan sehingga 6.6% dari RM46.5 bilion atau RM3.06 bilion bajet kesihatan bukanlah kecil.
Hakikat yang rakyat semua tahu iaitu hospital kerajaan sudah sedia sesak, doktor dan jururawat kekurangan tenaga, kos rawatan meningkat dan sekarang bajet pula ingin dipotong? Langkah ini bukan penjimatan. Ini perjudian terhadap nyawa rakyat.
1. Nasib serupa diterima oleh Kementerian Pendidikan Tinggi. Sesungguhnya apabila pendidikan dipotong ia bermakna masa depan negara bakal dikorbankan. Sektor pendidikan tinggi adalah enjin masa depan negara.
Universiti berdepan kekangan dana di mana terdapat hospital universiti menaikkan caj sehingga 233% dalam kes tertentu. Di masa sama pemotongan bajet ini akan menyebabkan pembekalan bakat akan terjejas.Permintaan industri terhadap bakat semakin tinggi tetapi kerajaan memilih untuk mengurangkan peruntukan.
Langkah kerajaan ini akan mencipta krisis besar. Tempat untuk graduan berkualiti berasaskan merit akan terjejas. Malah diketahui umum hampir semua universiti awam dan pastinya universiti awam utama negara menawarkan saluran kemasukan menerusi 'pintu belakang' di mana pelajar boleh mengikuti program kritikal di IPTA tanpa berasaskan merit sepenuhnya berbanding saluran UPU. Mereka boleh mengikuti program kritikal dengan merit lebih rendah dengan syarat memenuhi syarat minimum dan paling utama mampu membayar penuh yuran pengajian.
Maka akan lahirlah graduan kurang berkualiti yang akan membawa kepada pembangunan ekonomi yang lemah. Pastinya dalam tempoh jangka sederhana dan panjang negara akan hilang daya saing.
1. Naratif kerajaan mengatakan pemotongan ini “tidak menjejaskan perkhidmatan” adalah satu kenyataan tidak bertanggungjawab. Kerajaan mendakwa pemotongan hanya melibatkan perkara “tidak kritikal”.
Namun realitinya semua ini adalah “urat saraf sistem”. Bila dipotong maka hospital kekurangan staf dan universiti pula akan mengurangkan aktiviti aktiviti. Dengan kata lain, sistem menjadi perlahan, lemah dan tidak kompetitif. Kesan tidak berlaku hari ini tetapi akan menghentam negara "esok".
1. Ini Bukti Kelemahan Pengurusan Kerajaan
Soalan besar yang wajib ditanya ialah:
Mengapa subsidi boleh melonjak dari RM15 bilion ke RM58.4 bilion?
Mengapa unjuran fiskal gagal sebegitu teruk?
Mengapa sektor paling penting pula menjadi mangsa?
Ini bukan krisis tetapi kegagalan merancang, kegagalan mengurus, dan kegagalan membuat keutamaan.
Persoalan terbesar ialah mengapa rizab negara yang berjumlah lebih RM550 bilion tidak digunakan? Mengambil RM10 bilion dari jumlah itu untuk menampung keperluan seperti dinyatakan tidak akan melumpuhkan ekonomi negara.
1. Negara sewajarnya tidak memotong bajet sektor kritikal negara.
Negara sewajarnya:
Mempertahan bajet untuk kesihatan rakyat kerana ia kebajikan rakyat.
Mempertahan bajet pendidikan tinggi kerana ia pelaburan untuk modal insan dan masa depan negara.
Malangnya, hari ini kerajaan melihat sebaliknya. Yang dipotong bukan pembaziran tetapi asas kekuatan negara.
Di Mana Kerajaan Patut Cari Dana Selain Menggunakan Rizab Negara?
i ) Mengurangkan ketirisan & pembaziran projek tidak berimpak tinggi.
ii ) Mengurangkan perbelanjaan pentadbiran berlebihan dan segala aspek ketirisan dalam GLC & agensi.
iii ) Meningkatkan kecekapan pelaksanaan reformasi subsidi secara bersasar. Elakkan subsidi pukal yang bocor. Fokus kepada B40 & M40 sebenar. Gunakan data digital untuk ketepatan. Jangan potong sektor penting tetapi betulkan sistem.
iv ) Perluaskan hasil negara secara strategik. Tingkatkan cukai sektor bernilai tinggi (digital economy, AI, data economy). Perkukuh kutipan cukai sedia ada. Perangi ekonomi bayangan (shadow economy @ black economy).
iv ) Optimakan aset negara. Monetisasi aset kerajaan tidak produktif. Tingkatkan pulangan GLC secara telus.
1. Adalah diharap semua rakyat bangkit memperjuangkan hak rakyat. Jangan diam dan menganggap isu pemotongan bajet ini isu elit.
i ) Bila hospital lemah maka keluarga kita terkesan.
ii ) Bila universiti lemah maka anak kita terjejas.
iii) Bila sistem runtuh maka negara kita hilang masa depan.
Majoriti rakyat faham krisis global dan mereka faham tekanan fiskal tetapi jangan selamatkan angka di atas kertas dengan memperjudikan dan mengorbankan nasib rakyat khsususnya kelompok pertengahan dan bawahan.
Sesungguhnya kesihatan bukan tempat berjimat dan pendidikan bukan tempat berkompromi. Jika kerajaan gagal memahami in maka rakyat wajib bangkit bersuara.

0 Comments