Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Kedudukan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Kedah, Dzowahir Ab Ghani dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Abdul Razak Khamis kekal seperti biasa meskipun kedua-dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu dipecat daripada Parti Pribumu Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Jumaat.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kedua-dua wakil rakyat terbabit akan terus menjalankan tugas sehingga Lembaga Rayuan BERSATU membuat keputusan berhubung rayuan dikemukakan mereka.
Menurutnya, beliau tidak mahu bertindak terburu-buru kerana proses rayuan masih berjalan mengikut prosedur parti itu.
“Dia buat satu kesalahan, tak boleh dihukum dua kali. Tunggulah proses itu. Saya kena ikut prosedur dalam perkara ini.
“Sehingga rayuan itu didengari dalam proses yang munasabah dan ikut prosedur parti masing-masing, saya tunggulah proses lembaga rayuan (BERSATU) itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO di Wisma Darul Aman, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kedudukan kedua-dua ADUN terbabit susulan tindakan disiplin dikenakan BERSATU.
Menurut Sanusi, setiap ADUN yang dikenakan tindakan diberi tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan dan beliau dimaklumkan mereka sudah berbuat demikian.
Katanya, jawatankuasa rayuan juga perlu diberi ruang untuk bersidang sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Mereka diberi peluang untuk buat rayuan. Saya difahamkan semua ADUN yang diambil tindakan itu boleh merayu dalam tempoh 14 hari. Mereka akan kemukakan rayuan, jadi kita perlu tunggu keputusan tersebut.
“Saya tak boleh buat keputusan terburu-buru. Mana tahu jawatankuasa rayuan tarik balik keputusan sebelum ini. Sekiranya keputusan rayuan diterima, tempat mereka diisi orang lain, rugi dia, teraniaya ADUN itu,” katanya.
Tambah beliau, ADUN berkenaan hanya tidak boleh mengggunakan hak sebagai ahli selama dua pemilihan parti itu, sementara proses rayuan berlangsung.
“Yang digantung pula masih ahli, sehingga dua kali pemilihan, iaitu enam tahun atau dua penggal. Ini isu dalaman parti BERSATU, kita tunggu sahaja keputusan lembaga rayuan parti itu,” katanya.
Dalam pada itu, Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah menegaskan hubungan antara PAS dan BERSATU di Kedah kekal baik selain isu berkenaan tidak menjejaskan pentadbiran negeri.
“Di Kedah kami relaks sahaja. Tak ada isu apa-apa, tak ada masalah. Itu isu dalaman parti BERSATU.
“Kedah ini tenang. Walaupun saya kasar sikit cakap begitu-begini, tapi kami tenang. YB yang dipecat pun relaks. Tak ada isu, tunggulah proses,” katanya.
Sanusi turut memaklumkan, beliau sudah menghadap Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah bagi mendapatkan pandangan demi menjaga keharmonian negeri ini.
“Saya tak boleh tergopoh-gapah. Ada cara yang perlu diikuti, ada tertib dan adab perlu dipatuhi. Saya sembah menghadap Tuanku minta pandangan dan nasihat serta kebijaksanaan Tuanku agar keharmonian negeri terus terpelihara.
“Saya juga sudah bertemu Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung perkara itu,” katanya.
Menurutnya lagi, proses dalaman BERSATU tidak wajar dicampuri dan seeloknya semua pihak bertenang sementara menunggu keputusan lembaga rayuan parti itu.
“Proses berapa lama, saya tak pasti. Mereka diberi masa untuk merayu dalam tempoh dua minggu, seterusnya jawatankuasa rayuan bersidang.
“Isu ini tak panas pun, tengok saya jawab pun tenang. Kedah tak akan panas dengan benda-benda seperti itu. Kita jawab gelak-gelak saja,” katanya.
Sebelum ini, BERSATU dilaporkan memecat dua ADUN Kedah, iaitu ADUN Suka Menanti, Dzowahir dan Abdul Razak (Sungai Tiang), manakala tujuh lagi digantung hak keahlian selama dua penggal pemilihan berkuat kuasa serta-merta.
Terbaharu, pada Selasa, ADUN Derga, Mohamad Amri Wahab turut dikenakan tindakan disiplin apabila digantung hak keahlian selama dua penggal pemilihan .

0 Comments